PULAU PERHENTIAN 6 Okt. - Penduduk dan pelancong di sekitar pulau ini tiba-tiba digemparkan dengan kehadiran sekumpulan lelaki berpakaian skuba serba hitam yang melakukan beberapa aksi ekstrem.
Selama tiga minggu kumpulan tersebut melakukan pelbagai aksi dan mereka turut disertai beberapa ketua yang berpakaian scuba celoreng.
Antara aksi ekstrem tersebut ialah terjun dari helikopter dari ketinggian tertentu dan terus ke dasar laut untuk melakukan selaman.
Kumpulan berpakaian serba hitam ini yang mendapat gelaran gagak hitam dalam kalangan penduduk dan pelancong, turut melakukan aksi berani dengan melompat dari bot yang sedang bergerak laju.
Dua lagak berani ini dilakukan ketika mereka lengkap dengan peralatan skuba.
Di samping itu, mereka turut melakukan aksi-aksi lain yang melibatkan ujian ketahanan fizikal dan mental hingga menimbulkan pelbagai pertanyaan dari sesiapa sahaja yang melihatnya.
AKSI dipamerkan oleh pelatih-pelatih asas skuba VAT 69 dikenali Commando Rest
sebagai cara untuk anggota-anggota komando berehat ketika menjalani latihan fizikal.
Namun, semua aktiviti kumpulan tersebut sebenarnya adalah antara latihan asas skuba pasukan komando VAT 69 (Very Able Troop).
Seramai 32 pelatih VAT 69 menyertai latihan asas skuba itu dalam Siri 1/2013 di sekitar pulau ini baru-baru ini.
Penduduk dan pelancong yang pada mulanya agak terkejut dengan kehadiran kumpulan serba hitam itu akhirnya merasa gembira dan selamat setelah mengetahui mereka adalah dari pasukan komando Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ini secara langsung memberi keyakinan kepada penduduk dan pelancong di sini bahawa kawasan Pulau Perhentian addalah selamat untuk menjalankan pelbagai aktiviti riadah berikutan kehadiran VAT 69.
Komander VAT 69, Datuk Azizan Abd. Aziz memberitahu, kemahiran skuba itu merupakan salah satu kepakaran penting yang perli dimiliki setiap anggota VAT 69
Menurutnya, seramai 32 pelatih menyertai latihan asas skuba VAT 69 itu dengan setiap anggota dipilih dan ditapis terlebih dahulu secara terperinci sebelum layak menyertainya.
Pelatih-pelatih ini perlu menjalani latihan asas skuba termasuk teori di Ipoh, Perak sebelum latihan seterusnya di Pulau Perhentian selama kira-kira tiga minggu," katanya.
Latihan asas skuba itu dikendalikan oleh sekumpulan jurulatih skuba VAT 69 dan dipantau oleh Timbalan Pegawai Turus Latihan VAT 69 Komando, Deputi Supritendan Rosman Kasman.
Menurut Azizan lagi, sepanjang latihan itu, setiap pelatih diuji termasuk dari segi ketahanan mental mahupun fizikal.
Jelasnya, setiap ujian dan latihan lasak yang dilalui pelatih bertujuan memastikan anggota-anggota VAT 69 sentiasa berada dalam keadaan siap sedia kerana ancaman terhadap keselamatan dan ketenteraman awam tidak boleh diduga.
Kita mahu anggota-anggota VAT 69 sentiasa bersiap sedia serta memiliki kepakaran yang tinggi dalam peperangan atau pertempuran sama ada di udara, darat mahupun dasar laut (air).
Kemahiran seperti ini membolehkan VAT 69 dapat digerakkan ke mana sahaja dan dalam apa jua keadaan apabila diperlukan," kata beliau.
ANGGOTA komando bersiap sedia untuk melakukan latihan asas skuba.
Dalam latihan asas skuba tersebut, para pelatih itu turut diuji dari segi kemampuan serta ketahanan melalui aktiviti renang jarak jauh.
Latihan itu juga melibatkan ujian tekanan kedalaman ketika berada di dasar laut selain kemahiran menggunakan kompas ketika menyelam sama ada pada siang hari mahupun malam.
Azizan memberitahu, pihaknya sentiasa melakukan penambahbaikan dalam setiap latihan VAT 69.
Penambahbaikan ini penting bukan sahaja dari segi kemampuan anggota, malah peralatan yang digunakan agar VAT 69 sentiasa berada di hadapan bagi menangani apa jua ancaman.
Sebab itu, kita sentiasa mengadakan latihan untuk memahirkan lagi setiap anggota," katanya.
Menjawab pertanyaan, Azizan berkata, latihan dilakukan VAT 69 sentiasa mengikut perkembangan semasa supaya pasukan itu tidak ketinggalan sama ada dari segi teknologi, kemahiran, kemampuan, kebolehan dan sebagainya.
Selain menguji serta memahirkan setiap pelatih asas skuba melalui teknik-teknik selaman, latihan tersebut juga sebagai medan untuk VAT 69 menguji peralatan-peralatan selam yang dimiliki.
Sepanjang latihan tersebut, VAT 69 turut mendapat kerjasama dari Unit Udara PDRM.
AMIR SARIFUDIN amir.mansor@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20131007