Tetapi semasa mesyuarat antara delegasi Perdana Menteri dan pengurusan kanan Twitter baru bermula, Costolo dilihat bergegas memasuki bilik pertemuan. Semasa di luar bilik mesyuarat pula, kedua-duanya dilihat tidak kekok berbual, bertukar-tukar fikiran. Mereka seperti mempunyai bahasa yang sama.
Costolo pastinya tahu Perdana Menteri mesra Twitter. Tidak banyak pemimpin dunia seperti Najib yang aktif menggunakan media sosial untuk berhubung dengan rakyat. Najib kini mempunyai 1.7 juta pengikut. Beliau sentiasa mengikuti perkembangan teknologi dan cepat beradaptasi. Telefon bimbit Perdana Menteri keluaran terbaharu, Iphone 5s.
Kehadiran Costolo memeranjatkan pegawai-pegawai Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) yang mengatur lawatan Najib bagi membolehkan beliau merasai pengalaman baharu di Lembah Silikon, di bandar raya San Francisco itu.
Bukan mudah untuk mendapatkan mereka. Kebanyakan mereka pemalu dan sensitif dengan media. Begitu juga, tidak mudah untuk mereka menerima lawatan seorang pemimpin negara.
Selain Twitter, Perdana Menteri turut menemui CEO Facebook, Mark Zuckerberg dan melawat Google serta berinteraksi dengan komuniti Lembah Silikon. Mereka memandang tinggi Malaysia kerana serius dan telah mempunyai pelan jelas dalam membangunkan industri sains, teknologi dan maklumat.
Barangkali inilah sebabnya mengapa komuniti di Lembah Silikon ini selesa berinteraksi dengan delegasi Malaysia malah beberapa syarikat Malaysia telah berjaya mendapat kepercayaan usahawan Lembah Silikon untuk menjalin kerjasama perniagaan.
Di Google, Najib diberi pendedahan tentang teknologi terkini dan budaya kerja syarikat yang turut menggaji 20 rakyat Malaysia itu. Beliau mencuba cermin mata Google yang bakal mengubah cara hidup manusia.
Najib turut memandu uji kereta tanpa pemandu, Google Car yang menurut beliau masih belum sesuai untuk dikomersialkan kerana kosnya tinggi dan hanya boleh digunakan di lebuh raya.
Di San Francisco yang juga tempat lahirnya bioteknologi, Najib mengadakan sesi khusus dengan para pakar di University of San Francisco. Malaysia turut menaja rakyat kita untuk mendalami dan seterusnya mengadaptasi budaya menggabungkan ilmu pengetahuan dengan perniagaan di universiti ini.
Bioteknologi juga kini menjadi elemen penting untuk menjamin rangkaian industri pertanian dan makanan negara. Serangan penyakit ke atas tanaman pisang baru-baru ini sehingga komoditi itu terpaksa diimport menjadi pengalaman pahit kepada Malaysia. Begitu juga, industri minyak sawit negara mesti terus dikembangkan terutamanya bagi menyaingi kacang soya.
Secara keseluruhannya, lawatan Najib ke San Francisco telah berjaya mendedahkan Perdana Menteri dengan pengalaman dan pengetahuan baharu. Yang lebih penting selaku CEO Malaysia, kunjungan beliau mendekatkan lagi tokoh dan pemain global sains dan teknologi dengan Malaysia.
Sebenarnya hubungan itu telah lama terjalin iaitu melalui Majlis Penasihat Sains dan Teknologi Global (GSIAC) yang diasaskan oleh Najib. Di San Francisco ini, mesyuarat GSIAC ketiga diadakan iaitu yang pertama di luar New York.
Melalui komitmen GSIAC, terhasillah pelbagai kerjasama dan pengaliran teknologi ke Malaysia. Melalui pemikiran GSIAC, Malaysia tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan teknologi, elemen penting untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi. GSIAC juga menyasarkan untuk melahirkan pemenang Nobel Laurette dalam kalangan rakyat Malaysia.
Najib yang kemudiannya terbang ke New York, enam jam perjalanan dari San Francisco meneruskan misi strategiknya untuk menjalin hubungan dengan komuniti global.
Di New York yang tumpuan lawatannya untuk memberi ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Perdana Menteri tidak melepaskan peluang bersemuka dengan para pelabur, ahli perniagaan dan pengurus dana serta ahli politik Amerika Syarikat secara berasingan.
Ini kerana kalau Malaysia mahu menjadi negara maju, kita mesti ada strategi global bukan sekadar strategi nasional," kata Najib menjelaskan lawatan kerjanya yang multi dimensi kali ini.
Lawatan kerja beberapa hari di San Fancisco dan New York, menurut Najib, memberinya pengalaman dan membina hubungan dengan komuniti global yang kini menguasai teknologi dan maklumat dunia.
Tentu sekali, hubungan sebegini begitu penting apatah lagi Malaysia memerlukan pelabur baharu selain saingan daripada negara tetangga. Hubungan akrab memberi nilai tambah dalam menarik syarikat-syarikat gergasi digital ini menjadikan Malaysia sebagai lokasi pelaburan atau sekurang-kurangnya sebagai hab serantau.
Hal yang sedemikian kerana, Malaysia tidak boleh terus menjadi negara pengguna. Malaysia mesti merancang untuk menjadi negara pengeluar mahupun negara pencipta. Bagaimana hal itu boleh dilakukan, inilah antara misi strategik lawatan kerja Najib ke AS.
Selain itu, lawatan ini turut mendedahkan Perdana Menteri dengan budaya inovasi dan tidak mudah menghukum syarikat yang gagal. Dalam konteks Lembah Silikon, inovasi juga bermakna seseorang itu bersedia untuk menerima kegagalan dan mahu bangkit semula mengatasi kelemahan.
Dalam interaksinya kepada pelajar Malaysia sama ada di San Francisco dan New York, Najib memberikan panduan bagaimana impian beliau itu boleh dilaksanakan iaitu bekerja bersama-sama. Beliau tidak mungkin menjayakan strategi global mahupun nasional sendirian. Mimpinya mesti dikongsi semua orang.
Lihatlah Amerika dan lebih dekat New York walaupun pelbagai keturunan dan bangsa, serta ideologi politik, semangat patriotisme dapat dirasakan di mana-mana. Bendera Amerika dikibar setiap hari. Mereka begitu bangga menjadi rakyat Amerika," kata Najib dalam majlis makan malam dengan komuniti Malaysia di New York.
Walaupun Najib tidak menyatakan secara langsung tetapi tetamu pada majlis itu dapat merasakan kaitannya dengan kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa hari sebelum itu yang turut bertemu dengan komuniti Malaysia.
Tetapi kalau hanya merendah-rendahkan Malaysia, apa akan berlaku," jelas Perdana Menteri yang mengajak khalayak tanpa mengira ideologi dan perbezaan politik agar bersama-sama menjadikan Malaysia kuat dan hebat. - UTUSAN
Zulkefli Hamzah Utusan Malaysia Online Rencana 20131003