kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Chin Peng komunis, bukan nasionalis

Keganasan PKM tak boleh dimaafkan

Tidak berapa lama dulu ketika sakit, pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng memohon supaya dibenarkan ditanam di kampung asalnya di Sitiawan, Perak apabila meninggal. Dia sebelum itu telah memohon untuk kembali ke Malaysia pada 2000 tetapi ditolak oleh kerajaan dan mengharamkannya pulang.

Permohonannya ke Mahkamah Tinggi pun ditolak pada 2005 yang kemudian disahkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Kini setelah meninggal di hospital di Bangkok, sudah ada pula usaha untuk membawa abu mayatnya pulang ke negara ini. Ini juga telah ditolak oleh kerajaan. Ramai sangsi nanti akan ada puak yang bersimpati dengannya menjadikan tempat abu mayatnya disimpan sebagai satu tugu untuk memperingati perjuangannya.

Keseluruhan riwayatnya adalah menentang pemerintahan. Mulanya dengan penjajah British dan Jepun kononnya mahu membebaskan negara daripada penjajah tetapi penentangannya itu berterusan walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan.

Darurat yang mulanya diisytiharkan British pada 1948 telah berterusan hingga 1960 apabila ia diisytiharkan sudah berakhir. Dalam tempoh itu lebih daripada 10,000 anggota keselamatan dan orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa keganasan Chin Peng.

Tragedi Bukit Kepong

Antara keganasan yang tidak mungkin boleh dilupakan ialah serangan segerombolan 180 orang PKM ke atas balai polis di Bukit Kepong, Muar pada 1950 yang mengorbankan 14 anggota polis dan enam pembantu serta dua isteri dan dua kanak-kanak.

Melihat kepada keganasan berterusan mereka bukan saja terhadap penjajah British tetapi juga terhadap kerajaan yang sah setelah negara mencapai kemerdekaan, bagaimana sesetengah warga negara ini boleh menganggapnya sebagai pejuang kemerdekaan?

Malah dalam usaha untuk ‘memutihkan keganasannya’ itu ada pula blog yang jelas penyokong sebuah parti pembangkang tergamak bermain politik, kononnya kemerdekaan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia adalah atas rancangan British sendiri untuk menubuhkan sebuah kerajaan bonekanya di sini.

Kononnya kemerdekaan tulen hanya boleh tercapai dengan peperangan rakyat ke atas penjajah.

Berikutan kematian Chin Peng itu, kelompok ini telah tampil untuk menutup keganasan PKM kononnya mereka juga adalah pejuang kemerdekaan dan harus diiktiraf sedemikian.

PKM mungkin berjuang menentang British sebelum kemerdekaan dan juga Jepun waktu peperangan Dunia Kedua antara 1940 dan 1945. Tetapi setelah merdeka diisytiharkan dengan rakyat negara ini menubuhkan kerajaan yang mereka sendiri pilih melalui pilihan raya, apakah ini pun masih menjadi negara boneka? Apakah keseluruhan pengundi di sini boneka British?

Rundingan Baling gagal

Inilah masalahnya apabila tidak boleh menerima kenyataan hanya kerana mempunyai perjuangan politik berbeza dengan parti yang dipilih rakyat.

Bagaimanapun menjelang tercapainya kemerdekaan pimpinan negara pada waktu itu, Tunku Abdul Rahman Putra berusaha untuk memujuk Chin Peng dan pengganasnya memberhentikan peperangan mereka dalam satu pertemuan di Baling. Malangnya rundingan itu gagal hanya kerana Chin Peng tegas tidak mahu meletakkan senjata tetapi bertekad mahu terus berperang.

Sejak itu keganasan PKM terhadap orang ramai berterusan walaupun setelah darurat diisytiharkan tamat pada 1960. Malah keganasan mereka semakin ketara dengan tumpuan dialihkan ke bandar.

Ini telah membawa kepada pelbagai serangan seperti menembak hingga mati Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada 7 Jun 1974 di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur di Jalan Perak.

Setahun kemudian mereka membunuh Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong dan telah juga mengebom dan merosakkan Tugu Negara.

Apakah segala keganasan demikian mahu dilupakan puak yang menyokong mayat atau abunya dibawa ke Sitiawan? Bagaimanapun pada 1989, perjanjian keamanan telah ditandatangani di Haatyai, Thailand antara kerajaan dan PKM yang mana mereka bersetuju untuk menamatkan keganasan.

Di bawah perjanjian itu, anggota PKM diberi tempoh setahun untuk memohon kembali ke tanah air hidup sebagai rakyat biasa tanpa terbabit dalam sebarang keganasan.

Tiada ruang kembali

Ketua Polis Negara waktu itu, Tun Hanif Omar, berkata 300 anggota PKM telah memohon dan diterima kembali. Bagaimanapun, Chin Peng tidak memohon, tidak seperti yang ditohmahkan oleh sebuah akhbar Inggeris di sini.

Sekiranya waktu itu ketika diberi kelonggaran yang amat meluas dia tidak mahu kembali, kenapa pula setelah sudah begitu tenat baru terfikir mahu kembali. Ia sudah terlambat dan kini jasad atau pun abunya pula mahu dibawa pulang ke negara ini dan disokong pula DAP.

Jelaslah, mereka tidak menghiraukan segala keganasan yang telah berlaku dan mahu dilupakan begitu saja.

Rejal Arbee ialah Felo Kanan UKM. Berita Harian Online Rencana 19/09/2013
Tags: chin peng, communist, merdeka, sejarah
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments