BIAR pun sudah 65 tahun berlalu, Mohamed Taib (gambar), 75, masih dapat membayangkan bagaimana hampir keseluruhan penduduk Kampung Parit Seri Dalam, Kampung Lapis Seri Dalam dan Kampung Seri Menanti di Senggarang, Johor keluar beramai-ramai untuk mendaftar bagi mendapatkan kad pengenalan ketika mula diperkenalkan pada 1948.
Beliau yang ketika itu baru berumur 10 tahun memberitahu, suasananya tidak ubah seperti pesta di mana penduduk kampung dilihat gembira untuk mendapatkan kad pengenalan diri yang dianggap manifestasi kepada kesetiaan dan ketaatan rakyat kepada negaranya.
Dahulu semangat nasionalisme dan cintakan tanah air jauh berbeza berbanding budak-budak sekarang. Apatah lagi ketika itu Malaya masih berada dalam keadaan darurat.
Kad pengenalan atau kad beras pada waktu itu besar ertinya. Selain membolehkan penduduk membeli beras, kad itu seakan menjadi bukti ketaatan kita kepada negara," katanya.
Menurutnya, bagi memudahkan penduduk kampung mendaftar untuk mendapatkan kad beras, beberapa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama anggota polis masuk ke kampung-kampung ditetapkan.
Pendaftaran di kampung kami dilakukan di Pondok Polis lama. Gambar diambil berlatar belakangkan dinding pondok itu yang berwarna putih.
Saya tak pasti apa yang dibawa penduduk kampung untuk mendaftar. Mungkin mereka membawa daftar kelahiran dan ditunjukkan kepada pegawai itu," ujarnya.
Ditanya bagaimana kad beras itu berfungsi, beliau berkata, kad itu perlu ditunjukkan kepada pekedai yang mempunyai lesen menjual beras sebelum dibenarkan membuat pembelian.
Pekedai akan menulis butir-butir kad itu di dalam buku sebelum pembelian dibuat. Tujuannya untuk mengelakkan daripada komunis mendapatkan bekalan makanan," ujarnya.
Kisahnya tidak berakhir di situ, pada 1962, Mohamed yang merupakan satu-satunya penduduk di situ belajar sehingga darjah enam akhirnya dilantik sebagai ketua kampung.
Pada waktu itu, kerajaan menetapkan agar kad beras ditukarkan kepada kad pengenalan plastik biru. Apabila kad pengenalan penduduk kampung siap, kesemuanya akan diserahkan kepada saya untuk diedarkan kepada penduduk kampung," katanya.
Utusan Malaysia Online Rencana 20131102