kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tidak segah dahulu

Sebagai peminat filem Melayu lama, sebenarnya sukar untuk penulis gambarkan perasaan yang timbul sewaktu pintu pagar Studio Lapan Jalan Ampas dibuka bagi membolehkan penulis melangkah ke dalamnya.

Pelbagai rasa bercampur baur. Pertamanya, gembira kerana impian sejak kecil untuk ke situ kesampaian dan keduanya teruja kerana penulis berada di lokasi yang menjadi tempat legenda-legenda seni tanah air berkarya.

Begitu pun, kedua-dua perasaan yang menyeronokkan itu sebenarnya turut diiringi perasaan sedih dan kecewa. Sebabnya, kawasan studio itu kini sudah tampak suram dan tidak bermaya sehingga tidak menampakkannya sebagai lokasi yang pernah gah suatu ketika dahulu.

Semua itu bagaimanapun tidak menghalang kemahuan penulis untuk meneroka segenap inci pelosok studio tersebut lebih-lebih lagi apabila membayangkan adegan-adegan yang terdapat dalam filem Seniman Bujang Lapok.

Sebagai gambaran, sebaik sahaja pintu pagar dibuka, pengunjung pasti akan teringat adegan 'Hang Kebun' melibatkan 'Director' Ahmad Nisfu yang berlaku betul-betul di hadapan pintu masuk ke pejabat 'bos-bos besar' studio termasuk pengurusnya, Kwek Chip Jian.

Untuk makluman, pejabat Kwek atau lebih mesra dipanggil 'Mister' Kwek dalam kalangan warga Jalan Ampas merupakan pejabat Kemat Hassan yang bertindak sebagai pengurus studio dalam filem Seniman Bujang Lapok.

Di sebelah kanannya pula, terdapat tapak kosong yang dahulunya menempatkan studio lapan. Jika di dalam filem, kedudukannya terletak di belakang 'Bai' jaga. Di situlah tempatnya berlaku adegan si Bujang Lapok sedang diuji bakat sehingga memeningkan kepala Ahmad Nisfu.

Terletak bertentangan dengan pintu pagar studio adalah bekas tapak kedai kopi Ah Lam. Di kedai kopi ini, para petugas di Studio Jalan Ampas melepaskan lelah bekerja sambil bermain dam.

Seniman Bujang Lapok



Sumber: P. Ramlee Film Collections

Tidak terlepas daripada dimuatkan di dalam Seniman Bujang Lapok, kedai kopi Ah Lam menjadi lokasi di mana P. Ramlee dan Aziz Sattar menanti Sudin yang cuba meminjam wang sebanyak $350 daripada Kemat Hassan.

Selain itu, tiada apa lagi yang boleh diungkit. Bilik solekan dan tandas tempat Sudin terketar-ketar ketakutan menghafal skrip berlaku di Studio 9A yang terletak di arah barat laut Studio Lapan.

Studio 9A itu bagaimanapun sudah dirobohkan dan tapaknya dibina bangunan pejabat baru, sekali gus menenggelamkan terus bayangan studio yang lama.

Dalam usaha untuk menelah masa depan studio itu, penulis cuba mendapatkan fakta atau setidak-tidaknya sedikit komen daripada Shaw Brothers sebagai pemilik studio berkenaan.

Usaha itu bagaimanapun menemui kegagalan apabila pihak Shaw enggan memberi sebarang kenyataan walaupun memberi kebenaran penulis masuk ke kawasan studio tersebut.

Apa pun, berdasarkan tugu maklumat yang terletak di hadapan studio berkenaan, Shaw Brothers dikatakan mula bercita-cita untuk menjadi pemain utama dalam industri filem Melayu melalui Studio Jalan Ampas pada 1947.

Di bawah jenama Malay Film Productions Ltd. (MFP), studio itu mengeluarkan filem pertamanya berjudul Singapura Di Waktu Malam diarahkan B.S Rajhans pada tahun yang sama.

Di situ, pelbagai sejarah tercipta. Antaranya, filem Melayu pertama berwarna sepenuhnya dirakamkan di situ iaitu filem Hang Tuah arahan Phani Majumdar dan lakon layar oleh Jamil Sulong.

Selain itu, Ibrahim Pendek juga mencatat sejarah apabila lakonannya dalam filem Ali Baba Bujang Lapok menarik perhatian Universal International untuk menawarkannya peluang berlakon di samping Rock Hudson dan Gene Rowlands dalam filem The Spiral Road pada 1962, sekali gus menjadikannya sebagai pelakon tempatan pertama beraksi di Hollywood.

Setelah melalui zaman kegemilangan filem Melayu dengan menghasilkan lebih 160 buah filem di situ, studio tersebut akhirnya terpaksa ditutup pada 1967.

Sebab-sebab penutupannya sehingga kini masih kabur. Bagaimanapun kemasukan filem-filem luar tanpa kawalan dilihat merupakan salah satu faktor yang 'membunuh' industri filem Melayu tanah air sehingga pada suatu ketika, tiada satu pun filem Melayu ditayangkan di pawagam.

Carian di internet pula mendapati ramai mendakwa Raja Bersiong arahan Jamil Sulong dan skripnya ditulis Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman merupakan filem terakhir yang dihasilkan di studio tersebut pada 1967.

Namun menurut Datuk Aziz Sattar, filem terakhir yang dihasilkan di studio tersebut berjudul 'Terlibat' yang diarahkan oleh S. Kadarisman di mana beliau turut berlakon di dalam filem tersebut.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131130
Tags: filem, seniman
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments