kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Malaysia maju tanpa paradoks

SEPERTI yang kita semua sedia maklum, Malaysia telah meletakkan sasaran untuk menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi dalam tempoh kurang sedekad daripada sekarang.

Perkara itu jelas dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Model Baru Ekonomi (MBE) yang menyaksikan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) telah diperkenalkan dengan matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi yang inklusif dan mapan menjelang 2020.

Tetapi mampukah kita mencapai sasaran tersebut jika pembangunan sosio-ekonomi kita masih dipenuhi dengan paradoks yang merujuk kepada hakikat-hakikat yang saling bertentangan antara satu sama lain?

Antara paradoks itu adalah walaupun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus berkembang pesat, namun kebanyakan anggota masyarakat merasakan tahap hidup mereka adalah lebih buruk.

Kita juga tidak mahu berlaku situasi paradoks yang menyaksikan pendapatan purata keseluruhan rakyat negara ini semakin meningkat tetapi dalam masa yang sama pendapatan golongan terbesar iaitu bumiputera terus ketinggalan.

Penyelesaian terhadap paradoks seperti itulah yang cuba dicari semasa Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2013 anjuran Khazanah Nasional Bhd. yang berlangsung selama dua hari bermula 30 September lalu.

KMF adalah forum perniagaan dan sosio-ekonomi tahunan yang paling berprestij di Malaysia yang menghimpunkan para cendekiawan tempatan dan global di Kuala Lumpur untuk membincangkan isu-isu utama yang kritikal.

Forum bertemakan 'Pertumbuhan dengan Keterangkuman dalam Era Paradoks: Permainan Sama, Pemain Baharu' yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dihadiri lebih 800 peserta yang dijemput khas dan lebih 40 ahli panel.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar dalam ucapan alu-aluannya menegaskan, kewujudan paradoks berkenaan adalah satu cabaran dalam usaha kerajaan untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang bersifat inklusif.

"Paradoks seperti ini sering wujud sepanjang sejarah kehidupan manusia dan ia bukan bersifat falsafah semata-mata, malah turut melibatkan bidang sosio-ekonomi yang bersifat praktikal.

"Semasa sesi panel dalam KMF 2013, kita membincangkan bagaimana caranya menghadapi paradoks berkenaan bagi membolehkan Malaysia meneruskan pembangunan yang bersifat inklusif yang merangkumi semua sektor masyarakat kerana melalui cara itu sahaja dapat dipastikan pertumbuhan itu bersifat mapan.

"Jika ini tidak dilakukan, asas pertumbuhan ekonomi kita boleh menjadi goyah dan tidak boleh dipercayai," ujarnya.

Dalam pada itu, KMF 2013 turut membincangkan satu hakikat bahawa negara-negara sedang membangun seperti Malaysia tidak akan mampu mengejar negara-negara yang terlebih dahulu maju seperti Britain, Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan, tidak kira betapa pantas ia berkembang.

Ia diumpamakan seperti paradoks Yunani purba iaitu Paradoks Zeno yang menjelaskan hero tamadun itu, Achilles sentiasa gagal untuk menandingi kura-kura yang bergerak lebih perlahan daripadanya semata-mata kerana haiwan itu telah memulakan perjalanan lebih awal.

Untuk mengejar negara-negara terbabit, Malaysia tidak boleh meniru kaedah sama yang digunakan oleh mereka, sebaliknya memperkenalkan strategi baru menerusi inovasi dan kreativiti.

Kaedah itulah yang dilakukan oleh AS bagi menyaingi Britain yang terlebih dahulu melalui Revolusi Industri yang menyaksikan pengenalan mesin bagi membolehkan pengeluaran barangan secara besar-besaran.

Walaupun mencontohi kaedah Britain pada awalnya, AS kemudiannya melakukan inovasi baharu bagi menjana ekonominya termasuk memperkenalkan lampu elektrik, telefon dan kereta yang banyak membantu meningkatkan perkembangan industri negara itu.

Kejayaan itu juga berpunca kerana AS memperkenalkan dasar-dasar dan peraturan yang mempermudahkan pertumbuhan ekonomi serta memperhebatkan bidang pendidikan bagi melahirkan lebih ramai pekerja mahir.

Satu lagi hakikat yang perlu disedari adalah Malaysia harus mengelak mencontohi China dan India yang membangunkan ekonomi mereka secara pantas semata-mata dengan meniru segala strategi yang dibuat oleh AS kerana ia tidak akan membolehkan dua negara itu menjadi negara paling maju.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ketika berucap merasmikan forum berkenaan menjelaskan, usaha Malaysia untuk mengatasi segala paradoks berkenaan akan berjaya jika mendapat sokongan syarikat swasta dan rakyat.

Beliau berkata, sektor swasta secara keseluruhan, daripada konglomerat besar sehingga kepada syarikat sederhana dan kecil, perlu memberi sumbangan bagi memastikan matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi tercapai.

"Saya yakin dengan sokongan syarikat swasta kita boleh meningkatkan produktiviti dan mewujudkan aktiviti-aktiviti ekonomi yang boleh menghasilkan pendapatan lebih tinggi," ujarnya.

Katanya, dalam masa yang sama, kerajaan turut akan memainkan peranan bagi memastikan 67 peratus golongan bumiputera tidak terus ketinggalan.

"Tinjauan di negara-negara maju akan memberitahu anda bahawa di semua negara itu, kumpulan etnik majoriti memegang majoriti kekayaan.

"Sehingga ini dicapai, sejarah mengajar kita bahawa keamanan dan kestabilan tidak boleh dijamin untuk tempoh lama jika terdapat ketidakadilan pembahagian kekayaan negara.

"Lihat kepada Afrika Selatan, Fiji dan beberapa negara Afrika di mana minoriti memegang sebahagian besar kekayaan negara.

"Terdapat juga rasa tidak puas hati di Singapura kerana rakyat biasa republik itu merasakan diri mereka terpinggir dan dikecualikan daripada limpahan kekayaan negara itu.

"Wujud persepsi bahawa mereka yang diberi kerakyatan Singapura dan penduduk tetap sahaja yang menikmati semua yang terbaik di Singapura," katanya.

Tambah beliau, sokongan rakyat yang berbilang kaum juga amat diperlukan bagi membolehkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

"Kita boleh mempunyai satu demi satu pelan induk kebangsaan yang sangat bijak tetapi jika kita tidak mempunyai rakyat yang mempercayainya dan sanggup sama-sama melaksanakannya, maka pelan induk yang terbaik sekalipun sudah pasti ditakdirkan untuk gagal.

"Perlu ada semangat dan perlu ada rasa sayang. Perlu ada satu keperluan untuk kita semua turut serta dalam satu aspirasi lebih tinggi, mengatasi politik harian, mengatasi perdebatan harian - demi Malaysia," katanya.

NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20131002
Tags: deb, khazanah, meb, paradoks
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments