kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

UiTM jawab kekecewaan Ibu Tunggal

TERLEBIH dahulu pihak pengurusan UiTM mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengadu Ibu Tunggal, Tanjong Tokong, Pulau Pinang yang meluahkan kekecewaan kerana anaknya gagal ke UiTM seperti yang tersiar dalam ruangan ini pada 1 Oktober 2013.

Untuk pengetahuan, pengambilan pelajar baharu ke UiTM dilaksanakan sebanyak dua kali setahun, di mana sesi pertama telah mendaftar pada Jun 2013. Proses pemilihan bagi sesi kedua sedang dilakukan untuk kemasukan pada November 2013.

Pemilihan pelajar ke IPTA termasuk UiTM bagi sesi 1 2013/2014 adalah diselaraskan oleh pihak Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP), Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan mengguna pakai dasar dan kaedah yang telah ditetapkan bersama-sama IPTA.

Seperti yang kita sedia maklum, dasar meritokrasi telah diguna pakai sebagai kaedah pemilihan pelajar berlandaskan syarat am dan syarat khas program yang telah ditetapkan oleh setiap IPTA.

Dasar pemilihan adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum. Berlandaskan dasar tersebut, proses pemilihan dilakukan secara sistematik menggunakan sistem komputer dengan semakan terperinci oleh setiap IPTA.

Proses pemilihan adalah melibatkan kriteria pemilihan seperti berikut:

* Pencapaian akademik dalam Peperiksaan SPM/Setaraf

* Pencapaian dalam aktiviti kokurikulum

* Kombinasi mata pelajaran yang dimiliki bersesuaian dengan pengajian dipohon

* Gred mata pelajaran untuk tujuan pengkhususan

* Lulus temu duga/ujian kelayakan yang ditetapkan oleh IPTA bagi program pengajian yang memerlukan temu duga

* Program pengajian pilihan pemohon mengikut keutamaan

* Memenuhi syarat khas program seperti yang ditetapkan oleh sesebuah IPTA

* Bilangan tempat yang disediakan di IPTA

* Mendapat A pada subjek bukan keutamaan; dan

* Memohon program yang mempunyai persaingan yang tinggi.

Kepada pengadu, pihak pengurusan UiTM amat mengambil berat akan masalah serta keluhan yang diutarakan. Diharapkan Ibu Tunggal dapat menghubungi pihak UiTM bagi menjelaskan dan meneliti isu ini. Sila hubungi Bahagian Pengambilan Pelajar UiTM di talian 03-55443197.


DARUS KASIM b/p Pengarah, Jabatan Komunikasi Korporat UiTM.
Utusan Malaysia Online Forum 20131007

Kecewa Anak Gagal Ke UiTM

SAYA seorang ibu tunggal mempunyai empat orang anak. Salah seorang anak saya telah mendapat keputusan agak baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat 4A. Anak saya telah menjadi anak yatim sejak berumur lima tahun.


Apa yang amat mengecewakan saya ialah anak saya itu gagal mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan pilihan pertama Diploma Pelancongan.

Saya difahamkan melalui akhbar, UiTM menggesa mereka yang gagal untuk membuat rayuan. Anak saya membuat rayuan tetapi lagi sekali amat kecewa kerana rayuan tersebut juga ditolak.

Jadi ke manakah arah tuju anak yatim seperti anak saya akan melanjutkan pelajaran dengan yuran ke IPTS yang tinggi?

Saya berharap ada pihak tertentu dapat membantu mempertimbangkan agar anak saya dapat peluang melanjutkan pelajaran, khususnya ke UiTM.

IBU TUNGGAL Tanjong Tokong, Pulau Pinang. Utusan Malaysia Online  Forum 20131001
Tags: ipta, universiti
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments