kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Usah politikkan isu ranking universiti tempatan

KEBELAKANGAN ini, ramai orang bercakap mengenai ranking universiti di Malaysia yang jatuh merudum. Ada yang menunding jari 100 peratus kepada kerajaan atas kejatuhan ranking ini.

Selain itu ada pula yang berkata, universiti awam negara yang tidak berdaya saing menyukarkan graduan mendapat kerja yang baik dengan gaji yang berpatutan.

Ini termasuk masalah pengangguran di kalangan graduan terutamanya di kalangan graduan Melayu/bumiputra yang didakwa banyak berpunca daripada mutu pendidikan tinggi yang semakin menurun yang saban tahun disahkan oleh kedudukan universiti awam negara.

Saya terpanggil untuk memberi sedikit pendapat dalam hal ini. Pihak pembangkang janganlah mempolitikkan isu ini kerana banyak perkara yang diambil kira dalam penetapan ranking universiti.

Jika dikatakan universiti tiada autonomi, bagaimana dengan Universiti Selangor (Unisel) yang di bawah kerajaan pakatan? Adakah mempunyai ranking yang lebih baik di bawah pentadbiran pembangkang? Bukan ingin mempolitikkan, sekadar perbandingan. Jangan terlalu melulu menuduh kerajaan dalam hal ini.

Rakyat perlu jelas mengenai kriteria-kriteria QS World Ranking Universities bagi penetapan ranking universiti dunia. Ada enam kriteria utama, iaitu:

* Reputasi akademik (40%)

* Kemampuan mendapatkan pekerjaan dan pandangan majikan (10%)

* Nisbah siswa kepada tenaga pengajar fakulti (20%)

* Rujukan penyelidikan mengikut fakulti (20%)

* Nisbah pelajar antarabangsa (5%)

* Nisbah tenaga pengajar antarabangsa fakulti (5%).

Reputasi akademik diukur melalui kajian global yang meminta ahli akademik untuk memberitahu QS di mana kerja-kerja yang terbaik sedang berlaku dalam bidang kepakaran masing-masing.

Pada tahun 2013 lebih daripada 62,000 respons daripada ahli akademik di seluruh dunia, yang dikumpulkan selama tiga tahun. Respons ahli akademik terbaharu sahaja yang digunakan dan mereka tidak boleh mengundi bagi institusi mereka sendiri.

Dalam hal ini pihak universiti perlu memainkan peranan penting dalam mempromosi universiti masing-masing supaya lebih dikenali diperingkat global dengan menggunakan kaedah yang luar biasa. Misalnya menganjurkan forum presiden-presiden universiti Asia atau dunia dan ini memberi impak yang sangat besar kepada universiti tempatan secara tidak lansung.

Bagi kriteria kebolehpasaran graduan serta pandangan majikan juga adalah peranan universiti itu sendiri yang perlu menjalin hubungan baik dengan pihak industri dalam dan luar negara serta membantu graduan dalam mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

Pihak universiti juga perlu melahirkan graduan yang mampu memenuhi permintaan pasaran global dan tidak hanya tertumpu kepada pasaran dalaman. Pelajar juga perlu mengambil kesempatan dalam mengambil semua peluang yang ada di universiti dalam menyediakan diri sebagai graduan yang ready mix dalam dunia pekerjaan. Sikap pelajar sendiri juga menjadi peranan utama dalam melahirkan graduan yang mempu mengisi pasaran global.

Manakala kriteria yang paling penting juga iaitu rujukan penyelidikan di mana ahli akademik perlu memainkan peranan ini. Kriteria ini berdasarkan kepada penyelidikan yang dilakukan oleh ahli akademik dirujuk oleh ahli akademik yang lain.

Lebih baik sekiranya menjadi rujukan yang lebih global di mana QS mengambil data ini berdasarkan pangkalan data daripada Scopus yang merupakan pengkalan data terbesar di dunia bagi abstrak penyelidikan dan rujukan.

Kebiasaannya, rujukan ini berdasarkan penerbitan yang dilakukan oleh akademik seperti jurnal berimpak, buku dan sebagainya. Ini perlu menjadi keutamaan kepada semua ahli akademik, bukan sahaja menumpukan kepada bidang pengajaran tetapi perlu juga menumpukan juga kepada bidang penyelidikan serta penerbitan ilmiah agar menjadi rujukan kepada global. Ini secara tidak lansung dapat membantu meningkatkan ranking universiti masing-masing.

Mungkin dalam hal ini, kerajaan boleh membantu dalam pemberian dana yang lebih kepada universiti agar kriteria ini dapat ditingkatkan dengan mengadakan geran penerbitan kepada ahli akademik terutamanya para pensyarah muda yang baharu berjinak dalam dunia penyelidikan.

Berdasarkan pada pangkalan data Scopus 2012, Univeriti Malaya menghasilkan 3,151 penerbitan diikuti oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2,968 dan Universiti Sains Malaysia (USM) sebanyak 2,874. Jika dibandingkan dengan universiti terbaik dunia seperti National University Singapore (NUS) yang menghasilkan penerbitan penyelidikan sebanyak 6,302 dan University of Cambridge dengan 7,966. Penekanan yang tinggi dalam hal ini oleh pihak universiti dan kerajaan amatlah digalakkan.

Pandangan saya ini adalah sekadar ingin menjelaskan kepada umum supaya salah anggap dalam hal ini tidaklah menjadi isu dengan menunding jari sepenuhnya kepada kerajaan. Semua pihak ada peranan masing-masing dalam meningkatkan ranking universiti Malaysia yang saya anggap masih di tahap yang baik bagi negara membangun dunia.

Semua pihak sama ada pelajar, ahli akademik, masyarakat dan kerajaan perlu memainkan peranan masing-masing agar universiti tempatan menjadi pilihan dunia.

Pihak kerajaan juga boleh membantu menumpukan juga kepada ranking ini kerana ia menjadi kayu pengukur kepada dunia luar dalam menjalinkan hubungan antara universiti seperti penambahan bajet pengurusan, mewujudkan geran penerbitan ilmiah dan sebagainya.



MOHD. MUSTAFA AL-BAKRI ABDULLAH Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan Universiti Malaysia Perlis.Utusan Malaysia Online Forum 20130923
Tags: ranking, universiti
Subscribe

  • Raja, rakyat dan perlembagaan

    TIDAK berapa lama dulu seorang diplomat Thai memberitahu bahawa saya tidak perlu menunjukkan pembesar dan pemimpin Thai berinsut di lantai ketika…

  • Perlembagaan Persekutuan bukan saluran pecat pemimpin

    SAYA terpanggil untuk berkongsi pandangan perundangan mengenai isu ini kerana sejak akhir-akhir ini, ada yang menyatakan pandangan dan tafsiran…

  • Hak kebebasan berhimpun

    DALAM masyarakat demokratik, rakyat memainkan peranan penting menyemak dan mengimbangi (check and balance) cabang-cabang kerajaan supaya tidak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments