kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pemimpin PKM hidup berahsia

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Banyak yang tidak diketahui tentang kehidupan seharian pemimpin-pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) oleh orang ramai, termasuk anggota bawahan PKM sendiri, kerana mereka menjalani kehidupan yang penuh rahsia dan sentiasa berahsia.

Selain itu, ramai juga anggota PKM tidak tahu pergerakan pemimpin-pemimpin mereka dan bagaimana mereka bergerak dari satu tempat ke tempat lain, sehingga ramai yang ingin tahu tentang rahsia itu.

Ketika itu, PKM menghadapi tekanan yang hebat daripada pasukan keselamatan terutama selepas Gabenor Sir Edward Gent mengisytiharkan darurat pada 21 Jun 1948.

Selama ini, mungkin ramai yang beranggapan pemimpin-pemimpin PKM tinggal di dalam hutan bagi menggelakkan ditangkap oleh pasukan keselamatan atau memimpin anggota-anggota PKM dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan.

Sedang hakikatnya, ramai pemimpin PKM termasuk Setiausaha Agung PKM, Chin Peng sendiri tidak selalunya berada di dalam hutan, sebaliknya tinggal di banglo yang mewah di luar negara.

Chin Peng hanya berada di Malaya sehingga 1961 dan selepas pertengahan 1961, Chin Peng sudah berpindah ke Peking bersama-sama isterinya Li Chih dan Chen Tien, seorang daripada anggota Jawatankuasa Pusat PKM yang bertindak sebagai penterjemah semasa rundingan Baling pada 28 dan 29 Disember, 1955, dan mereka menjalani kehidupan yang serba mewah.


TIGA boneka yang lengkap berpakaian komunis, poster pemimpin komunis China Mao Tze-Dong
dan buku-buku komunis yang dirampas oleh pihak berkuasa daripada kader-kader PKM di Malaysia.

Chin Peng berlepas dari Malaya menggunakan jalan darat melalui Sungai Mekong ke Laos dan kemudian menuju ke Hanoi.

Dari Hanoi mereka pergi ke China menggunakan pengangkutan udara,dan pesawat yang membawa Chin Peng mendarat secara rahsia di Lapangan Terbang Tentera di Peking dan disambut oleh seorang yang di kenali sebagai Huang Wei dan Pengerusi PKM, Musa Ahmad.


POSTER propaganda PKM dalam bahasa Melayu untuk menarik sokongan kaum Melayu
supaya menyokong komunisme dan mengangkat senjata menentang kerajaan Malaysia.

Kedatangan Chin Peng di Peking hanya diketahui oleh beberapa orang pemimpin PKM yang dipercayai sahaja, dan sejak itu beliau terus menetap di China kecuali untuk menghadiri persidangan antarabangsa di luar China.

Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin PKM yang lain seperti Musa Ahmad, Lau Li (Timbalan Setiausaha Agung PKM), dan anggota Jawatankuasa Pusat PKM lain seperti Siow Chong, Siow Meng, Liew Yit Fan, Shi Meng dan Chan Tien, kesemua mereka bergerak dari satu tempat ke satu tempat secara rahsia menggunakan pelbagai pengangkutan dan cara, termasuk menggunakan nama samaran dan pasport pelbagai negara.

Pemimpin Melayu PKM dalam Rejimen Ke-10 seperti Shamsiah Pakeh dan Rashid Mydin juga menggunakan kaedah yang sama dan menggunakan nama samaran serta pasport China untuk bergerak ke luar negara.

Dalam sesetengah kes, ada pemimpin PKM masuk ke negara-negara tertentu melalui cara diseludup, seperti dalam kes PKM meminta bantuan Parti Komunis Kesatuan Soviet untuk menyeludup elemen-elemen PKM di Peking ke Sumatera menggunakan jalan laut.

Chin Peng sendiri menggunakan pasport diplomatik China untuk menghadiri persidangan antarabangsa, manakala pemimpin PKM yang lain pula menggunakan pasport antarabangsa China untuk keluar negara.

Selalunya mereka juga tidak akan menggunakan nama sebenar sebaliknya menggunakan nama samaran bagi merahsiakan pergerakan dan kehadiran mereka.

Ketika berada di luar negara untuk menghadiri persidangan dan kongres antarabangsa, pemimpin-pemimpin PKM juga mengelak untuk bertemu dengan orang asing serta bercakap kepada orang yang tidak perlu.


Utusan Malaysia Online Rencana 20131003
Tags: chin peng, communist, komunis, melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments