kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hipokrasi dalam pendidikan merugikan

Makin lanjut usia Kunta Kinte, makin banyaklah hal dan perkara yang Kunta Kinte dapati berulang. Bagi orang muda, mereka tentulah sangka benda-benda dan hal-hal itu baru. Inilah buruk dan baik bila kita semakin berusia.

Masa muda kita idealistik. Kita mahu segala-galanya sempurna. Kita rasa kita sajalah yang betul. Tak makan tak apa, asal hati suka. Bila dewasa, kita jadi lebih realistik. Tak semua yang kita harap dan idam masa muda boleh dicapai atau baik untuk kita. Kita kena fikir hal anak isteri, ibu dan ayah.

Kemudian pada hujung usia, kita dilanda nostalgia. Kita merindukan pengalaman dan zaman yang berlalu.

Dunia semakin asing kepada kita.

Ambil contoh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang baru dilancarkan. Bagi orang muda, mereka tentu sangka ia sesuatu yang baru. Tapi bagi Kunta Kinte yang dah saksi evolusi sistem pendidikan kita sejak 1960-an, ia bukanlah pelan baru. Ia ada versi terkini kepada berpuluh-puluh dasar, pelan dan program pendidikan yang sudah dilaksanakan sejak merdeka.

Sebab itulah bila ada orang ajak Kunta Kinte duduk bersama bincang tentang pelan itu, Kunta Kinte minta ampun dan maaf tak dapat ikut serta sebab Kunta Kinte rasa waktu dan zaman Kunta Kinte telah berlalu dan Kunta Kinte pun dah naik letih tengok banyak sangat perubahan dan transformasi.

Satu lagi, maaf cakaplah Kunta Kinte berasa terkilan dengan sesetengah dasar dan pelan pendidikan yang kita laksanakan selama ini. Bukan dasar dan rancangan tak baik, tapi pelaksanaannya macam hangat-hangat tahi ayam dan melepas batok di tangga.

Kunta Kinte daripada generasi yang diajar tulisan Rumi dan Jawi serentak dan sama berat. Selain itu, Kunta Kinte juga belajar sekolah agama sebelah petang. Jadi, tak ada masalah menulis dan membaca Jawi.

Tulisan Jawi hampir lenyap

Tapi apa dah jadi dengan tulisan Jawi? Berapa kerat anak cucu kita hari ini yang boleh tulis dan baca Jawi dengan baik? Itu belum bahasa Arab. Sepatutnya tulisan Jawi dan bahasa Arab sudah lama jadi mata pelajaran wajib kepada pelajar Melayu dan Islam. Sebaliknya, tulisan Jawi sudah boleh dikatakan mati dan bahasa Arab hanya bertumpu kepada beberapa kerat pelajar sekolah agama.

Dulu, hari kita tak lengkap kalau tak baca Utusan Melayu yang tulisannya Jawi. Hari ini, Utusan Melayu tinggal dalam kenangan saja. Siapa yang hendak kita salahkan? Minta banyak-banyak ampun dan maaf kalau Kunta Kinte kata, setiap Perdana Menteri kita pernah jadi Menteri Pelajaran.

Tak perlulah Kunta Kinte ulas panjang nanti ada orang kecil hati. Tapi kalau kita nak ubah dan perbaiki keadaan, kita kena akui kesilapan dan kelemahan kita.

Kemudian hipokrasi sesetengah pemimpin dan pembesar tanah air kita tentang sistem pendidikan kebangsaan. Kalau bercakap soal pendidikan kebangsaan, berapi-api semangat kebangsaan dan patriotisme mereka. Merekalah jaguh, merekalah hero. Sampai tersembur air liur dan tegang urat leher.

Tapi hantar anak ke sekolah eksklusif, sekolah antarabangsa dan sekolah elit yang bahasa pengantarnya bukan bahasa Melayu. Kalau ajar bahasa Melayu pun sekadar ambil syarat saja. Ada juga yang hantar anak ke luar negara sejak sekolah rendah lagi.

Kunta Kinte tak kata tak boleh atau nak halang sesiapa daripada hantar anak ke sekolah elit. Tapi janganlah hipokrit. Di depan rakyat puji sistem pendidikan kebangsaan dan suruh rakyat jelata hantar anak-anak ke sekolah kebangsaan, tapi mereka sendiri umpama ayam jantan yang nyaring berkokok ekor penuh najis.

Kebaikan sistem pendidikan kebangsaan

Kunta Kinte komited kepada sistem pendidikan kebangsaan. Semua anak Kunta Kinte pergi ke sekolah kebangsaan dari Darjah Satu sampailah ke Tingkatan Lima atau Enam. Ini bukan soal mampu atau tak mampu, tapi hakikat bahawa ada banyak kebaikan dalam sistem pendidikan kebangsaan di peringkat rendah dan menengah, khasnya di mana murid dan pelajar adalah daripada pelbagai kaum dan agama. Di situlah asas perhubungan kaum, percambahan budaya dan sikap toleransi masyarakat majmuk terbentuk dalam suasana keterangkuman.

Hanya selepas sekolah menengah barulah Kunta Kinte hantar mereka ke kolej swasta dalam negara dan seterusnya ke institusi pengajian tinggi di luar negara. Itu pun bukan kerana tak percaya kepada universiti tempatan, tapi kerana ada sikit rezeki lebih dan Kunta Kinte nak bagi peluang mereka belajar hidup dalam situasi global selaras dengan amanat Hang Tuah ‘takkan Melayu hilang di dunia’.

Kadang-kadang, anak-anak kita yang belajar di sekolah kebangsaan, bila kita hantar sambung pelajaran di luar negara, mereka lebih Malaysia dan lebih patriotik daripada yang belajar eksklusif dalam negara sebab di luar negara mereka terpaksa pertahan maruah dan nama baik Malaysia. Jadi Kunta Kinte harap pemimpin dan pembesar negara yang berkokok nyaring mengenai kehebatan sistem pendidikan kebangsaan, janganlah hipokrit, jangan jadi macam ketam mengajar anak berjalan betul. Jangan sangka rakyat jelata tak tau siapa pemimpin dan pembesar yang bertalam dua muka itu. Wallahualam.

Kunta Kinte Berita Harian Online Rencana 16/11/2013
Tags: hipokrit, jawi, pendidikan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments