kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Belajar hormat tugas orang lain meskipun pekerja buruh

SATU perkara yang tidak dapat dinafikan, di mana-mana negara pun anda tinggal, tidak kira di negara Timur atau Barat, dan agama apa pun dianuti, perihal menghormati orang lain apatah lagi golongan tua, adalah perkara asas yang menjadi amalan semua.

Dan di mana-mana negara sekali pun, terutamanya yang melibatkan kawasan-kawasan awam, bangunan, sekolah hatta di dalam hutan belantara pun, kita mempunyai peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi.

Undang-undang ini adalah untuk kepentingan semua dan kemudahan bersama. Jika tiada peraturan atau undang-undang, apa saja pun boleh dilanggar, keadaan menjadi tidak boleh dikawal dan kita juga yang susah kerana terpaksa melalui keadaan itu.

Justeru apabila baru-baru ini heboh diperkatakan di laman-laman sosial dan akhbar-akhbar arus perdana mengenai rakaman video yang cuma kedengaran suara seorang wanita yang dikatakan isteri kepada seorang pemain bola sepak negara - melontarkan kata-kata yang tidak elok iaitu ‘bodoh ‘dan ‘dayus’ kepada seorang pengawal keselamatan lelaki yang dipanggil pak cik kerana memintanya mengalihkan kenderaannya di kawasan yang dilarang meletak kenderaan dan menunggu, sudah tentu perlakuan seperti ini amat luar biasa kepada kita.

Sebabnya, rata-rata daripada kita yang membawa kenderaan sudah lali dengan keadaan ini dan tidak pula sampai bertindak seperti itu. Pengawal keselamatan terbabit mendakwa seperti yang dilaporkan dalam akhbar dan media-media sosial, wanita yang mungkin saja sebaya usia dengan anaknya itu, turut menendangnya manakala suaminya yang juga kelihatan dalam rakaman berkenaan hanya memerhatikan saja gelagat isterinya.

Saya percaya kita semua sudah biasa melalui keadaan di mana pengawal-pengawal keselamatan ini datang kepada kita dan mengatakan di sini tidak boleh menunggu atau meletak kenderaan. Ada antara kita yang mungkin sedikit ‘berangin’ kerana mahu cepat atau mahu menunggu sebentar saja tetapi tetap akur dan beredar ke tempat letak kenderaan yang disediakan yang selalunya jauh daripada tempat menurunkan penumpang.

Hakikat yang seharusnya kita terima, pengawal-pengawal keselamatan yang meminta kita beredar ini telah menjalankan tugasnya dengan baik. Walau ada ketikanya dia memberikan waktu beberapa minit kepada kita untuk berada di situ, mereka sebenarnya berbuat demikian mengikut pertimbangan dan budi bicara mereka sendiri, demi memudahkan urusan kita.

Dan amatlah tidak wajar apabila setelah perkiraan memberikan masanya itu kepada kita sudah habis, dan diminta beredar, kita bukan saja tidak berterima kasih malah bertindak memarahinya pula.

Mungkin perang mulut seperti ini ada berlaku di mana-mana di tempat lain tetapi tidak diketahui kerana tidak disebarkan di laman-laman sosial. Tetapi sebenarnya dalam isu yang turut menjadi bahan gurauan pula di laman-laman sosial ini siapa yang menyebarkan rakaman itu bukan menjadi persoalannya. Yang terkandung dalam rakaman itulah menceritakan mungkin tidak sepenuhnya kejadian itu atau sebahagiannya yang sepatutnya tidak berlaku jika kita menghormati dan memahami kerja orang lain.

Tidak kiralah pengawal keselamatan, tukang pencuci tandas awam atau bangunan, pekerja-pekerja di restoran, pekerja-pekerja di pasar raya, buruh pembinaan dan lain-lain, mereka ada peranan masing-masing dalam tugas mereka. Dan sewajarnya jika kita memiliki pendidikan dan jawatan yang lebih tinggi, kita menunjukkan tingkah laku yang lebih beradab, yang lebih mulia dan bersikap lebih profesional kepada mereka sesuai dengan pendidikan dan jawatan kita.

Perlu diingat, mereka yang tidak memegang jawatan tinggi ini pun punya tanggungjawab yang sama dengan kita, iaitu mencari rezeki untuk keluarga mereka. Tugas mencari rezeki untuk keluarga adalah tugas yang amat mulia, maka janganlah diperlekehkan kerja mereka ini.

Kebanyakan mereka ini adalah orang yang susah, maka tidak payahlah kita hendak menambah susah kepada mereka pula. Menjadi sesuatu yang amat pelik apabila ada pihak sanggup pula menyaman orang yang susah ini di mahkamah.

Jika mereka tidak dilindungi oleh syarikat mereka bekerja, dengan apa mereka hendak membayarnya? Mungkin sudah menjadi trend orang yang berasa duitnya sudah cukup banyak, maka sikit-sikit hal pun mahu saman atau sila rujuk kepada peguamnya.

Menghormati orang lain dan mematuhi peraturan bukan memerlukan bayaran pun. Ia sesuatu yang mudah dan berlaku secara spontan sekiranya kita sudah ada dan sebati dengan nilai-nilai menghormati orang lain dan berbudi bahasa dalam diri kita.

Dan melihat kepada komen-komen mereka yang marah dan bengang dengan kejadian ini di laman-laman sosial yang masing-masing menekankan perihal adab dan budi bahasa, tengok-tengoklah sama dengan bahasa yang anda gunakan untuk menegur perbuatan tersebut.

Menegur perkara yang tidak baik, seharusnya dilakukan secara berhemah, mudah-mudahan timbul rasa kesedaran orang yang ditegur itu. Janganlah sewenang-wenangnya menggunakan perkataan yang kesat dan biadab terhadap orang lain, jika tidak anda pun dua kali lima saja.

Sememangnya, rakyat Malaysia ini amat prihatin dalam hal-hal menghormati orang yang lebih tua. Tidak kiralah orang kata budi bahasa amalan orang Timur, rasanya di Barat pun masyarakatnya menolak tindakan-tindakan yang tidak beradab.

Diharapkan kejadian seperti ini memberikan pengajaran dan teladan kepada semua. Semua orang pun melakukan kesilapan dan perlu diberi peluang untuk berubah. Belajar daripada kesilapan adalah lebih penting daripada memohon maaf tanpa ada rasa kesedaran untuk berubah atau lebih buruk meminta maaf tetapi tidak mengakui kesilapan itu.



Fauziah Arof Utusan Malaysia Online Rencana 20131002
Tags: hormat, pekerja
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments