kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kayu pengukur kesejahteraan hidup rakyat

ADAKAH rakyat Malaysia benar-benar dapat menjalani kehidupan dengan sejahtera? Sewajarnya negara kita yang semakin hari semakin dekat ke arah sebuah negara maju, maka, impian rakyat sudah tentulah menginginkan kehidupan yang sejahtera.

Apalah gunanya bergelar negara berpendapatan tinggi tetapi rakyatnya tidak dapat menjalani kehidupan yang begitu sejahtera. Kesejahteraan itu hanya dinikmati oleh segelintir penduduk, manakala majoritinya tidak menjalani kehidupan dengan baik.

Justeru, apabila kerajaan memperkenalkan Indeks Kesejahteraan Malaysia, MWI 2012 semasa Bajet 2014 lalu, rakyat ingin mengetahui apakah kayu pengukur kesejahteraan rakyat? Sememangnya faktor ekonomi tidak boleh dikecualikan sebagai komponen kesejahteraan rakyat.

Ekonomilah adalah faktor utama kejayaan sesebuah negara maju. Ini sudah termaktub dalam Model Baru Ekonomi (MBE) yang menetapkan pencapaian ke arah negara maju yang berpendapatan tinggi, keterangkuman dan mapan.

Namun, kita tidak boleh hanya bergantung ke atas faktor kekayaan ekonomi. Begitu juga kesejahteraan rakyat bukan setakat dalam menangani isu kos sara hidup yang semakin tinggi. Ini kerana rakyat bukan sahaja mengalami tekanan ekonomi tetapi pelbagai tekanan seperti kesesakan lalu lintas yang boleh memberi kesan ke atas kehidupan seharian. Maka tidak hairanlah apabila diuar-uarkan bahawa ramai rakyat Malaysia sama ada sedar atau tidak sebenarnya mengalami tekanan perasaan dan masalah sakit mental.

Antara kayu pengukur kesejahteraan rakyat yang wajib diambil kira melibatkan aspek keselamatan rakyat. Dewasa ini, terdapat persepsi dalam kalangan rakyat tentang kebimbangan tahap keselamatan mereka. Kes-kes jenayah yang terpampang di media massa menjadikan rakyat risau adakah mereka benar-benar selamat.

Sememangnya, Polis Diraja Malaysia dan anggota keselamatan lain bersungguh-sungguh menjaga keselamatan rakyat, namun episod jenayah terutamanya melibatkan warga asing boleh menakutkan rakyat. Disyorkan kerajaan mengurangkan warga asing yang jumlahnya terlalu ramai di negara ini. Majoriti rakyat sebenarnya tidak selesa dengan kedatangan mereka kerana ada yang membawa pelbagai budaya yang tidak sesuai dengan rakyat Malaysia.

Kerajaan perlu memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam menangani permasalahan warga asing. Episod jenayah seperti merompak dan membunuh merupakan kemuncak kegiatan jenayah dalam kalangan warga asing. Satu makmal khas perlu ditubuhkan segera bagi melihat perkara ini. Malaysia memerlukan warga asing yang berkualiti dan bukannya penjenayah atau yang tidak mendatangkan keuntungan kepada negara dan rakyat.

Selain aspek keselamatan rakyat, kelestarian alam sekitar juga memberi kesan ke atas kesejahteraan rakyat. Manakan tidak, setiap hari kita akan berhadapan dengan alam sekitar. Apabila alam sekitar tidak dijaga maka pelbagai bencana seperti mana banjir lumpur di Cameron Highlands akan berulang.

Sememangnya, amat menarik sekali apabila dalam Bajet 2014, kerajaan mengumumkan Pelaburan Tanggungjawab Sosial (SRI) dan Indeks Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). SRI dan ESG berkait rapat dengan elemen etika dalam menjalankan perniagaan dan pelaburan.

Persoalan di sini berapa banyakkah syarikat dan perniagaan di Malaysia yang benar-benar menjalankan perniagaan demi kesejahteraan rakyat berbanding kesejahteraan “poket" ahli-ahli perniagaan berkenaan? Tanah diteroka secara haram, pokok-pokok hutan ditebang sehingga “botak" demi inginkan balak yang berkualiti tinggi, bahan-bahan toksik dan sampah sarap dibuang ke dalam sungai, kawasan perumahan dibina tanpa mengambil kira kelestarian alam sekitar, semuanya ini demi keuntungan. Pelaburan dalam perniagaan semata-mata mengaut kekayaan untuk diri sendiri tetapi hak masyarakat tidak dipedulikan. Malang sekali kerana jarang mereka yang kononnya diiktiraf sebagai pejuang hak asasi manusia memperjuangkan hak-hak rakyat ini.

Yang ada dan cukup popular, memperjuangkan hak sama rata termasuklah dalam hal ehwal agama. Dalam satu sudut lain, mereka berasakan merekalah pejuang rakyat tetapi sebenarnya merekalah yang menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat. Di Malaysia, Islam adalah agama rasmi yang mana majoriti rakyatnya adalah beragama Islam. Namun, sejak akhir-akhir ini, umat Islam diasak dengan pelbagai perkara yang melibatkan isu-isu sensitif dalam hal ehwal agama Islam. Adakah mereka ini yang kononnya sebagai pejuang hak asasi manusia tidak menyedari hakikat ini? Atau mereka berasakan bahawa umat Islam Malaysia masih tidak sedar mengenai perkara ini?

Usah disentuh hal ehwal agama Islam. Mengganggu gugat hal ehwal agama Islam dan penganutnya boleh menjejaskan keharmonian dan kerukunan kehidupan rakyat Malaysia. Perpecahan politik di kalangan umat Islam tidak bermakna umat Islam berpecah dari sudut agama.

Bagi umat Islam, agama Islam adalah tunjang utama kehidupan seharian mereka. Untuk mereka yang berasakan ingin menguji kesabaran umat Islam, lebih baiklah menyimpan hasrat mereka demi kesejahteraan rakyat. Kalau mereka ini pejuang rakyat dan sayangkan Malaysia, “tanah tumpah darahku", utamakan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan bukannya kepentingan diri. Usah terlalu pentingkan diri sendiri ekoran terlalu terpesona dengan dakyah barat berteraskan kesamarataan.

Mustahil akan berlakunya kesamarataan kerana setiap daripada kita pun mempunyai kepelbagaian atau dengan kata lain berbeza-beza sifatnya. Sebab itulah, agama Islam menitikberatkan keadilan dan kesaksamaan. Adil pada tempatnya dan bukannya adil pada pandangan nafsu serakah manusia.

Justeru, untuk merealisasikan kesejahteraan rakyat, kepentingan rakyat perlu diutamakan dan bukannya mendahulukan kepentingan segelintir golongan yang tidak berpasak pada realiti sebenar kehidupan rakyat Malaysia. Kayu pengukur kesejahteraan rakyat perlu mengambil kira perkara ini demi rakyat dan negara.

Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB),Universiti Utara Malaysia Utusan Malaysia Online Rencana 20131107

Tags: sejahtera
Subscribe

  • Pentaksiran: Pengajaran Berasaskan Data

    Perlu pentaksiran, pemerhatian prestasi murid selepas kembali belajar bersemuka (10/03/2021) kepada hampir lima juta pelajar di 10,223 sekolah…

  • Kejujuran dan Integriti Untuk Pemimpin

    Apabila anda melakukan sesuatu dengan penuh kejujuran, telus dan komitmen, input mencerminkan hasilnya. “ Kita selalu belajar tentang…

  • Pentaksiran Makluman Prestasi

    Perlu pentaksiran, pemerhatian prestasi murid selepas kembali belajar bersemuka (10/03/2021) kepada hampir lima juta pelajar di 10, 223…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments