kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

China-Vietnam bersaing kuat untuk memikat PKM

HUBUNGAN Parti Komunis Malaya (PKM) dengan Parti Komunis Vietnam tidaklah sebegitu mesra berbanding hubungan PKM dengan Parti Komunis China (PKC).

Keadaan ini tidak menghairankan kerana PKM melihat PKC sebagai 'tuan' yang telah banyak membantu dan membimbing PKM dalam perjuangan bersenjatanya.

PKM sendiri, pula cuba menjarakkan hubungannya dengan Vietnam kerana dasar kerajaan komunis Vietnam lebih condong menyokong Parti Komunis Kesatuan Soviet (CPSU) berhubung pendekatan berkaitan dasar mengembangkan ideologi komunis.

Pendirian Vietnam itu didorong oleh sejarah hitam yang dilalui Vietnam dengan China yang pernah menakluk Vietnam selama hampir seribu tahun, sebelum dijajah Perancis, Jepun dan akhirnya Amerika Syarikat.

Namun begitu, PKM tetap berurusan dan menjalinkan hubungan dengan Vietnam, lebih-lebih lagi bumi Vietnam kerap menjadi laluan keluar-masuk bagi pemimpin-pemimpin PKM untuk ke China dan sebaliknya, termasuk oleh Setiausaha Agung PKM, Chin Peng, Pengerusi PKM, Musa Ahmad dan anggota Jawatankuasa Pusat PKM yang lain.

Chin Peng pula, secara peribadi tidak senang melihat pemimpin-pemimpin PKM mempunyai hubungan yang rapat dengan kerajaan komunis Vietnam, terutama dengan pemimpin-pemimpin Vietnam, dan pendirian Chin Peng itu diterima sebagai pendirian PKM.

Bagaimanapun, berlainan dengan beberapa orang pemimpin Melayu PKM, seperti Musa Ahmad yang mempunyai pendirian berbeza, terutama setelah berpeluang melawat Vietnam pada Mei/Jun 1961 atas jemputan Jawatankuasa Pusat Dang Lao Dong Vietnam (DLVC) atau Parti Pekerja Vietnam.

Ketika berada di Vietnam, Musa mengambil kesempatan melawat isterinya, Zainab Mahmud dan beberapa orang anggota PKM yang kebetulan mengikuti satu kursus di Vietnam bagi mempelajari pengalaman revolusi di Vietnam.

Semasa berada di Vietnam, Musa diraikan pada satu jamuan malam bersama Ho Chi Minh. Turut hadir pada jamuan malam itu ialah Perdana Menteri Vietnam, Pham Van Dong, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perhimpunan Kebangsaan Vietnam, Truong Chinh dan seorang pegawai Parti Pekerja Vietnam yang tidak dikenali, serta seorang anggota PKM yang berada di Vietnam, Siow Chong.

Itu merupakan kali kedua Musa bertemu dengan Chi Minh. Kali pertama mereka bertemu adalah ketika mereka menghadiri Persidangan Parti-parti Pekerja dan Komunis Moscow Ke-81 di Istana Kremlin dari 11 hingga 25 November, 1960.

Semasa menghadiri jamuan malam itu, Chi Minh mendedahkan kepada Musa bahawa beliau merupakan Commintern yang hadir ketika penubuhan PKM pada 1930 di Malaya, dan sehubungan itu beliau menganggap dirinya sebagai anggota PKM juga.

Chi Minh juga menyatakan bahawa konsep Mao Tze Tung yang menekankan tentang encircling the city from the country-side tidak relevan di Vietnam kerana taktik di Vietnam melibatkan usaha mengerakkan secara serentak penduduk bandar dan luar bandar.

Beliau berkata, tumpuan utama revolusi Vietnam adalah untuk membina sosialisme di utara (Vietnam Utara) dan secara serentak melaksanakan revolusi demokratik kebangsaan di selatan (Vietnam Selatan) yang bertujuan untuk menyatupadukan negara itu.

Dalam jangka panjang, Vietnam mahu berdikari tanpa bergantung kepada bantuan asing atau bantuan luar, kata Chi Minh.

Musa juga kagum dengan sikap pemimpin Vietnam serta kesederhanaan yang diamalkan oleh pemimpin negara itu. Beliau juga kagum melihat kebanyakan pemimpin Vietnam berbasikal ke tempat kerja.

Selain itu, Musa turut kagum dengan sikap terbuka orang Vietnam di mana mereka tidak malu untuk mengakui kegagalan mereka melaksanakan pertanian kolektif. Ini berbeza dengan sikap pemimpin China yang hanya menunjukkan kejayaan mereka dan menyembunyikan kegagalan mereka kepada orang luar.

Keadaan itu sedikit sebanyak mempengaruhi hubungannya dengan Chin Peng yang terlalu berkiblatkan kepada Peking (Parti Komunis China).



Utusan Malaysia Online Rencana 20131007
Tags: communist, history, ho chin minh, komunis, pkm, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments