kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tunggu! Kita ambil gambar dulu !

MINGGU lalu, menjamu selera di sebuah restoran makanan stik, saya terganggu perasaan. Bukan disebabkan stik terlebih garing atau layanan tidak memuaskan. Semua baik. Tetapi gara-gara pemandangan di meja sebelah. Tiga wanita.

Bukan terpegun atau terpesona pada wajah. Tetapi gelagat mereka. Masing-masing nampaknya tahu apa makanan kesukaan. Pantas memilih semasa ditanya pelayan restoran. Tidaklah bermakna saya mengintai atau stalking mereka sepanjang masa. Cuma kebetulan tempat duduk saya mengadap mereka, maka pandangan memang satu hala.

Tidak ada apa-apa istimewa pun mereka bertiga untuk saya tuliskan di sini. Cuma yang mengganggu perasaan itu ialah apabila makanan mereka sampai. Tahu apa mereka buat? Bukan berdoa. Tidak. Menjamah makanan sesama mereka? Pun tidak. Tetapi masing-masing mengeluarkan telefon pintar dan mengambil gambar makanan.

Seakan-akan sudah menjadi sesuatu yang normal bagi mereka bertiga agaknya, semua selamba mengambil gambar makanan masing-masing. Dan kemudian menyiarkannya di Facebook atau Instagram.

Jangan salah faham. Bukan saya tidak pernah melakukannya. Saya mengaku pernah. Tapi sekali sahaja. Itu pun awal-awal saya isytiharkan 'eksperimen'. Saya ambil gambar menerusi telefon dan siarkan di Facebook. Sebab sebelum itu, saya sudah lihat beberapa siaran dalam Facebook mempamerkan juadah makanan dan buah-buahan. Saya terdorong hendak tahu apa bezanya mengutus gambar makanan berbanding gambar kereta atau model seksi. Ya, reaksi diterima terhadap gambar makanan memang menderu-deru.

Rakan-rakan Facebook teruja hendak tahu nama juadah, di restoran mana, berapa harga dan yang nakal sikit, halal ke? Kemudian mereka membuat perbandingan. Maka perbualan menjadi panjang lebar. Kebetulan ada kenalan Facebook dari luar negara turut sama berinteraksi. Meriah. Tiba-tiba rasa jadi MasterChef sebab dihujani istilah makanan dan cara masakan.

Selesai menjawab soalan-soalan asas tersebut, saya kemukakan pendapat saya mengenai 'hobi merakam makanan menerusi telefon untuk disiarkan dalam media sosial'. Saya persoalkan apa istimewanya?

Seorang daripada 'responden' yang ketika itu berada di Tokyo, Jepun menyatakan ''setakat ambil gambar nasi briyani, tidak payahlah. Mudah dicari dan orang makan setiap hari''. Saya minta penjelasan dia lagi. ''Makanlah sup landak, contohnya. Eksotik dan tak ramai yang bersedia memakannya''.

Mungkin pernyataan kawan dari Tokyo ini kembali berputar dalam kepala semasa saya memandang gelagat tiga wanita tersebut. Apalah istimewanya spaghetti, lamb shank dan honey ribs? Bukankah kesemuanya tergolong dalam kategori makanan yang biasa dan mudah didapati walaupun mahal.

Inilah fungsi kamera pada telefon pintar. Mungkin sudah bosan mengambil gambar sendiri (diistilahkan selfie) atau bergambar lawak dengan rakan-taulan (photobomb) serta tiada tarikan mengambil gambar model terbaharu kereta. Maka mengambil gambar makanan adalah opsyen yang dianggap tidak menjemukan.

Keseronokan menyiar gambar makanan mencapai tahap ekstrem nakal pada bulan Ramadan. Gambar makanan yang disiar bukan eksotik atau luar biasa pun. Tapi gambar nasi lemak lauk rendang, rojak sotong, kerabu mangga, teh tarik, kopi Starbuck... semua yang mendatangkan keghairahan dan berpotensi besar mencetuskan situasi 'meleleh air liur' pada bulan puasa!

Kemahiran

Jangan salah anggap dengan pernyataan saya. Saya suka makanan dan sanggup memandu jauh ke Teluk Intan untuk menikmati ayam goreng berempah. Saya juga sudah belajar untuk menyukai menonton Food Channel disebabkan tiada filem menarik di HBO dan plot CSI Miami semakin mudah dijangka.

Saya juga suka mengambil gambar. Sebahagian daripada tugas hakiki memerlukan kemahiran mengambil gambar. Cuma saya tidak membuka akaun Instagram. Memadai utus gambar dan pernyataan menerusi Twitter (serta tidak perlu berdepan dilema lupa kata laluan yang kronik).

Menyentuh hal gambar, kebelakangan ini semakin galak pula saya menerima gambar selebriti tertentu dalam gaya tertentu dengan pernyataan lawak ringkas. Ini termasuk gambar Awie dengan kenyataan 'Ini semua poyo!', Sylvester Stallone (watak Rambo tapi tanpa senjata sebaliknya menunjukkan jari bagus) dengan kenyataan 'mantap!' dan kumpulan Metallica yang 'ditambah' menggunakan songkok dengan ucapan 'Selamat Menyambut Ramadan'.

Paling terbaharu ialah gambar seorang pelakon filem Tamil dengan kenyataan 'Ye..betul tu. Very good''. Kelmarin saya tanya kepada sekumpulan remaja berusia 20 tahun. Awak kenal siapa orang India dalam gambar itu? Mereka mengaku tidak kenal. Gambar itu sebenarnya itu ialah bintang filem tersohor Tamil, Rajnikanth.

Gambar yang diletakkan pernyataan lawak itu kini menjadi keseronokan terutama dalam whatssap atau BBM sebagai satu bentuk ekspresi atau jawapan. Maka trend mengambil gambar makanan dan gambar selebriti yang diubah suai, menjadi bahan utama dalam komunikasi telefon pintar. Makin bertambah-tambah kegilaan orang bermain telefon di mana juga, termasuk di dalam tandas!

Berdasarkan pemerhatian ini, saya bersetuju dengan pendapat beberapa penulis Barat bahawa kita semua harus menyedari betapa tata susila dan adab di meja makan semakin terhakis dek hobi mengambil gambar makanan, contohnya.

Bunyinya macam ceramah sivik. Tetapi tanya diri anda. Bilakah kali terakhir anda duduk di meja makan tanpa teman anda membelek telefon? Tengah-tengah sedap bersembang, telefon berbunyi. Ada SMS masuk. Baca sekejap. Dan sambung balik sembang. Tapi siapa boleh jamin, momentum sembang itu sama seperti sebelum SMS itu masuk? Sains komunikasi secara mudah ialah mesti ada interaksi mata. Bila mata orang di sebelah tertumpu pada telefon, tidakkah itu menjengkelkan?

Seorang penulis pojok dalam The New York Times menceritakan perihal empat sahabat yang berkumpul untuk makan malam. Mereka memulakan satu permainan. Semua hadirin diminta meletakkan telefon masing-masing di tengah meja. Siapa di antara mereka yang menjeling atau memandang telefon, akan 'didenda' membayar bil makanan kesemua mereka.

Bukanlah isu siapa kedekut atau pemurah nak belanja makan tetapi moral cerita ini ialah untuk sekali dalam seminggu keempat-empat sahabat itu bertemu untuk makan bersama, bertukar-tukar cerita, berkongsi jenaka, maka suasana itu hendaklah dikecapi sepenuhnya, tanpa gangguan telefon!

Anda digalakkan mencuba permainan di atas. Manfaatnya ialah bukan sahaja mengurangkan kebergantungan melampau kepada telefon tetapi juga mungkin menjimatkan duit semasa makan beramai-ramai. Silakan!

Tags: gambar, ict, makanan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments