NAMA Nani Yusof Hughie popular di New York. Bekas wartawan Bernama dari Pulau Pinang yang masih aktif menulis ini boleh dianggap wanita luar biasa. Berbekalkan semangat kental dan hobi suka memasak, Nani menguasai megapolitan New York ini.
Pagi itu, dengan perutnya sudah memboyot lapan bulan, Nani seperti selalu dalam rutin hariannya meredah kota New York dengan Toyota Corolla lama yang dibelinya dengan harga tunai AS$700.
"Kalau anda boleh memandu di Pulau Pinang, tiada masalah di New York," katanya sambil bersahaja menunjukkan kemahiran menyelit sebuah teksi di kota dunia ini yang diketahui umum dengan kerenah pemandu teksi yang tidak bertimbang rasa dan suka membuli.
Hari itu, Nani menghantar pesanan makanan nasi tomato dan nasi ayam kepada delegasi Malaysia yang mengiringi lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke New York. Nani mengasaskan perniagaan makanan pada 2006 dengan nama Mami PG (Mami Pulau Pinang).
Hari-hari lain jadualnya juga hampir sama. Toyota Corolla beliau kini dijadikan kenderaan utama menghantar pesanan makanan kepada beberapa buah kedutaan dan syarikat di sekitar kota ini.
"Ada kalanya pekerja saya hantar tapi pelanggan mengharapkan saya yang datang. Mereka nak tahu isi kandungan dalam pek-pek yang kita hantar," jelasnya yang beroperasi dari rumahnya di Queens, kawasan kediaman orang Asia.
Nani, berkelulusan sains komputer juga tidak boleh mengharapkan suaminya, pakar nutrisi warga negara AS yang berasal dari Barbados. Tambahan pula suaminya sekarang sibuk menyiapkan tesis bagi pengajian Phd beliau.
"Suami saya kurang mahir jalan-jalan di New York, kalau dia sesat dia akan telefon saya," katanya yang kini mempunyai anak berusia 6 tahun.
Nani Yusof Hughie (dua dari kiri) bersama wartawan Malaysia yang
dijemput khas ke restorannya, Mamak House di Flushing, New York.
Memang Nani tidak boleh duduk diam orangnya. Setiap kali menjelang Aidilfitri beliau akan membuat kuih raya untuk dipasarkan di sekitar AS. Melayu's Cookies, begitu bunyi blog perniagaan kuih-muih Melayu yang mendapat sambutan hangat. Selain itu, Nani juga pernah menjual keropok lekor di pasar malam di kota ini.
Setelah berasakan cukup berpengalaman daripada khidmat katering yang diterima ramai, lima bulan lalu Nani membuat langkah besar dalam hidupnya apabila membuka sebuah restoran di Flushing, tidak jauh dari rumahnya.
Mamak House atau orang New York menyebutnya Mama House. Mamak House dianggap istimewa, unik dan sesuatu yang baharu. Akhbar The New York Times dalam previunya menyifatkan menu yang disajikan sebagai sesuatu yang berbeza.
Manakan tidak, ada daging nasi kandar, udang nasi kandar, ayam rendang, kari kepala ikan, asam pedas, kari ayam, roti canai, cendol dan bubur pulut hitam. Semuanya resipi Nani, warisan daripada orang tuanya.
Dan, Nani tahu apa yang mat salleh dan orang-orang Asia yang tinggal di situ mahu makan. Setelah lima bulan, Mamak House adalah antara restoran yang menjadi pilihan. Kepada rakyat Malaysia pula, Mamak House menjadi keutamaan.
Seorang menteri yang mengikuti lawatan Perdana Menteri juga sempat singgah di restoran Nani, kira-kira setengah jam perjalanan menaiki kereta. Atau jika menaiki kereta api lokasinya tidak jauh dari stesen terakhir di Queens.
Mamak House, di deretan kedai-kedai dan restoran orang Asia di Farrington Street (Northern Boulevard) itu asalnya restoran Korea. Ini memudahkan Nani yang tak perlu susah payah membuat ubahsuai dan mendapat kelulusan majlis perbandaran.
Kelebihan
Dari luar restorannya nampak biasa tetapi apabila menjengah di dalam ada rasa 'wah'. Tapi itulah ciri New York, kebanyakan bangunannya biasa sahaja tetapi yang menjadi kelebihan ialah reka bentuk dalaman.
"Nak buka restoran di sini bukan mudah. Banyak prosedur kena patuhi dan terpaksa lalui temu duga. Mujurlah semuanya boleh buat secara online," jelasnya.
Nani juga bernasib baik kerana ada orang menawarkan diri sebagai pelabur. Orang itu berasal dari Vietnam yang pernah menghuni Pulau Bidong. Ahli perniagaan Vietnam yang disifatkan oleh Nani sebagai kaya raya dan memiliki hotel di New York ini berkeyakinan beliau boleh berjaya.
"Nak dapatkan bahan masakan pun tidaklah sukar di sini. Macam kunyit saya tanam sendiri di kawasan rumah. Tanaman macam itu subur di sini," ujarnya.
Kemampuan anak mami yang tahu banyak bahasa termasuk Mandarin dan Kantonis ini memberikan kelebihan. Beliau mudah bergaul di kejiranan di situ kerana tahu banyak bahasa. Tukang masak dan sebahagian pekerjanya pun dari China.
Masakan dari buah tangan Nani diterima oleh masyarakat di sini. Setelah lelah dengan makanan halal dari India dan Asia Barat, merasakan makanan ala Malaysia memberikan kepuasan tidak terhingga. Ramai bersetuju masakan Nani boleh dikembangkan lebih jauh lagi.
"Memang impian saya nak buka restoran di kota New York, belum ada restoran masakan Malaysia lagi," katanya yang tidak dapat menyembunyikan perasaannya untuk kembali tinggal di Malaysia jika ada peluang.
Berbeza pula dengan Rozina Abdul Aziz yang membuka restoran masakan Malaysia di kota Jeddah. Di kota yang mempunyai budaya dan peradaban berbeza dengan New York mahupun Kuala Lumpur, Rozina memulakan bab baharu dalam hidupnya.
Bersama rakan kongsi Datin Fuziah Husin, mereka menamakan restoran di Mall of Arabia itu sebagai Chapter. Bab baharu, kerana kedua-dua wanita itu berumur lewat 40-an dan tidak mempunyai pengalaman dalam bidang kulinari.
Mengapa Jeddah yang dipilih, negara yang diketahui banyak birokrasi dan kurang bersahabat kepada wanita?
"Mulanya kami ingin beribadah. Fuziah ramai adik beradik di Mekah dan tiap tahun hantar orang kurang mampu buat umrah. Kami mahu tambah bilangan orang yang boleh dihantar, dari situ timbulnya idea buka restoran," kata Rozina ketika dihubungi dari Jeddah.
Kini hidup bekas pegawai kerajaan ini benar-benar berubah. Dua minggu di Jeddah, dua minggu di Kuala Lumpur. Sebahagian besar kakitangan restoran mewah itu diambil dari Malaysia.
"Kami belajar dari kesilapan sehinggalah kami temukan resepi yang sesuai. Macam char kway teow, tauge kami tanam sendiri di Jeddah supaya kesegarannya terjaga," jelasnya.
Sambutan orang ramai ke atas restoran mereka sangat menakjubkan. Pelanggan utama ialah orang Arab yang merupakan pelancong utama di Malaysia. Jadi, tak perlu susah-susah hendak promosikan masakan Malaysia.
"Tapi sehingga peringkat ini pun bukan mudah untuk menguruskan restoran di Jeddah. Banyak dugaan, besar cabarannya dan kena kuat semangat," kata Rozina.
Nani mahupun Rozina dan Fuziah adalah contoh wanita era baharu yang berani dan berjiwa kental menempuh cabaran. Mereka berjaya menjadikan diri mereka istimewa, dipandang tinggi dengan menukar fitrah wanita yang semula jadinya pandai memasak kepada sesuatu yang memberi manfaat lebih besar.
Warung Rakyat Utusan Malaysia Online Rencana 20131006