kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pengurusan kewangan lemah boleh gugat pentadbiran kerajaan

GARA-GARA disebabkan Kongres Amerika Syarikat tidak meluluskan satu bajet persekutuan khas, pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat (AS) lumpuh buat kali pertamanya dalam tempoh 17 tahun. Ini menggambarkan seolah-olah kerajaan AS tiada bajet atau dengan kata lain wang tunai tidak mencukupi untuk menampung kewangan negara.

Dianggarkan 800,000 kakitangan awam AS diberikan cuti tanpa gaji sehinggalah bajet berkenaan diluluskan. Sudah tentu ia akan menjejaskan operasi jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan. Mangsanya tidak lain tidak bukan rakyat AS itu sendiri.

Sememangnya diketahui hutang AS adalah tinggi, jadi sebarang kelulusan bajet boleh meningkatkan perbelanjaan dan had hutang AS.

Di AS, selepas krisis subprima, kerajaannya menggunakan pelbagai pendekatan untuk merangsang ekonominya. Salah satu caranya adalah membuat pembelian bon. Walaupun pada satu ketika, terdapat petanda Rizab Persekutuan AS akan memberhentikan atau mengurangkan pembelian bon atas hujah ekonominya semakin pulih, namun, akhirnya Rizab Persekutuan AS membatalkan rancangan ini.

Pembatalan ini menunjukkan ekonomi dan kewangan AS masih belum pulih, maka adalah satu perkara yang langsung tidak mengejutkan apabila kongres tidak meluluskan satu bajet persekutuan khas yang memberi kesan kepada rakyatnya.

Mungkin selepas ini akan timbul ramalan apakah yang akan terjadi kepada ekonomi AS. Tergugatnya ekonomi AS akan memberi kesan secara langsung dan tidak langsung ke atas ekonomi dunia. Namun, sebesar manakah kesannya membuatkan pelabur dan pasaran saham dunia mengambil sikap tunggu dan lihat meskipun terdapat tanggapan bahawa akan berlaku lagi satu gelombang krisis ekonomi.


Orang awam melihat papan notis mengenai penutupan kawasan Statue of Liberty di Battery Park, New York,
ekoran penutupan sebahagian agensi kerajaan AS, baru-baru ini. - AFP


Apakah yang boleh negara kita pelajari? Di sebalik krisis bajet AS, di negara kita pula terdapat pembaziran atau ketidakcekapan pengurusan kewangan kerajaan seperti diperincikan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012. Pembaziran dan ketidakcekapan pengurusan kewangan sememangnya boleh berlaku di mana-mana organisasi termasuklah jabatan-jabatan kerajaan, tetapi apa yang penting kita perlu menyedari hakikatnya pengurusan kewangan yang lemah juga boleh membahayakan keadaan kewangan kerajaan.

Wang cukai yang dikutip daripada rakyat mestilah diurus dengan baik. Konsep nilai untuk wang (value for money) perlu diamalkan seratus peratus di jabatan-jabatan kerajaan. Setiap sen wang rakyat tidak boleh dibazirkan sama sekali. Ini kerana setiap sen pembaziran akan merugikan rakyat dan negara. Apabila wang rakyat ini dibazirkan dalam jumlah yang banyak, maka perbelanjaan negara akan semakin bertambah. Penambahan perbelanjaan negara pula akan memungkinkan kerajaan terpaksa meningkatkan pinjaman.

Sedangkan pada masa sama, kerajaan ingin menyasarkan defisit tiga peratus sahaja pada tahun 2015 dan pada tahun 2020 pula, kerajaan menyasarkan bajet berimbang. Jika pembaziran masih berlaku dengan jumlah yang besar, sukar untuk kerajaan mencapai sasaran bajet berimbang pada tahun 2020. Bukan setakat isu mengurangkan subsidi sahaja yang boleh mengurangkan defisit tetapi sebenarnya apa yang perlu diutamakan aspek pengurusan kewangan kerajaan yang lebih baik dengan menitikberatkan wang perbelanjaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikan rakyat.

Sebab itulah wang rakyat ini perlu diurus dengan baik berpaksikan prinsip kebertanggungjawaban dan amanah. Apa yang akan terjadi jika pembaziran berlaku tanpa dikawal? Kesan akhirnya, ia boleh melumpuhkan operasi jabatan-jabatan kerajaan sebagaimana yang berlaku di AS.

Suatu perkara yang cukup menarik ialah rakyat semakin memahami dan mengambil tahu mengenai pengurusan kewangan kerajaan. Jika tidak, masakan adanya perdebatan di laman-laman sosial mengenai pembaziran, kecuaian dan paling teruk penyelewengan.

Sejak kebelakangan ini, rakyat amat tertunggu-tunggu dengan Laporan Ketua Audit Negara. Bagi mereka, wang rakyat tidak boleh sewenang-wenangnya dibazirkan sebegitu sahaja sedangkan wang yang dibazirkan tersebut boleh digunakan untuk membantu golongan miskin dan mereka yang memerlukan.

Malahan, jika wang tersebut diminimumkan pembaziran, ia boleh dikembalikan semula untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara. Malangnya, adakah pihak-pihak berkenaan mengambil iktibar perkara ini dan tidak mengulanginya lagi?

Adakah kita akan terjumpa lagi pembaziran-pembaziran yang kadang kala tidak masuk dek akal. Pembaziran dan ketidakcekapan ini jika berterusan membayangkan betapa tiada gunanya teguran demi teguran diperincikan dalam Laporan Ketua Audit Negara saban tahun.

Walhal, teguran-teguran inilah yang sepatutnya menjadikan kita lebih bertanggungjawab dan amanah dalam mengurus kewangan negara dan aset kerajaan. Adakah kita hanya akan sedar dan insaf apabila ekonomi dan kedudukan bajet negara menjadi tenat seperti mana yang berlaku di AS?

Selepas ini, rakyat akan ternanti-nanti pula pengumuman Bajet 2014 dalam bulan ini, maka, aspek pengurusan kewangan yang berhemah berprinsipkan kebertanggungjawab dan amanah perlu segera ditekankan. Ini bagi membolehkan kedudukan negara kita kekal mapan dan kukuh bukan sahaja untuk kebaikan kita tetapi juga untuk diwarisi kepada generasi-generasi yang akan datang.


Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 04/10/2013
Tags: amerika, kerajaan, kewangan, pengurusan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments