SETIAUSAHA Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng berasa tidak senang apabila kerajaan China yang dipimpin Teng Hsiao Peng menyuarakan hasrat untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia, dan bimbang 'tuannya' itu (Peking) tidak akan menyokong perjuangan PKM lagi.
Dalam salah satu pertemuan antara Teng Hsiao Peng (Deng Xiaoping) yang merupakan Setiausaha Agung PKC, dengan pemimpin-pemimpin PKM pada 1965, pemimpin China itu memaklumkan bahawa kerajaan China mahu mengiktiraf Malaysia dan menjalin hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur.
Teng Hsiao Peng (1978-1992) yang memerintah China menggantikan Mao Tze Tung yang meninggal dunia berkata, China telah membuat beberapa percubaan untuk mengadakan hubungan dengan Malaysia sebelum itu lagi, tetapi Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman tidak berminat dengan 'persahabatan' yang dihulurkan China.
Beliau berkata, perubahan pendekatan China terhadap Malaysia dibuat atas pertimbangan politik.
Menurutnya, hubungan antara kerajaan dan kerajaan akan memberi China lebih akses kepada Malaysia dan pada masa yang sama, membolehkan PKC menjalankan kerja-kerja propaganda di Malaysia bagi menyemai kesedaran politik dalam kalangan penduduk Malaysia terhadap kejayaan sistem sosialis di China.
Chin Peng membantah cadangan China itu dengan menyatakan hubungan baik antara kerajaan China dan kerajaan Malaysia akan menyukarkan PKC untuk terus membantu PKM.
Hsiao Peng menyakinkan Chin Peng bahawa hubungan China dengan Malaysia tidak akan menjejaskan sokongan PKC kepada PKM, dengan memberi contoh dalam kes Burma (kini Myanmar) iaitu walaupun PKC menjalin hubungan dengan kerajaan Burma ketika itu, PKC terus menyokong Parti Komunis Burma.
Utusan Malaysia Online Rencana 20131007