kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kisah model lakaran pertama tugu

WALAUPUN proses pembinaan Tugu Negara dikatakan bermula sekitar tahun 1963 hingga 1966, tetapi idea mengenai pembinaan tugu itu telah muncul sebelum itu lagi.

Ini berdasarkan fakta bahawa terdapat usaha membuat lakaran sebuah tugu pahlawan sebelum Tunku Abdul Rahman melakukan lawatan rasmi ke Washington, Amerika Syarikat pada 1961.

Lakaran pertama itu dipercayai dibuat pada 1958 di Kem Gunung Bongsu, Pulau Pinang membabitkan beberapa anggota tentera daripada Rejimen Askar Melayu Diraja Kelima (5 RAMD).

Salah seorang bekas model lakaran pertama itu, Zainal Buyung, 71, memberitahu pemilihan anggota menjadi model lakaran itu dilakukan secara rawak oleh sarjan bertugas.


ZAINAL Buyung menunjukkan pingat yang diterima daripada Ratu Elizabeth II
dan kerajaan Malaysia ketika ditemui di Raub, Pahang, baru-baru ini.

"Mungkin pada ketika itu saya antara anggota yang lengkap berpakaian seragam maka saya menjadi pilihan sarjan.

"Pada ketika itu kami semua tidak tahu apa-apa tentang rancangan untuk membina tugu pahlawan atau sebagainya," ujarnya yang berasal dari Slim River, Perak.

Menurut Zainal, proses membuat lakaran tersebut membabitkan tiga sesi fotografi.

"Sesi pertama menggunakan lima model, sesi kedua dua model dalam keadaan memegang senjata manakala sesi terakhir membabitkan dua model dalam keadaan berbaring," ceritanya yang pada ketika itu berusia 23 tahun.

"Saya berdiri berjam-jam ketika menunggu pengukir siap melukis bentuk awal tugu tersebut, saya adalah model awal lakaran patung di bahagian tengah yang memegang bendera," ceritanya lagi.

Zainal berkata, selepas proses lakaran siap, dia balik ke berek dan tidak tahu apa seterusnya terjadi kepada hasil lakaran tersebut.

Menurutnya lagi, dia bukan sahaja tidak sempat melihat hasil lakaran tersebut, malah hingga kini tidak pernah melihat wajah sebenar Tugu Negara.

"Saya selalu bercerita kepada anak-anak, cucu dan kenalan tentang kisah ini. Mereka yang sempat melawat tugu tersebut sering kali menceritakan persamaan wajah yang terdapat pada tugu tersebut dengan wajah saya," katanya.

Zainal yang menyertai RAMD ketika berusia 20 tahun di Pulau Pinang pernah terbabit dalam beberapa pertempuran dengan pengganas komunis seperti di Gunung Bongsu dan Sungai Bakap.

Pernah suatu ketika menentang pengganas komunis di Gunung Bongsu, beliau bernasib baik tidak mengalami kecederaan, walaupun dihujani peluru musuh.

"Orang putih (Tentera British) terkejut tengok saya ditembak bertalu-talu tetapi saya cukup bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya yang memberitahu beliau juga pernah ditangkap tentera British kerana melaungkan perkataan merdeka di khalayak ramai.

Beliau juga antara bekas anggota tentera yang masih hidup dan bertugas ketika Rundingan Baling 1955 diadakan antara Tunku Abdul Rahman dan Setiausaha Agung, Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

"Ketika rundingan tersebut, saya bersiap sedia di dalam hutan bersama 45 anggota tentera lain, tetapi di belakang tempat rundingan tersebut, 300 pengganas komunis turut bersiap sedia menyerang hendap kami," katanya.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131005
Tags: history, sejarah, tugu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments