kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Batam 'eksport' rokok putih

Pulau Batam: “Kilang ini mengeluarkan pelbagai jenis rokok untuk pasaran Malaysia, lengkap dengan ciri keselamatan seolah-olah sudah dibayar cukai.

“Kami juga menghasilkan kotak rokok hampir 90 peratus sama dengan pengeluar asal.” Itu kata seorang pekerja sebuah kilang rokok di kawasan perindustrian Citra Buana Park III, di sini yang dikatakan mengeluarkan rokok putih, khusus untuk diseludup ke Malaysia.


Lelaki yang mahu dikenali sebagai Tarlutan, 46, itu mendakwa kilang berkenaan sudah membekalkan rokok seludup sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Dia ditemui wartawan Harian Metro yang melakukan tinjauan ke pulau ini yang dikatakan menjadi pusat pembuatan rokok seludup. Pengedaran rokok putih tidak sah, seludup dan tiruan menguasai 35 peratus pasaran rokok tempatan dengan jumlah kira-kira 227 juta batang sebulan.

batam_seludup 001

Sumber: Harian Metro Setempat Muka Surat 10 dan 11, 07 Oktober 2013


Rokok seludup itu dijual pada harga RM2.50 hingga RM4 sekotak untuk 20 batang.

Dua kilang utama di kawasan perindustrian Citra Buana Park III, Batam Centre, di sini dikatakan memproses rokok untuk pasaran Malaysia.

Kegiatan penyeludupan rokok menyebabkan kerajaan kerugian pungutan cukai sebanyak RM2 bilion setahun.


Faktor sempadan yang luas, kelemahan penguatkuasaan dan rasuah dikenal pasti menyebabkan ia bolos dan mudah didapati di mana-mana. Berdasarkan rekod, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) terdapat hampir 100 jenama rokok putih dan keretek yang tidak dibayar cukai berada di pasaran negara ini. Kebanyakannya, diseludup sama ada dari Indonesia, Filipina atau Vietnam.

Hasil tinjauan selama empat hari, terbukti beberapa rokok putih jenama terkenal yang berada di pasaran Malaysia sebahagian besarnya dihasilkan di pulau ini.


Malah, satu jenama rokok yang dulu dikilangkan di Malaysia sebelum menghentikan operasi pengeluaran Februari lalu turut dikeluarkan kilang di sini.


Kilang yang beroperasi lima hari seminggu itu juga tidak mempamerkan papan tanda menunjukkan tempat pengilangan rokok.


Tarlutan berkata, dia difahamkan kilang yang beroperasi tiga syif itu diuruskan rakyat Malaysia. “Dalam kepulauan Riau, Pulau Batam menjadi tumpuan pengilang rokok antarabangsa kerana insentif istimewa diberikan kerajaan Indonesia,” katanya.


Menurutnya, penghantaran rokok berkenaan ke Malaysia dibuat dalam dua cara iaitu menerusi pelabuhan Singapura atau diseludup terus menggunakan bot laju atau feri.


“Tiada kapal kargo yang menghantar secara langsung kerana semua penghantaran dibuat melalui Singapura sebelum ia diseludup masuk ke Malaysia melalui jalan darat atau laut menggunakan dokumen palsu.


“Selain itu, ada beberapa laluan haram digunakan penyeludup dari Batam untuk membawa keluar rokok ke Malaysia. Antara laluan haram itu ialah di Batu Merah, Teluk Mata Ikan dan Nongsa.


“Kebiasaannya laluan haram berkenaan juga digunakan untuk menyeludup manusia menggunakan bot pancung,” katanya.


Sementara itu, sumber pihak berkuasa memberitahu ada 10 kilang rokok beroperasi di pulau ini dan sembilan daripadanya milik pemodal asing.


Sumber itu berkata, kilang rokok pemodal asing beroperasi mengeluarkan rokok putih ialah tiga dari Malaysia, Republik Rakyat China (tiga), Singapura (satu) serta dua kilang lagi perkongsian pemodal Singapura dan Mauritius.


Menurut sumber itu, kemudahan bebas cukai dan duti import bagi kemasukan tembakau mentah menjadikan Batam umpama syurga industri rokok.


“Sumber tembakau diimport dari Amerika Syarikat, Argentina, Brazil, India, China, Kemboja, Kenya, Malaysia, Filipina, Sepanyol, Vietnam dan Zimbabwe,” katanya.

Yusri Abdul Malek, Amir Abd Hamid, Salman Hamat, Fardy Bungga, Adnan Mohamad dan Zuliaty Zulkiffli myMetro Setempat Muka Surat 10 dan 11 07/10/2013

Tags: batam, rokok, seludup
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments