kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Komunis Melayu hanya ikut telunjuk

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Parti Komunis Malaya (PKM) melantik seorang pemimpin berketurunan Melayu sebagai pengerusi parti itu pada bulan Mei 1949 namun ini tidak bermakna kaum Melayu mendapat keistimewaan dalam parti tersebut.

Kewujudan pemimpin Melayu dalam parti itu hanyalah sebagai ‘wayang’ untuk mengaburi mata penduduk Tanah Melayu bahawa kononnya PKM mengamalkan kesamarataan.

Sebaliknya apa yang tersirat adalah PKM sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi dalam perjuangan mereka. Parti itu memerlukan bantuan dan sokongan orang Melayu kerana mereka merupakan majoriti di Tanah Melayu.

Sebagai contoh, sewaktu diminta memberi taklimat kepada segerombolan peserta PKM yang mengikuti pengajian di Institut Marx and Lenin di Peking (Beijing), China, Musa Ahmad selaku Pengerusi PKM diberi peranan untuk menyampaikan ceramah kepada peserta tentang perkembangan kemajuan pemberontakan PKM di Tanah Melayu.

“Dalam ceramah itu, saya berikan penekanan terhadap kejayaan penubuhan Rejimen Ke-10 PKM dan memaklumkan kepada peserta bahawa pengunduran PKM ke sempadan Tanah Melayu-Thailand adalah hanya satu langkah taktikal," katanya.

Malah PKM sebenarnya dan kononnya akan ‘kembali’ dalam satu situasi revolusi yang lebih mantap untuk mewujudkan pemberontakan di Tanah Melayu.

Apa yang menariknya akui Musa, semua isi ceramah itu bertentangan dengan taklimat yang diberikannya kepada salah seorang pemimpin PKM di Tanah Melayu, Siow Chong dan wakil Jabatan Perhubungan Antarabangsa (ILD) sebaik sahaja dia tiba di Peking.


PONDOK makan satu daripada kem pengganas komunis yang berjaya dikesan dan
ditumpaskan oleh pasukan keselamatan di hutan belantara pada 1960-an. - JABATAN PENERANGAN

Dalam taklimat itu, Musa menerangkan kepada mereka bahawa pemberontakan komunis di Tanah Melayu boleh disifatkan sebagai ‘hancur-lebur’ kerana hanya menerima sokongan yang sedikit daripada kaum Melayu.

Bukti yang jelas bahawa PKM sekadar mempergunakan Musa adalah apabila dia mengaku telah diarahkan oleh Siow Chong dan seorang lagi pemimpin PKM, Chin Jui untuk tidak menceritakan situasi sebenar kepada semua peserta ceramah itu mengenai kedudukan PKM yang kian merosot, bertujuan mengelak semangat mereka luntur.

Beberapa lagi pemimpin PKM Melayu lain turut menerima arahan daripada Chin Peng. Antaranya Shamsiah Fakeh dan suaminya, Ibrahim Mohamad yang juga Pengerusi Angkatan Pemuda Insaf (API) Johor serta salah seorang pemimpin Rejimen Ke-10, Mohd. Amin. Ketiga-tiga mereka pernah diarahkan oleh Chin Peng untuk ‘menyambung pelajaran’ ke China.

Perkara itu berlaku pada penghujung tahun 1956 dan mereka diarahkan untuk mengikuti pengajian dalam bidang latihan ideologi.

Sepanjang mengikuti pengajian di Institut Marx and Lenin yang terletak kira-kira 16 kilometer dari Chungking, ibu negeri wilayah Szechuan, Shamsiah bersama Ibrahim dan Mohd. Amin, seperti juga pelajar lain, perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan seperti mana pusat pengajian tinggi yang lain.


SENJATA api milik pengganas komunis yang berjaya ditumpaskan oleh pasukan keselamatan.

Keluasan institut itu adalah kira-kira 24 hektar dan kawasan institut itu dahulunya dimiliki oleh seorang jutawan hartanah. Sebuah banglo dijadikan pejabat utama institut dan keseluruhan kawasan itu dipisahkan oleh tembok pagar berduri setinggi 2.4 meter.

Semua pelajar di institut itu perlu mematuhi arahan termasuk tidak dibenarkan keluar sesuka hati. Mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu bersendirian dan tidak dibenarkan bertemu dengan orang awam. Malah pintu masuk ke institut itu dikawal Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) setiap masa. Pakaian pelajar juga termasuk ahli PKM Melayu adalah seperti penduduk tempatan di negara itu bertujuan sebagai penyamaran.

Selain diberi pengawasan yang ketat, pemimpin Melayu PKM pernah ditegur kerana menceritakan perihal dalaman yang berlaku di PKM. Musa pernah ditegur oleh Siow Chong kerana mendedahkan kepada pegawai ILD Rusia, Alexander Markov pada tahun 1957 tentang hubungan sulit melibatkan bekas Setiausaha Agung PKM, Loi Tek dan pergolakan dalaman parti itu sehingga menyebabkan dia keluar daripada PKM.

Bagi Siow Chong, perkara itu tidak perlu didedahkan dan ini merupakan salah satu daripada keadah PKM untuk menutup kelemahan dan pergolakan yang berlaku dalam parti itu.


Utusan Malaysia Online Rencana 20131003
Tags: communist, komunis, melayu, pkm
Subscribe

  • Politik , Politicking

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments