kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Usaha pupuk perpaduan rakyat perlu berterusa

Sejak kebelakangan, tidak banyak lagi negara yang menghadapi masalah perkauman yang serius. Dengan terhapusnya dasar Apartheid di Afrika Selatan, tidak ada lagi dasar perkauman yang menjadi perhatian dunia. Di Amerika Syarikat, isu perkauman kulit putih dan kulit hitam semakin jarang diperkatakan. Keadaan ini berbeza pada satu ketika dulu apabila pergaduhan peribadi individu membabitkan dua warna kulit yang berbeza boleh mencetuskan rusuhan kaum.


Keadaan yang sama berlaku di negara yang menghadapi masalah yang hampir serupa dengan Amerika Syarikat. Di mana-mana sekali pun, kecuali di beberapa negara dunia ketiga, sudah jarang didengar isu yang membabitkan rusuhan kaum berpunca daripada perbezaan warna kulit. Ketegangan perkauman di negara itu dapat dikendurkan kecuali yang berpunca daripada perbezaan ideologi politik.

Cetus ketegangan


Biasanya, di kebanyakan negara yang didiami rakyat pelbagai warna kulit, masalah kaum biasanya menjadi faktor menghalang kemajuan, malah sering menimbulkan ketegangan. Keadaan bertambah buruk jika perbezaan kaum turut membabitkan perbezaan agama.

Di Malaysia, masalah perkauman sering dikaitkan dengan isu politik. Apabila didapati sesuatu kaum tidak menyokong calon atau parti yang berasaskan kaum, wujud andaian bahawa ia berpunca daripada perbezaan kaum. Tambahan pula di negara ini, kebanyakan parti politik adalah berteraskan kepada kepentingan kaum. UMNO ditubuh untuk memperjuangkan nasib dan hak orang Melayu, MCA untuk kaum Cina, manakala MIC untuk kaum India.

PAS ditubuhkan atas nama Islam kerana perjuangan untuk kaum Melayu sudah pun dijuarai oleh UMNO. DAP yang kononnya parti untuk semua kaum di negara ini, realitinya adalah parti kaum Cina, begitu juga dengan GERAKAN yang dikuasai kaum Cina walaupun membuka keahliannya kepada semua kaum.

Di Malaysia, usaha menyatukan rakyat bermula apabila UMNO, MCA dan MIC bergabung dalam gerakan menuntut kemerdekaan negara daripada British. Koloborasi tiga parti terbesar mewakili kaum masing-masing ketika itu akhirnya menghasilkan kerjasama menerusi parti Perikatan. Kemudian kerjasama parti komponen diperkukuhkan menerusi penubuhan Barisan Nasional (BN) yang membabitkan lebih banyak parti mewakili pelbagai kaum dan entiti termasuk di Sabah dan Sarawak.

Ini adalah kerjasama paling efektif menyatukan rakyat yang berbeza kaum, budaya dan agama. Pada satu ketika, perpaduan rakyat begitu mantap dan dibuktikan menerusi keputusan pilihan raya setiap lima tahun sekali yang mana BN terus menjadi pilihan. Lebih penting lagi ialah kerana rakyat tidak yakin dengan kejujuran parti pembangkang. Mereka sudah melihat jasa parti Perikatan dan BN, tetapi ragu-ragu dengan parti pembangkang.

Namun, sejak dua Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, iaitu pada 2008 dan 2013, isu perpaduan kaum tercetus semula. Ini berasaskan kepada analisis yang dibuat pelbagai pihak bahawa undi kaum Cina tidak lagi diberikan kepada BN kerana kononnya tidak berpuas hati dengan BN dan kerajaan. Sebahagian besar kaum Cina memberi undi kepada pembangkang. Kemenangan BN dilihat datangnya daripada pengundi Melayu, walaupun undi Melayu juga berpecah kepada PAS. Cuma, walaupun pengundi Cina tidak memberi undi kepada BN yang diterajui UMNO, BN masih dapat membentuk kerajaan. Pengundi India yang berpihak kepada pembangkang pada PRU 2008, kembali menyokong BN pada PRU-13.

Kebelakangan ini, banyak pendapat dan andaian didengar mengenai kebimbangan mengenai isu perkauman di negara ini. Apa juga usaha kerajaan untuk membantu rakyat khasnya Bumiputera, dianggap sebagai tindakan membalas dendam terhadap kaum Cina. Pemimpin kerajaan terpaksa bercakap lebih berhati-hati kerana ia boleh menimbulkan salah faham.

Walaupun, ada pendapat mengatakan bahawa BN boleh memerintah negara ini tanpa sokongan kaum Cina, realitinya undi kaum Cina masih penting untuk memastikan BN menang besar dan mengubah semula senario politik negara. Jika BN berputus asa terhadap kaum Cina, ia akan memudahkan parti pembangkang untuk mempengaruhi mereka. Sebaliknya, ada juga pendapat mengatakan sekalipun BN terus bermuka-muka dengan kaum Cina sekalipun, ia hanya membuang masa kerana kaum Cina tidak akan memberi undi kepada BN.

Perpaduan penentu masa depan negara

Sebaliknya, tindakan BN yang terus mengumpan kaum Cina akan menyebabkan ramai penyokong BN akan marah kerana selama ini merekalah yang menentukan kemenangan BN. BN perlu membuat keputusan sama ada masih mahu meletakkan harapan kepada pengundi kaum Cina atau mengabaikan terus mereka. Ia mungkin dilema yang perlu ditangani segera.

Sama ada suka atau tidak, masa depan negara akan ditentukan oleh perpaduan rakyat. Jika rakyat tidak dapat disatukan, ia boleh menimbulkan masalah kepada negara. Oleh itu, usaha untuk memupuk perpaduan rakyat perlu bermula sekarang. Segala usaha perlu digembleng untuk menanam semangat cintakan negara.

Mior Kamarul Shahid Berita Harian Online Rencana Kolumnis 07/11/2013
Tags: perpaduan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments