kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jangan ceduk Wikipedia

SENATOR Republikan bagi Kentucky, Rand Paul menjadi tumpuan media minggu ini, setelah disyaki memplagiat Wikipedia untuk kandungan ucapannya oleh pengulas politik di stesen MSNBC, Rachel Maddow Isnin lalu.

Berucap pada majlis memberi sokongan kepada calon merebut jawatan gabenor Virginia Ken Cuccinelli, Paul menggunakan contoh filem fiksyen sains Gattaca. Filem terbitan 1997 ini mengisahkan masyarakat distopia yang mengamalkan kaedah eugenics, iaitu pemilihan baka manusia yang baik dan memisahkan yang tidak baik.

Maddow menggariskan keanehan ucapan Paul yang ‘begitu ketara sama’ dengan artikel Gattaca dalam Wikipedia.

Ucapan Paul berbunyi: “In the movie Gattaca, in the not-too-distant future, eugenics is common and DNA plays a primary role in determining your social class."

Petikan dari artikel dalam Wikipedia: ‘‘In “the not-too-distant future", eugenics is common, and DNA plays the primary role in determining social class."

Ucapan Paul: “Due to frequent screenings, Vincent faces genetic discrimination and prejudice. The only way to achieve his dream of being an astronaut is he has to become what‘s called a “borrowed ladder."

Dari Wikipedia: ‘‘Due to frequent screening, Vincent faces genetic discrimination and prejudice. The only way he can achieve his dream of becoming an astronaut is to become a “borrowed ladder", a person..."

Maddow menyoal apakah Paul (atau penulis teks ucapannya) memplagiat dari Wikipedia? Atau apakah ia sekadar kebetulan yang luar biar aneh?

Apakah kes seumpamanya pernah berlaku di Malaysia? Mungkin ada. Mungkin tidak. Kalau ada sekali pun, kebanyakan media arus perdana tidak akan mengendahkannya kecuali jika pernyataan tersebut nyata dan jelas melanggar Rukun Negara.

Bagaimana seseorang itu menyediakan teks ucapan? Kita ambil contoh seorang ahli politik dan ketua pegawai eksekutif (CEO). Lazimnya mereka ada pegawai khas untuk menyediakan teks ucapan sama ada pegawai perhubungan awam atau setiausaha akhbar.

Misalnya ada jemputan merasmikan sesuatu acara. Pegawai terbabit akan berhubung dengan pihak penganjur bagi mendapatkan input mengenai acara dan kaitannya dengan situasi semasa negara. Input tersebut kemudiannya, digabungkan dengan input daripada pegawai di kementerian atau syarikat untuk diselaraskan dengan dasar-dasar semasa. Teks itu kemudiannya diserahkan kepada menteri atau CEO untuk semakan atau pengubahsuaian.

Terdapat juga menteri atau CEO yang melantik penulis ucapan khusus. Mereka mungkin terdiri daripada profesional dalam bidang-bidang tertentu seperti jurutera, saintis, tentera atau juga pensyarah universiti yang sememangnya arif menganalisis sesuatu dasar atau isu.

Tapi terdapat juga tokoh yang menulis sendiri teks ucapannya dan tokoh dimaksudkan ialah Tan Sri Rafidah Aziz. Sebagai wartawan, kami menganggap Rafidah atau Wanita Besi ini tidak boleh dilupakan kerana salinan teks ucapannya ditulis tangan! Pernah ditanya kepada setiausaha akhbarnya. Bila masa Rafidah siapkan teksnya? ‘‘Mula-mula di pejabat. Kemudian beliau akan semak dan kemas kini dalam kereta ke tempat acara (bukti terdapat kesan potong di sana sini pada perenggan)''.

Kekaguman wartawan yang membuat liputan acara Rafidah melangkau hingga ke luar negara. Semasa bertugas membuat liputan sidang menteri-menteri ASEAN di Brunei dan Singapura, teman wartawan asing terkejut melihat teks ucapan tulisan tangan Rafidah. Angka-angka yang diberinya tidak silap dan ayatnya teratur. Cuma kena tajamkan mata membaca tulisan tangan! Ketokohan Rafidah semasa di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjadi legenda tersendiri di kalangan wartawan dalam dan luar negeri.

Mengapa kandungan ucapan itu penting? Banyak faktor sebenarnya. Selain kaedah untuk menyampaikan mesej berbentuk pendapat atau dasar-dasar, ideologi atau sebagainya, ucapan juga membolehkan kita menilai persepsi orang di sekeliling tentang kita, maka itu persepsi tersebut boleh membina atau menghancurkan keyakinan diri kita.

Dalam kes Paul Rand di atas, nyata setiap gerak-geri ahli politik diteliti sedalam-dalamnya oleh media massa Amerika Syarikat. Secara umumnya, seorang ahli politik di negara itu dinilai pada tahap konsistennya dalam memperjuangkan sesuatu isu, keikhlasan dan keberanian waima dalam aspek retorik.

Apabila didapati wujud kemungkinan Paul memplagiat kandungan Wikipedia, sedikit-sebanyak kewibawaan Paul yang baharu meningkat naik menjadi bahan jenaka. Implikasinya ialah Paul dianggap sebagai pemalas kerana menyediakan teks ucapan sama seperti budak sekolah (potong dan tampal dari Internet) selain menggunakan Wikipedia yang dipertikaikan kesahihannya dan tuduhan lebih serius, memplagiat.

Membicarakan perihal kandungan ucapan, perkara ini tidak tertutup kepada ahli politik atau CEO semata-mata. Tetapi turut meliputi anda yang berucap di majlis kecil-kecilan seperti mesyuarat jawatankuasa penduduk, PIBG dan majlis persandingan.

Semua memerlukan kemahiran berucap di khalayak dan orang akan menilai anda daripada segi kandungan, ketulenan ayat dan kewajaran selain kaedah penyampaian yang baik.

Dalam zaman Internet ini juga iaitu Facebook, Twitter dan blog, penelitian dan penilaian terhadap kandungan ucapan seseorang itu menjadi lebih mendalam. Akan ada orang mencatit hujah anda dan kemudian membuat semakan sama ada betul atau tidak, fakta atau auta, wajar atau fitnah, ikhlas atau keji.

Seandainya didapati hujah anda salah fakta, nescaya nama anda jadi ‘terkenal’ di alam maya. Kecaman yang anda akan terima mungkin sama buruknya dengan kegiatan menyiar gambar yang sudah diubah suai, atau memplagiat berita media arus perdana dan kemudian disiarkan semula dalam laman web sendiri dengan tujuan untuk mendatangkan cemuhan. Niat asal memang tidak bersih. Lama-kelamaan orang yang berakal akan sedar juga.

Bak kata bekas Presiden AS, Abraham Lincoln: ‘‘Awak boleh menipu beberapa orang setiap masa, dan semua orang pada sesuatu masa tetapi awak tidak boleh menipu orang pada setiap masa’'.



Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Online Rencana 20131103
Tags: plagiarism
Subscribe

  • Kisoh Igak Ikang

    Doh wak gane ni orrrkk , kisoh petang ning lepah ' minung bir' .... bace deh ... kawang daghi ganu ato ... jangang maghoh ke ambe plok ...…

  • Kursus Bahasa Untuk Penerbangan ~ Loghat Perthliess (Abi)

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Sat lagi kita nak mendaghat di Lapangian Teghebiang Cupin Tali pinggiang tu tulung pakai takut nye pelantin pi depan sat…

  • History of the Old Melake

    Soalan KBAT atau Higher Order Thinking Skills Malayan Examination Chong worried over emphasis on exam results JERANTUT: An education system that…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments