kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kehilangan Mandela tidak kurangkan pengaruhnya

PEMERGIAN pemimpin dunia, Nelson Mandela pada usia 95 tahun merupakan satu kehilangan besar dalam sejarah moden kemanusiaan.

Sebagai individu yang bertanggungjawab memperjuangkan tentangan terhadap dasar aparteid, jasa beliau terlalu besar, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bekas Presiden Afrika Selatan itu telah berjaya mengubah sejarah dunia.

Mandela menghabiskan satu pertiga daripada hayatnya di penjara, antaranya kerana kesalahan 'mengkhianati' kerajaan pada tahun 1950-an dan 1964, serta 'menghasut' mogok dan meninggalkan negara secara haram pada 1962.

Ketika dihadapkan ke mahkamah pada tahun 1962, beliau pernah berkata: "Sepanjang hidup saya, saya abadikan diri saya kepada perjuangan membantu rakyat Afrika. Saya menentang penguasaan kaum kulit putih dan juga kulit hitam. Saya mengangkat cita-cita kehidupan demokrasi dan masyarakat bebas yang harmoni dengan peluang sama rata. Itu adalah impian saya. Saya juga sanggup mati demi perjuangan ini."

Pada 11 Februari 1990, beliau akhirnya 'menanggalkan' pakaian banduan bernombor 46664 dan dibebaskan selepas 27 tahun menjalani hukuman penjara, disambut sorakan seluruh dunia yang menanti-nantikan pembebasannya.

Perjuangan Mandela menentang dasar aparteid iaitu undang-undang yang membezakan kedudukan antara masyarakat kulit putih dan hitam di Afrika Selatan bermula pada 1948 hingga 1991.


NELSON Mandela bergambar kenangan bersama Jurulatih Ragbi Afrika Selatan (kiri),   Jake White dan kapten pasukan, John Smith (kanan) memegang Piala William Web Ellis di Yayasan Mandela, Johannesburg, ketika meraikan pasukan ragbi negara itu muncul juara dalam Piala Dunia Ragbi 2007 di Perancis. - AFP
Menerusi badan yang menentang aparteid termasuk Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang dianggotainya, Mandela lantang memperjuangkan hak masyarakat kulit hitam Afrika Selatan yang sering dinafikan termasuk dalam soal pendidikan, sosial dan politik.

Cabaran didepaninya dalam memperjuangkan nasib masyarakat kulit hitam akhirnya berbaloi apabila beliau dilantik sebagai Presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan selepas memenangi Pilihan Raya Umum 1994, tahun yang dianggap sebagai pengakhiran kepada aparteid.

Peranan Mandela dalam menamatkan dasar aparteid juga boleh disamakan dengan perjuangan idolanya iaitu aktivis hak asasi Amerika, Martin Luther King Jr. dan pemimpin kemerdekaan India, Mohandas K. Gandhi.

Mandela yang turut dikenali dengan nama 'Madiba' juga sering dipandang sebagai seorang tokoh yang merendah diri dan pemaaf.

Beliau pernah menikmati makan tengah hari bersama pendakwa raya yang suatu ketika dulu bertanggungjawab menyebabkannya meringkuk dalam penjara.

Beliau juga pernah mengembara beribu- ribu kilometer jauhnya semata-mata bagi menghadiri majlis minum petang bersama balu kepada Perdana Menteri Afrika Selatan, Hendrik Verwoerd, yang memerintah sewaktu beliau dipenjarakan.

Ketika dipenjarakan, hak Mandela pernah dinafikan antaranya beliau tidak dibenarkan menghadiri upacara pengkebumian ibunya serta anak lelakinya yang maut dalam satu nahas jalan raya.

Sikap pemaaf itu membuatkan Mandela disenangi dan dianggap sebagai individu yang tiada galang gantinya.

Di sebalik sifat pemaafnya, ikon demokrasi itu juga ada ketikanya lantang dalam menyuarakan pendapat.

Ketika pencerobohan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iraq pada 2003, beliau dengan keras mengkritik Presiden George W. Bush ketika itu dengan menyatakan: "Mengapa AS terlalu bongkak? Apa yang Bush mahu di Iraq adalah minyak."

Beliau ketika itu turut melabel Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair sebagai rasis selain menyatakan AS telah melakukan kekejaman yang tidak dapat diterjemahkan dan tidak mempunyai pendirian moral.

Selain itu, Mandela turut dikenali sebagai pemimpin yang gemar berjenaka. Ketika mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden pada tahun 1999, beliau pernah berkata: "Saya perlu meletak jawatan ketika masih ada orang sukakan saya."

Selepas meletakkan jawatan, beliau pernah berkata bahawa beliau akan berdiri di tepi jalan sambil menggantung papan tanda di leher yang tertulis 'Saya kehilangan kerja, kini menganggur. Ada isteri baharu dan perlu menanggung keluarga yang besar'.

Mandela kemudian aktif menjalankan kerja-kerja kemanusiaan antaranya kempen membanteras AIDS terutamanya selepas anak lelaki beliau, Makgatho meninggal dunia akibat penyakit tersebut.

Kali terakhir beliau muncul di khalayak ramai adalah ketika Afrika Selatan menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Piala Dunia 2010. Pemilihan negara itu menganjurkan acara sukan berprestij dunia, secara tidak langsung menonjolkan benua Afrika di mata dunia.

Beliau menghabiskan sisa hidupnya di hospital apabila didiagnos menghidap masalah pernafasan dan jangkitan paru-paru yang berpunca daripada penyakit batuk kering yang dialami ketika dipenjara.

Kehilangan pemimpin berjiwa besar seperti Mandela tidak sedikit pun mengurangkan pengaruhnya di mata dunia, bahkan pemergiannya diangkat sebagai wira kerana berjaya mengubah status sebuah negara yang dahulunya berpecah belah kepada sebuah negara yang kini boleh dicontohi.



Shamsiah Zulkafli Utusan Malaysia Online Rencana 20131207
Tags: mandela, pejuang, sejarah, tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments