kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sejarah aspek kehidupan yang penting

SEJARAH penghijrahan Nabi Muhammad SAW bersama umat Islam Mekah ke Madinah dalam seribu kepayahan adalah demi menyemarakkan akidah ummah yang berpegang kepada dua kalimah syahadah "Aku Naik Saksi Bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah; Muhammad Itu Pesuruh Allah".

Peristiwa yang berlaku 1435 tahun yang lalu menjadi batu asas kepada pegangan teguh akidah hampir 2 bilion umat Islam di seluruh dunia. Ucapan syahadah umat Islam kini tertera megah di bendera Kerajaan Arab Saudi menandakan bahawa di bumi anbia tersebut Islam menjadi paksi kesatuan akidah Islamiah dengan Kaabah sebagai kiblat rukun kedua iaitu menunaikan solat berada di sini.

Peristiwa Hijrah tersebut membuktikan kepada kita bahawa sejarah itu penting dan bukan sekadar kisah dan teladan menjelang takwim baru umat Muhammad SAW. Tanpa sejarah hijrah tersebut, mungkin kita masih dengan fahaman beragama yang tidak berpandukan ajaran Islam yang mentauhidkan Allah SWT dan mempercayai rukun Islam.

Mengambil hikmah sejarah hijrah tersebut, kerajaan kita melalui Kementerian Pendidikan mewajibkan untuk lulus subjek Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini bermakna subjek tersebut sebaris dengan subjek Bahasa Melayu yang wajib lulus.

Sepatutnya generasi baru hari ini terutama yang menduduki SPM tidak tertekan untuk berjaya dalam peperiksaan tersebut sehingga menganggap lulus subjek penting itu sebagai satu beban maksimum hingga boleh membawa kepada kecelaruan minda malahan menyebabkan stres.

Sebagai seorang yang pernah terlibat dengan dunia guaman Sejarah merupakan subjek yang banyak membantu dalam kerjaya tersebut. Dengan ratusan kes yang perlu dihafal bersama prinsip perundangannya subjek Sejarah sesungguhnya perlu dipelajari dengan konsep hafalan yang sama. Kaedah banyak membaca dan membuat nota ringkas menjadikan pembelajaran subjek Sejarah seakan menghirup oksigen. Begitu mudah dilakukan tanpa disedari.

Kelmarin, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, keputusan Kementerian Pendidikan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai syarat wajib lulus di peringkat SPM mulai tahun ini, bukan untuk membebankan pelajar sebaliknya bertujuan meningkatkan pengetahuan mereka mengenai sejarah peradaban negara. Jika keputusan itu tidak dibuat para pelajar akan terus beranggapan mata pelajaran tersebut tidak penting dan kurang mendapat tumpuan.

Menurutnya, pelaksanaan syarat wajib lulus bagi mata pelajaran itu juga merupakan usaha mendidik pelajar menjadi warganegara yang baik. Pada 23 Oktober 2010, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan SPM mulai 2013. Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, keputusan itu sama seperti langkah menjadikan mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai syarat mendapatkan sijil SPM.

Nah! Inilah hakikat yang perlu kita hadapi sebagai rakyat Malaysia. Puak-puak yang menganggap Sejarah suatu perkara yang tidak penting melihat seolah-olah hari esok dan lusa adalah milik mereka bukan milik semua rakyat negara ini. Kita perlu akur bahawa setiap satu tamadun ada sejarahnya. Negara Parsi dan Rom ada sejarahnya , begitu juga United Kingdom ada sejarah lampau yang mereka jadikan panduan untuk merancang masa depan dengan mewujudkan undang-undang Common Law yang kini digunapakai di semua negara Komanwel.

Justeru, hayatilah bahawa sejarah itu penting sebagai momentum atau titik penghijrahan untuk kita merancang masa depan dengan jayanya. Memanglah kita berada di zaman teknologi yang mana masa depan lebih penting dari kisah sejarah.

Namun beringatlah bahawa tiada lama tiada yang baharu. Tiada teknologi tahun 1980-an maka tiadalah teknologi tahun 2013. Generasi hari ini perlu diajar tentang Sejarah bukan sahaja di sekolah tetapi sejarah datuk nenek moyang asal-usul mereka dari mana di rumah mereka sendiri. Biar mereka ada kesedaran dalam diri sendiri, bahawa sejarah yang 'membawa'mereka dan kaum mereka menjadi sepertimana yang kita lihat hari ini.

Mengambil hikmah dari peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW 1435 jika kita menghargai sejarah tersebut maka kita akan menjadi manusia yang sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada.

Namun malangnya berapa ramai yang bersyukur dengan nikmat syahadah sebagai seorang muslimin mahupun muslimah yang kita kecapi di negara kita ini, apatah lagi mahu menghargai sejarah kenegaraan kita. Peri pentingnya sejarah dalam aspek hidup kita, kerana jika sejarah itu satu kesilapan, mengapa perlu diulangi semula pada masa depan. Namun manusia mudah lupa.



ABDUL RAZAK IDRIS Utusan Malaysia Online Rencana 20131108
Tags: hijrah, sejarah
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments