kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memang mahu perang, bukan diplomasi

Parti Komunis Malaya (PKM) pimpinan Chin Peng mengakui parti tersebut memang telah melakukan persiapan untuk melancarkan revolusi bersenjata terhadap pentadbiran British pada 1948 dan tiada rancangan menggunakan kaedah diplomasi.

Kepimpinan PKM ketika itu memutuskan bahawa usaha meraih kuasa politik hanya boleh dicapai menerusi kebangkitan bersenjata dan bukan menerusi kaedah damai seperti bekerjasama dengan pertubuhan reaksioner.

Ini adalah kerana gerakan bersenjata tersebut bertujuan untuk menumbangkan kerajaan Imperialis British, pengaruh ekonomi dan ketenteraan di Malaya dan menggantikan mereka dengan membentuk Republik Rakyat Malaya.

Kenyataan Chin Peng itu direkodkan dalam dokumen rasmi yang diperoleh Utusan Malaysia, iaitu semasa dia mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat CPM di Peking (Beijing), China pada lewat 1961 dengan dihadiri oleh dua ahli jawatankuasa pusat iaitu Lau Li, Siow Chong dan Pengerusi PKM, Musa Ahmad. Mesyuarat itu antara lain membincangkan punca-punca gerakan bersenjata PKM yang gagal.

Dua lagi faktor pendorong PKM melancarkan perang gerila ialah komunis beranggapan kerajaan British berada dalam keadaan sangat lemah berikutan kemusnahan ekonomi yang ditanggungnya semasa Perang Dunia Kedua. PKM merumuskan bahawa British terlalu lemah untuk berdepan dengan perang gerila.

Chin Peng mengakui bahawa PKM tidak boleh menangguh-nangguhkan lagi revolusi bersenjata kerana secara ideologinya, akan mendatangkan kesan melemahkan moral anggota-anggota PKM.

Faktor ketiga ialah PKM menganggap tindak balas British yang sangat keras terhadap elemen-elemen komunis antara tahun 1945 hingga 1948, mendorong PKM untuk bangkit mengangkat senjata.

Dokumen rasmi itu turut mendedahkan pengakuan Chin Peng terhadap punca kegagalan PKM disebabkan kesilapan besar yang menjejaskan usaha PKM mencapai matlamat utamanya.


WAJAH anggota MPAJA yang merupakan organ PKM yang dirakam dari filem BBC
semasa kepulangan British selepas Jepun menyerah kalah pada 1945.



PKM gagal merampas kuasa sejurus selepas Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 dan sebelum kepulangan Tentera Bersekutu ke Tanah Melayu. Chin Peng menyatakan tempoh tersebut sebagai ‘tempoh PKM paling efektif dan parti paling tersusun di Malaya, yang sepatutnya merebut peluang untuk mendapat sokongan rakyat menentang kepulangan British.

Chin Peng menjadikan Albania sebagai contoh yang mana parti komunisnya berjaya merampas kuasa sebelum kedatangan Tentera Bersekutu. Parti komunis yang bekerjasama dengan Tentera Bersekutu lazimnya akan gagal, sebagaimana terbukti pada Parti Komunis Greece dan PKM sendiri. Chin Peng menyalahkan Setiausaha Agung PKM ketika itu, Loi Tak yang dilaporkan dibunuh di Thailand kerana disyaki menjadi pengkhianat parti.

Faktor kegagalan lain PKM ialah Rancangan Briggs iaitu skim penempatan semula penduduk di pendalaman ke lokasi khusus yang dalam kawalan pihak berkuasa, bertujuan memastikan PKM tidak dapat meluaskan ideologi mereka atau memperoleh bantuan makanan.

Satu lagi faktor kelemahan PKM kata Chin Peng ialah tindakan menyerah balik senjata milik anggota Tentera Rakyat Malaya Anti Jepun (MPAJA) kepada British, yang sepatutnya boleh digunakan untuk menguasai satu per tiga Semenanjung ketika itu.

Chin Peng dalam mesyuarat itu mendakwa dirinya sebagai antara sebilangan kecil anggota PKM yang mengambil langkah yang tepat kerana dia menolak menghadiri Perarakan Kemenangan dan menerima pingat OBE daripada British.

Pemimpin PKM itu juga mengakui bahawa ‘kempen keganasan’ yang dilancarkan oleh PKM semasa era Darurat adalah kesilapan taktikal kerana matlamat asalnya ialah menekan orang ramai supaya memberi sokongan terhadap PKM. Sebaliknya, kempen tersebut telah mendatangkan ketakutan dan kebencian terhadap komunis.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131005
Tags: communist, history, komunis, mpaja, pkm, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments