DI sebalik kehebatan Tugu Negara yang tersergam indah di Taman Tasik Perdana, tidak ramai mengetahui ia pernah melalui detik hitam apabila dibom pengganas komunis pada pagi 26 Ogos 1975.
Kejadian tidak diduga itu amat menggemparkan negara yang pada ketika itu masih dibelenggu ancaman pengganas komunis.
Letupan itu menyebabkan tugu setinggi 15 meter ciptaan Felix De Weldon sebahagiannya musnah.
Pengukir arca tempatan yang bertanggungjawab membaik pulih tugu berkenaan, Abdul Mansoor Ibrahim berkata, kerosakan sangat besar.
"Kita boleh melihat satu patung jatuh terbaring di lantai, tiga patung putus kepala dan rosak pada bahagian kaki.
"Berdasarkan kerosakan itu, letupan tersebut memang kuat.
"Lantai marmar di sekeliling kawasan tugu turut retak sepanjang 0.6 meter disebabkan patung besar jatuh ke lantai," katanya kepada S2 baru-baru ini.
BEKAS Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tan Sri Ghazalie Shafie bersama Ketua Polis Kuala Lumpur,
Mohammad Amin Osman melihat patung Tugu Negara yang jatuh akibat dibom pengganas komunis.
Sementara itu, Utusan Malaysia terbitan 27 Ogos 1975 melaporkan sebanyak tiga bom diletakkan di tugu tersebut.
Bagaimanapun, hanya sebutir meletup. Baki dua butir bom yang belum meletup ditemui di kawasan kejadian.
Polis menemukan dua topi keledar dan dua helai bendera komunis yang ditinggalkan di situ.
Berdasarkan penemuan kesan darah di tempat kejadian, polis percaya kemungkinan seorang penyerang Tugu Negara tercedera terkena letupan.
Polis juga percaya empat pengganas terbabit dalam serangan itu termasuk seorang wanita.
Suspek dipercayai melarikan diri menaiki motosikal sebelum hilang di Bangsar.
Utusan Malaysia Online Rencana 20131005