kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kalau bukan Melayu siapa lagi?

PENDIRIAN tegas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam isu-isu berkaitan pengguna terutama melibatkan soal halal dan ketamakan peniaga yang cuba mengaut keuntungan keterlaluan sering sahaja menjadi tajuk berita hangat di dada-dada akhbar.

Terbaru, pendedahan mengenai 90 peratus minyak masak di pasaran yang dipercayai hasil kegiatan kitar semula minyak masak yang telah digunakan.

Antara orang yang lantang mendedahkan perkara ini adalah Ketua Aktivis PPIM DATUK NADZIM JOHAN.

Dalam satu pertemuan bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID baru-baru ini, Nadzim meluahkan kekecewaannya tentang nipisnya kesedaran membantu orang Melayu oleh syarikat milik kerajaan (GLC).

“Apa salahnya jika syarikat-syarikat Melayu ini tetap diberi bantuan kerana GLC pun mendapat banyak faedah dari usaha yang dilakukan kerajaan," katanya.

MINGGUAN: Sekarang banyak rungutan diterima tentang keengganan GLC membantu syarikat-syarikat serta pekerja-pekerja Melayu mereka sendiri. Apakah perkara itu serius atau bagaimana?

NADZIM: Daripada apa yang kami lihat saya rasa ini mungkin berlaku disebabkan kehilangan atau semakin nipisnya kesedaran orang Melayu itu sendiri dalam membantu bangsanya. Apatah lagi seharusnya GLC perlu lebih fokus kepada memenuhi matlamat sebenar yang hakikatnya berlandaskan Perlembagaan negara sendiri. Ia kemudiannya diteruskan oleh pihak kementerian sebelum melibatkan GLC itu sendiri. Mungkin sesetengah mereka terperangkap terutama melibatkan ketua pegawai eksekutif di antara mendapatkan yang termurah atau terbaik atau mendapatkan khidmat syarikat Melayu dan bumiputera yang bermasalah. Mungkin mereka ini mempunyai KPI sendiri dalam mencari keuntungan.

Jadi mereka bimbang akan kerugian dan terpaksa memilih jalan selamat. Namun saya melihat perkara ini tidak harus berlaku kerana kalau pihak ini bersungguh mencari mereka yang berkemampuan maka semua pihak akan mendapat keuntungan. Mungkin orang kata ada orang Melayu yang tidak cukup pandai tetapi ramai lagi orang Melayu yang lebih pandai daripada bangsa lain. Kita boleh lihat contoh seperti Allahyarham Tan Sri Nasimuddin, Tan Sri Syed Mokhtar dan sebagainya yang bermula dengan modal yang kecil dan berjaya dalam perniagaan yang diceburi.

Maksud Datuk GLC tidak boleh cepat putus harap terhadap orang Melayu dan perlu terus mencari dan memberi peluang kepada usahawan Melayu yang betul-betul berkualiti?

NADZIM: Itulah yang sepatutnya. GLC tidak boleh mengambil sesiapa sahaja tetapi perlu memilih dan mencari mereka yang benar-benar layak dan terbaik. Mereka yang diberi peluang pula perlu benar-benar bersungguh menjalankan tugas dan amanah yang diberikan selain membantu usahawan Melayu dan bumiputera lain untuk berjaya. Namun saya melihat ini mungkin kesilapan yang dilakukan oleh orang Melayu sendiri terutama di peringkat pengurusan tertinggi yang mahu mencari jalan mudah mengambil majoriti orang bukan Melayu untuk diberi projek dan sebagainya. Namun hakikatnya dalam apa jua yang kita lakukan perlu pengorbanan.

Kita cuba lihat bangsa-bangsa lain mereka berkorban untuk kaum mereka. Malah saya dahulu bersekolah di sekolah Cina dan melihat keadaannya sama iaitu ada Cina yang bijak dan ada yang tidak berapa pandai. Maksudnya orang Melayu pun tidak ada jauh berbeza. Bagaimanapun orang Cina yang tidak berapa berjaya mereka dibantu sehabis baik oleh kawan-kawan mereka yang berjaya sedangkan orang Melayu pula bersendirian. Jika orang Melayu bergerak sendirian boleh berjaya tidakkah kita lebih hebat daripada bangsa lain. Namun mungkin tidak ramai kerana tidak ramai yang mendapat pendedahan dan mereka ini pula tidak mendapat bantuan dan sokongan dari kaum mereka sendiri.

Kenapa perkara ini berlaku kerana sepatutnya orang Melayu seharusnya lebih banyak membantu sesama mereka?

NADZIM: Kalau kita lihat bersandarkan sejarah dan latar belakang orang Melayu bukanlah bangsa yang biasa berniaga. Memang pengalaman kita kurang dan pelbagai lagi masalah lain. Namun ini menjadi tanggungjawab GLC untuk menentukan pembahagian itu berlaku. Banyak persepsi negatif berlegar bahawa syarikat orang Melayu ini banyak yang tidak berkualiti, jika benar sekalipun takkan semua begitu. Carilah yang benar-benar berkualiti atau yang tersenarai di bursa saham. Saya percaya banyak syarikat-syarikat Melayu yang mempunyai kualiti dan boleh diberi peluang oleh GLC untuk dikongsi bersama. Jika kita lihat lebih mendalam GLC-GLC ini pun yang sudah bertaraf antarabangsa masih tetap menerima bantuan serta projek dari kerajaan malah pasaran pula dikawal kerana untuk bersaing di peringkat antarabangsa bukanlah satu kerja yang mudah.

Maka apa salahnya jika syarikat-syarikat Melayu ini tetap diberi bantuan kerana GLC pun mendapat banyak faedah dari usaha yang dilakukan kerajaan. Ini yang seharusnya dilakukan namun ia tidak berlaku mungkin kerana tidak ada kesedaran atau terlena seketika dalam keadaan yang selesa. Selesa mungkin kerana gajinya besar, banyak kemudahan diperoleh dan saya lihat semua ini memerlukan pendekatan baharu melibatkan semua pegawai-pegawai peringkat tertinggi dalam GLC. Mereka ini memegang tanggungjawab dan amanah untuk menjayakan agenda dan aspirasi nasional.

Dalam hal iklan melibatkan akhbar-akhbar berbahasa Melayu ini kenapa GLC kurang membantu sedangkan akhbar-akhbar ini yang banyak membantu ketika mereka berhadapan tekanan dan krisis?

NADZIM: Ini disebabkan faktor kurang kesedaran terutama dalam soal membantu bangsa sendiri. Bukanlah kita mahu bertindak ekstrem sehingga semua iklan atau projek diberi kepada akhbar dan orang Melayu sahaja. Tidak ada salahnya berkongsi dengan bangsa lain namun janganlah sampai memperlekeh atau memandang rendah keupayaan bangsa sendiri sehingga mengambil mudah agenda nasional. Namun sudah tentu jika kita membantu faedahnya tentu diterima oleh bangsa kita juga. Jika kita bandingkan orang Melayu dengan orang Cina, bagaimana mereka membantu akhbar mereka habis-habisan. Jadi dalam keadaan orang Cina yang kaya dan maju dalam segala sudut dan dibandingkan dengan syarikat Melayu yang ketinggalan, kurang modal dan pengalaman sudah tentu kita akan ketinggalan.

Organisasi dan syarikat besar orang Cina memang akan membantu kaum serta akhbar mereka dan ia sudah menjadi tabiat serta budaya mereka untuk membantu bangsa mereka. Ini yang perlu kita belajar. Seharusnya orang Melayu tidak perlu malu membantu sesama sendiri terutama GLC. Ini kerana perkara ini adalah tanggungjawab mereka untuk membantu bangsa sendiri dan mereka perlu belajar dari syarikat-syarikat Cina yang membantu kaum mereka dahulu. Inilah realiti yang berlaku kerana mereka akan membantu sesama sendiri sama ada bermula dengan saudara mara atau kawan-kawan dan kemudian kaum mereka yang kurang berjaya.

Mungkin kerana sikap pihak tertentu yang merasakan jika orang Melayu dibantu mereka akan bersikap lemah dan sebagainya. Apakah perkara ini benar atau sengaja dibangkitkan untuk memberi persepsi negatif tentang orang Melayu?

NADZIM: Ini adalah realiti kehidupan. Dalam hal ini kita perlu faham dan bersungguh dalam bagaimana kita boleh membantu bangsa kita. Namun mungkin disebabkan orang Melayu yang berjaya ini atau beberapa kerat yang berjaya ini tidak sedar atau faham kenapa mereka perlu membantu bangsa sendiri. Contoh yang saya mahu sebutkan di sini adalah mengenai syarikat stesen minyak yang kurang mendapat bantuan, apa yang dilakukan kalau nak daftar, kalau tidak ada modal susah nak buka stesen minyak. Kalau pinjaman tidak diluluskan itu adalah masalah sendiri dan tidak ada inisiatif dalam membantu. Apa salahnya dibantu usahawan Melayu ini supaya mereka boleh bermula dengan kecil dan kemudian berkembang menjadi besar.

Kesedaran sebegini tidak ada dan itu adalah sesuatu yang menyedihkan. Kalau kita lihat orang Cina mereka dibantu oleh bangsa mereka sendiri dari segi modal, pendaftaran dan sebagainya. Ini bukanlah cubaan bersikap cauvinis tetapi ini adalah hakikat. Jika orang Melayu bersikap pemurah dan saling bantu-membantu semua masalah ini tidak akan timbul. Mungkin orang akan kata dari segi etika tidak berapa betul tetapi sudah tentu kita akan membantu saudara kita dahulu dan bukannya membantu musuh dahulu. Sebagai contoh dalam industri media dan akhbar kenapa iklan perlu diberi kepada mereka yang tidak membantu atau hanya tahu mengkritik dan menentang. Sedangkan akhbar yang banyak menolong dan berjasa dianak tirikan. Ini bagi saya adalah satu perkara yang agak pelik kerana yang menentang dibantu tetapi yang menyokong dibiarkan terkapai-kapai.

Pada pandangan Datuk, apa sebenarnya punca kenapa terdapat pihak yang sengaja tidak mahu membantu bangsa mereka sendiri?

NADZIM: Kita mempunyai satu masalah lupa diri dan tidak sedar diri. Kita tidak sedar dari mana asalnya kita ini dan apabila berjaya pula kita akan lupa diri dan kemudian hanyut. Akhirnya kita bukan sekadar dibenci oleh orang lain tetapi oleh orang kita sendiri. Tetapi sudah tentu bukan semua orang Melayu begitu. Kita boleh lihat beberapa orang Melayu yang berjaya ini seperti Tan Sri Azman Hashim dan Tan Sri Syed Mokhtar mereka ini banyak membantu orang Melayu lain walaupun sudah berjaya. Jika kita bandingkan dengan bangsa-bangsa lain, tidak banyak yang disumbangkan walaupun sudah berjaya dan kaya raya. Namun semua ini adalah salah orang kita sendiri yang terikut-ikut dengan masalah tidak sedar diri dan lupa diri. Kita perlu mendidik dan menyedarkan orang Melayu malah mungkin pengurusan tertinggi perlu diberi kursus tentang tahu sejarah, apa yang berlaku dalam masyarakat kita supaya tidak lupa diri.

Bagi saya sejarah sangat penting kerana jika kita gagal memahami sejarah akhirnya sejarah yang akan menghukum kita semula. Oleh itu kita perlu insaf terutama pegawai tertinggi di GLC tentang siapa kita dan dari mana asalnya kita. Siapa yang membantu mereka dari mana biasiswa yang diterima mereka dan siapa yang meletakkan mereka di tempat tersebut. Saya bukan nak katalah tetapi ada di antara mereka ini yang datang dari kampung dan hidup susah tetapi apabila berjaya semua itu dilupakan. Bukankah sepatutnya keutamaan mereka setelah berjaya adalah melahirkan lebih ramai lagi orang Melayu seperti mereka yang berjaya dan menduduki kerusi penting di peringkat tertinggi.

Bagaimana Datuk melihat pandangan atau persepsi yang menyatakan PPIM ini bertindak keterlaluan dalam hal-hal yang berkaitan orang Melayu dan Islam?

NADZIM: Kita jelas dalam soal ini dan pihak PPIM pun mempunyai siaran radio dalam sejam setiap hari. Kami terbuka dalam soal ini malah ia turut melibatkan wakil dari pihak Cina. Pihak kami berpandangan realiti semasa perlu kita fahami dan dalam soal orang Cina dan India mereka juga adalah rakyat Malaysia dan tidak bolehlah kita kata pada mereka balik ke Cina, India dan sebagainya. Jadi apa salahnya kita hidup saling hormat menghormati dalam keadaan terbaik dimana kita boleh hidup dalam suasana harmoni serta anak-anak kita yang berbilang bangsa ini boleh hidup aman makmur bersama. Semua ini boleh dilakukan dan tidak perlulah kita bergaduh tidak tentu hala. Sebagai contoh dalam sebuah keluarga tentu ada abang atau adik yang tidak berjaya.

Takkanlah mereka yang berjaya ini nak berebut harta atau tanah sekangkang kera sedangkan adik beradiknya yang lain hidup susah. Pada hari ini kita kurang melihat soal membantu tetapi lebih kepada berebut dan menegakkan hak masing-masing. Sedangkan dalam konteks negara ini semua kaum harus saling bantu membantu. Barulah mereka akan menjadi sebuah masyarakat yang baik dan harmoni. Orang Melayu juga haruslah sedar diri kerana ramai di antara kita yang bersikap mengambil mudah. Jadi perkara ini adalah yang terbaik kerana ia mewujudkan equalibrium dalam masyarakat untuk hidup bersama. Jika keadaan tegang dan masing-masing mahu mengatakan mereka betul seperti yang berlaku sekarang maka jadinya yang kalah jadi abu dan menang jadi arang.


Utusan Malaysia Online Rencana 20131103
Tags: glc
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments