kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tugas berat bina semula tugu

DI awal kewujudannya, pembinaan Tugu Negara tidak pernah disenangi musuh negara khususnya pengganas komunis. Kemuncak kepada rasa benci mereka kepada tugu kebanggaan negara itu apabila ia dibom pada satu pagi 26 Ogos 1975, sembilan tahun selepas siap dibina.

Tidak mahu kalah kepada mainan psikologi pengganas komunis, kerajaan membuat keputusan untuk membaiki dan mendirikan semula tugu berkenaan yang rosak teruk walaupun tahu ia tugas sukar.

Tugas berat itu telah diberikan kepada bekas pensyarah seni arca Universiti Teknologi Mara (UiTM), Christopher B. Carney.

Warga Australia itu tidak keseorangan apabila dibantu pengukir tempatan seperti Mufti Jantan, Abdul Mansoor Ibrahim dan Zolkeply Maulana.

Zolkeply yang ditemui S2 baru-baru ini memberitahu, projek baik pulih tersebut diketuai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Aziz Zakaria.

Ia melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan seperti UiTM, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kimia.


MUFTI Jantan (kanan) memeriksa komponen patung Tugu Negara yang terjejas akibat dibom pada tahun 1975.
Proses baik pulih yang dilakukan di sebuah kawasan lapang berhampiran Tugu Negara itu mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

Projek yang menelan belanja RM1.4 juta turut melibatkan pakar kimpal gangsa JKR.

"Rod tembaga yang digunakan dalam proses membaiki patung tersebut di tempah khas dari Jerman dan diacu di Gong Kapas, Terengganu.

"Antara yang perlu diberi perhatian ketika proses baik pulih tersebut adalah pembuatan semula acuan paten pada bahagian yang rosak, penghasilan model tugu berdasarkan tanah liat, kimpalan pada bahagian yang tertanggal, proses mengilat gangsa dan akhir sekali metal finishing," katanya.

Antara yang menarik mengenai proses baik pulih tugu tersebut ialah warna asal tugu tersebut sebenarnya hijau sebelum diwarnakan hitam oleh pihak tertentu.

Tidak kurang juga ada cadangan awal untuk menggantikan wajah tugu tersebut yang dikatakan tiada identiti askar Melayu.

"Tugu tersebut siap dibaik pulih lebih cepat dari waktu yang dijangkakan dan strukturnya menjadi lebih tebal daripada asal," katanya.

Menurut Zolkeply, selepas tugu tersebut siap dibaik pulih, Carney kembali ke Australia, manakala Mufti dan Mansoor masing-masing menyambung pelajaran di luar negara.

"Saya meneruskan aktiviti seni bersama Muzium Negara," katanya yang kini banyak menjalankan kerja pengisian patung bersaiz diorama dan miniatur di muzium seluruh Malaysia.

Ditanya bagaimana ketiga-tiga mereka terpilih membantu kerja-kerja baik pulih itu, Zolkeply berkata, pengalaman sebagai bekas pelajar Fakulti Seni Reka dan Seni Lukis UiTM alasan utama pemilihan mereka.

"Lagi pun Carney bekas pensyarah kami. Mungkin dia tahu apa yang kami boleh buat," katanya bangga kerana terbabit dalam projek bersejarah itu.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131005
Tags: history, sejarah, tugu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments