kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bukan sekadar lihat isu MyKad palsu

PENGAWAL keselamatan seperti nama jawatannya adalah untuk menjaga keselamatan di sesuatu tempat atau kawasan, sama ada keselamatan orang ramai, premis perniagaan, wang tunai mahupun harta benda bernilai tinggi.

Apabila berlaku beberapa kes pecah amanah, pengawal itu sendiri mencuri, merompak, malah lebih teruk lagi membunuh, mencederakan dan merogol orang awam ataupun pekerja, maka masyarakat akan hilang keyakinan kepada bidang kerja tersebut.

Selepas kejadian seorang kakitangan bank terbunuh ketika rompakan oleh seorang pengawal keselamatan di Selangor sebelum ini, seorang lagi pengawal keselamatan mengikut jejak sama merompak sebuah kedai emas di Kuala Lumpur.

Dalam kes pertama, suspek dikatakan warga Indonesia yang menggunakan MyKad palsu sementara kes kedua juga dikhuatiri mungkin menggunakan MyKad palsu.

Kes seperti ini menyebabkan orang ramai semakin hilang kepercayaan terhadap pengawal keselamatan apatah lagi majoritinya kini adalah warga asing di pasar raya, sekolah, pejabat, kawasan perumahan, malahan agensi dan jabatan kerajaan, belum dicampur pencuci, buruh kasar dan lain-lain pekerja yang rata-ratanya warga asing.

Tambahan pula pendedahan menunjukkan MyKad palsu mudah diperolehi dan mudah melepasi saringan untuk menjadi pengawal yang memegang mahupun menjaga senjata api, memberi peluang untuk mereka merompak dan mencuri, ataupun melakukan pelbagai jenayah lain.

Kebimbangan utama orang awam adalah bidang kerja yang memberi senjata api kepada pekerja asing, lebih-lebih lagi susulan kes-kes jenayah seperti rogol, rompak dan bunuh melibatkan pendatang asing dilihat lebih kejam, sama ada sesama mereka mahupun terhadap warga tempatan.

Isunya bukan satu atau dua, tetapi kebimbangan umum hanyalah satu. Bolehkah kita terus berasa selamat dikelilingi pengawal keselamatan, khususnya warga asing yang ditugaskan 'menjaga keselamatan' lengkap dengan senjata api, atau mungkin perlu ada rombakan struktur keselamatan komuniti di negara ini?

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berpendapat masyarakat mungkin merasakan berlakunya pembelotan selepas beberapa kejadian jenayah melibatkan pengawal keselamatan sebelum ini.

"Orang ramai mungkin melihat semua pengawal keselamatan itu sama tetapi sebenarnya ada dua jenis iaitu jenis statik yang mengawal dan pengawal bersenjata. Kita sepatutnya bertanya kenapa semua ini berlaku.

"Ini melibatkan integriti mereka yang sepatutnya jalankan kewajipan, orang yang membuat keputusan ambil golongan tersebut sebagai pengawal keselamatan sedangkan permohonan dengan dokumen tidak lengkap tidak boleh diterima," tegasnya.

Beliau mendakwa budaya 'tepuk bahu' dan ayat 'tak apalah' bagi membolehkan pemohon menangguh penghantaran dokumen antara punca utama sampaikan ada kes dokumen wajib dilupakan begitu sahaja, sehinggalah ada seseorang mati akibat pengawal keselamatan tersebut.

Beliau juga yakin sudah ada perancangan untuk membuat pemeriksaan mengejut oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahupun Persatuan Kawalan Keselamatan Malaysia sendiri.

"Pihak persatuan lebih tahu bidang kerja mereka, tidak boleh harapkan KDN dan polis sahaja bertindak. Persatuan boleh buat lebih baik daripada respons biasa kepada media, mereka patut pantau sendiri dan bantu penguatkuasaan kerana ini semua akan kembali kepada (imej) mereka juga.

"Isu MyKad palsu milik warga asing, siapa yang ambil mereka bekerja dan kenapa tidak diperiksa? Ini kerana ada syarikat-syarikat terbabit tidak membuka cawangan daripada syarikat induk sebaliknya membuat sistem 'francais' haram," dakwanya.

Beliau menegaskan, kerajaan sudah menetapkan syarat-syarat ketat tetapi syarikat terbabit yang belot dan tidak mematuhinya, sekadar berikan baju pengawal kepada mana-mana individu dan terus letakkan mereka bertugas di mana-mana premis atau kawasan asalkan ada bayarannya.

Kamal Affandi juga melihat sektor insurans kurang memainkan peranan kerana hanya menetapkan syarat perlu ada pengawal untuk sesuatu premis atau kawasan diinsuranskan tetapi tidak mewajibkan pengawal itu perlu berlesen malahan tidak menyatakan had saiz kawasan yang boleh dijaga setiap pengawal.

"Janganlah semuanya mahu salahkan kerajaan, tengok dahulu syarikat terbabit mahupun peranan pihak lain seperti sektor insurans dalam mengawal syarat-syarat dalam sektor kawalan keselamatan.

"Ambil contoh sebuah syarikat keselamatan saya lihat menggaji pengawal punjab dan lain-lain etnik dari negara India, tidak perlu membayar gaji tinggi, kalau tidak bayar gaji pun pekerja tiada tempat boleh mengadu," ujarnya.

Beliau menyarankan KDN mengeluarkan pas kerja yang seragam untuk sektor keselamatan seperti ditetapkan untuk pelajar dan pekerja asing lain agar rakyat mudah mengenali siapa yang diluluskan serta terlatih, dan siapa pula yang 'palsu'.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah pula melihat orang ramai semakin risau bila dokumentasi pengawal keselamatan juga bermasalah sehingga membolehkan pendatang haram menggunakan dokumen palsu.

"Kita mahu orang jaga keselamatan kita tapi sekarang latar belakang pengawal-pengawal ini pun bermasalah. Perlu ada semakan, siasatan dan tidak boleh lihat sekadar isu MyKad palsu sahaja, lihat mekanisme saringan sama ada perlu kaji semula semuanya.

"Ini bergantung kepada syarikat yang mengeluarkan lesen mematuhi peraturan pengambilan pengawal baharu atau tidak, mereka bertanggungjawab menyaring dan jika ada salah guna kuasa perlu diambil tindakan agar kejadian serupa tidak berulang," katanya.

Beliau tidak menafikan warga asing kini terpaksa digunakan dalam sektor keselamatan tetapi bidang kerja mereka tidak boleh melibatkan aspek sensitif dan sepatutnya sekadar menyokong kakitangan keselamatan tempatan sahaja.

Tambahnya, pengawal warga asing tidak boleh diletakkan di baris depan ataupun tanggungjawab bersenjata selepas sebulan dua bekerja kerana latar belakang penuh mereka masih perlu dinilai sepenuhnya oleh penyelia.

"Kaji semula penggunaan warga asing dalam sektor keselamatan ini, banyak syarikat ambil kesempatan. Perlu perkemas, kena tegas kerana sebelum ini ada yang kata warga asing tidak boleh masuk sektor keselamatan tapi kini mereka yang monopoli.

"Saya lihat ramai orang tempatan sertai Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang hanya ada elaun. Kenapa tidak tawarkan gaji setimpal kepada orang tempatan, pasti perkhidmatan keselamatan lebih diyakini semua pihak menggunakan warga Malaysia walau di premis mana sekalipun," ujarnya.



Artikel Penuh: Utusan Malaysia Online Rencana 20131102
Tags: ic, jpn, mykad
Subscribe

  • Peti pos merah sentiasa ‘sesak’

    SEBELUM Alexander Graham Bell mencipta telefon pada 1870, kaedah komunikasi jarak jauh manusia di seluruh dunia terlebih dahulu dipelopori oleh…

  • An open letter to the Malaysian postman

    DEAR Sir, I have a confession to make. I feel guilty that my bond with you isn't as close as it was before, and it's not your fault.…

  • Raya greetings came via post

    One main feature of all old press coverage of Hari Raya Aidilfitri was the mass exodus of people getting out of town, making their way back to…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments