kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pendidikan Islam jadi teras UMNO

SAYA ucapkan terima kasih kepada semua pembahas usul yang telah sampaikan perbahasan dengan cukup baik, saya bagi gred A+ kepada yang telah pun mengambil bahagian.

Sementara kita adakan perhimpunan ini, kita sedar kita menghadapi masalah banjir di banyak tempat di seluruh negara. Kita ingin menyatakan kita bersimpati dengan rakyat yang sedang dilanda musibah ini.

Presiden parti telah pun turun untuk melihat sendiri keadaan di Pahang, saya sendiri sudah pun berada di Terengganu dan ramai pemimpin kita yang tidak ada di persidangan ini turun untuk membantu mangsa terlibat dengan banjir ini.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, saya telah mengeluarkan arahan untuk membolehkan masalah yang dihadapi mangsa di seluruh pusat pemindahan ini ditangani dengan sebaik-baiknya, dengan menentukan agar bahan-bahan keperluan makanan, logistik, keselesaan tempat tinggal, rawatan perubatan dan keselamatan harta benda sentiasa dalam keadaan terpelihara.

Tentulah tugas sebagai Timbalan Presiden untuk membantu urusan parti dan kepimpinan parti yang diterajui Presiden kita. Saya ingin menyatakan bahawa saya akan terus setia kepada kepimpinan Presiden kita sekarang ini.

Cantik terbilang si bunga tanjung,

Dibawa tuan duduk di tangga,

Budi dikenang bakti disanjung,

Setiaku tuan padamu jua.

Anak muda memakai tanjak,

Wanita bergaya di Tanjung Puteri,

Patuh berkhidmat takkan berganjak,

Kepada Presiden setia berbakti.





Saya jangka pada April 2014 maka ia akan dapat kita laksanakan secara yang lebih berkesan dan tidak dianggap sebagai satu bebanan kepada pihak guru di seluruh negara. - Tentang PBS

MEMPERKEMASKAN GERAK KERJA

Sebagaimana yang kita sedari bahawa proses pemilihan parti sudah pun selesai, masa untuk kita bekerja sudah bermula dan tentulah kita memahami bahawa cabaran yang mendatang lebih hebat lagi, ini diakui ramai jurucakap pada persidangan ini.

Dan menjadi kewajipan kita untuk terus bekerja memperkukuhkan parti, memperkemaskan gerak kerja di semua peringkat, untuk memastikan perjuangan parti kita ini untuk membela orang Melayu dan bumiputera dan rakyat Malaysia akan terus dapat kita perkasakan.

Kita semua telah mengetahui bahawa apabila kita diberikan mandat dan kepercayaan dalam pilihan raya umum baru-baru ini, maka segala yang kita janjikan dalam manifesto parti kita hendaklah kita tunaikan dengan sebaik-baiknya, dengan seberapa segera.

Dan untuk itulah, saya nak mengajak saudara-saudara sekalian berganding bahu bersama kepimpinan parti menentukan supaya kedudukan kita terus kukuh dengan mengurangkan permasalahan yang timbul dalam kita menguruskan parti di setiap peringkat.

Penting juga untuk kita menentukan hubungan dengan komponen-komponen parti Barisan Nasional (BN) agar dapat terus kita perkukuhkan. Dan dengan cara begitu lebih banyak usaha, program dan aktiviti yang harus kita lakukan, hendaklah kita lakukan untuk meningkatkan keyakinan rakyat jelata kepada perjuangan parti Barisan Nasional kita.

PEMANTAUAN KPI

Seperkara yang telah disebut Presiden ialah tentang KPI yang akan dilaksanakan dalam tempoh tidak berapa lama lagi. Saya ingin menyatakan bahawa pendekatan seperti ini sudah lama dilaksanakan oleh kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri kita.

Saya masih ingat sewaktu awal-awal diperkenalkan KPI, maka terdapat juga rasa kesangsian sesetengah daripada kita tentang bagaimana perkara itu hendak dilaksanakan. Mungkinkah ia dapat disempurnakan dan dengan KPI itu kita telah pun meletakkan timeline atau pun tempoh waktu tertentu untuk membolehkan ia dilaksanakan.

Hari ini dengan Dasar Transformasi Nasional, yang kita lihat telah menganjak kedudukan negara baik dari segi urusan kerajaan, ekonomi, sosial dan juga politik negara, maka terbukti pendekatan ini adalah suatu pendekatan yang cukup berkesan.

Maka dengan sebab itu kita harus menyokong inisiatif yang akan diambil oleh pimpinan kita yang meletakkan KPI sebagai satu cara untuk kita meningkatkan prestasi dan pencapaian parti masa akan datang.

Perkara ini pastinya akan dipantau dan saya percaya peranan di peringkat perhubungan UMNO negeri-negeri akan ditentukan, bagaimanakah KPI yang harus kita letakkan di setiap negeri dan bahagian serta cawangan dan tidak terkecuali KPI bagi Wanita, sayap-sayap Pemuda dan Puteri.

SISTEM PENGKADERAN

Seperkara juga yang disentuh dalam ucapan Presiden yang saya ingin sebutkan sedikit sahaja ialah tentang sistem pengkaderan parti. Kita ketahui bahawa UMNO adalah suatu parti massa, kita mempunyai sejumlah lebih daripada 3.4 juta ahli kita yang ada di 161 bahagian di seluruh negara.

Sistem pengkaderan ini sudah juga diamalkan oleh sesetengah pihak di mana latihan-latihan yang agak lebih terperinci dengan kursus-kursus pengkaderan diatur sepanjang masa, maka pimpinan-pimpinan UMNO terutama generasi baharu yang masuk ke dalam parti akan dapat didedahkan tentang sejarah perjuangan, idealisme, apa yang harus kita lakukan supaya kita meningkatkan kefahaman tentang erti perjuangan kita yang sebenarnya.

Maka dengan cara itu, kedudukan parti kita akan terus menjadi lebih mantap, lebih kukuh dan lebih diyakini kerana hasil daripada pengkaderan itulah maka kita dapat memikul tanggungjawab kita secara lebih berkesan untuk masa hadapan.

Mengenai sistem pemilihan baharu, saya telah pun dilantik Majlis Kerja Tertinggi untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Pemilihan parti kita.

Pasti banyak yang mempunyai pandangan, tidak terkecuali Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan kita sendiri iaitu Tan Sri Tajol Rosli dan rakan-rakan yang telah pun dipilih untuk memantau perjalanan proses pemilihan kita di semua peringkat bahagian dan sayap-sayap.

Saya ingin mencadangkan di peringkat perhubungan negeri supaya meneliti perkara-perkara yang berkaitan dengan proses pemilihan kita, apakah perakuan yang hendak dibuat untuk menambah baik proses pemilihan baik dari segi pentadbirannya, proses pemilihan itu sendiri, sistem yang telah kita guna pakai, syarat-syarat yang disebut untuk melayakkan seseorang itu bertanding dan sebagainya.

Oleh sebab kita mempunyai banyak masa, maka saya kira sudah sampai waktu bila selesai sahaja pihak negeri mengadakan mesyuarat dan berbincang dan mengemukakan perakuan ini kepada pihak jawatankuasa penambahbaikan sistem pemilihan, maka masa yang sesuai akan ditetapkan Majlis Tertinggi untuk kita mengadakan satu persidangan agung khas membincangkan proses prosedur dan juga peraturan-peraturan termasuk yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan.

PROSES KEAHLIAN BAHARU

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan juga, saya ingin menjelaskan sedikit, ada perkara berkaitan dengan urusan ibu pejabat iaitu isu kelewatan memproses keahlian baharu.

Ini juga telah dibangkitkan oleh beberapa pihak perwakilan yang minta supaya proses ini sepatutnya tidak menimbulkan apa-apa masalah kerana pindaan perlembagaan parti telah kita buat lama dahulu.

Saya sendiri telah membentangkan yang antara lain menyebutkan bahawa setiap orang Melayu berhak untuk menjadi ahli UMNO. Dan sebab itu proses untuk menjadi keahlian itu sudah pun dipermudahkan, lebih-lebih lagi kerana waktu sekarang kita tidak memerlukan apa-apa bayaran untuk menjadi ahli. Bermakna apabila seseorang Melayu memohon untuk menjadi ahli UMNO maka secara automatik dia diterima dan disahkan untuk menjadi ahli UMNO.

Cuma dari segi pentadbiran sahaja dan ini saya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung kita, ada proses sistem secara online yang kita telah mulakan sejak 2010.

Dengan cara itu, sesiapa sahaja yang ingin mendaftar untuk menjadi ahli boleh berbuat demikian menerusi bahagian masing-masing. Dan yang penting ialah bagaimana bila sudah didaftarkan secara online, jawapan rasmi diterima bahawa mereka sudah diterima menjadi ahli UMNO.

SISTEM PENDIDIKAN

Dalam persidangan ini, usul yang berkaitan pendidikan antara lain, bersamaan usul agama telah pun dibentangkan. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan daripada semua wakil dan perwakilan tentang usul agama dan pendidikan. Khususnya yang menyentuh tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu pelan ini telah pun diuruskan pihak Kementerian Pendidikan.

Hasil perbincangan yang telah pun saya lakukan dengan Perdana Menteri yang juga Presiden parti bersetuju bahawa setelah hampir 40 tahun berdasarkan Laporan Razak yang telah pun lama dibentangkan dahulu, sudah sampai waktu dan ketikanya kita membuat satu kajian yang menyeluruh di manakah sistem pendidikan kita berada sekarang.

Apakah proses penambahbaikan yang perlu kita laksanakan supaya untuk tempoh mendatang ini maka menerusi sistem pendidikan kita akan dapat melahirkan satu generasi masa depan yang bukan sahaja terdidik dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran tetapi juga akhlak, mulia, beretika dan mempunyai tertib, adab, sopan santun yang sesuai dengan kehendak masyarakat, agama dan negara.

Saya ingin menyatakan bahawa ia sudah pun kita laksanakan, mulai tahun ini 2013 menjangkau tempoh 13 tahun sehingga 2025.

Saya menyarankan supaya biro-biro pendidikan UMNO yang sudah lama tertubuh di semua bahagian mengambil peranan utama ke hadapan bukan setakat mengetahui tentang wujudnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia tetapi terlibat secara langsung bagaimana ia dapat diterjemahkan di semua peringkat, terutamanya di peringkat akar umbi kerana tidak ada satu anggota kita yang terkecuali daripada mendapat kesan dan faedah daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ini.

Seperkara yang telah disebutkan oleh berapa perwakilan yang berucap ialah tentang pentingnya kita bertegas dalam melaksanakan pelan ini, Saya ingin menyatakan selaku Menteri Pendidikan yang diberikan amanah, kerajaan tidak akan berdolak-dalik, kita akan terus bersikap tegas untuk melaksanakan segala perakuan yang telah pun dibuat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ini.

Tidak kira suaranya datang daripada pihak mana sekalipun, kerana tujuan dan matlamat yang telah digariskan dalam pelan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengangkat martabat masyarakat Malaysia ke suatu kedudukan yang lebih tinggi menerusi sistem pendidikan negara kita.

Seperkara yang telah pun saya sebutkan juga dalam ucapan terutama waktu saya merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan juga Puteri ialah saranan saya supaya Pendidikan Islam Sepanjang Hayat dijadikan sebagai satu dasar utama untuk menyebar luaskan pengetahuan ilmu dan kefahaman kita tentang Islam itu sendiri.

Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan semua pihak tentang saranan ini. Untuk itu saya telah berbincang dengan Perdana Menteri dan Presiden kita supaya Kolej Komuniti yang sudah pun kita tubuhkan sekarang dapat kita perluaskan peranannya, bukan sahaja mewujudkan Kolej Komuniti Islam, mengenai pendidikan Islam tapi Kolej Komuniti yang sudah sedia ada di mana program-program latihan khusus yang kita laksanakan sebagai satu bahagian program pendidikan sepanjang hayat dapat juga diintegrasikan dengan program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat yang saya sebutkan.

Setakat hari ini sudah wujud 85 Kolej Komuniti dan program-program yang berkaitan dengan pendidikan Islam yang saya sarankan itu akan kita masukkan dalam program di kolej-kolej berkenaan.

Saya ingin memaklumkan bahawa model Pendidikan Islam Ulul Albab sebagai mana yang dicadangkan dalam usul pendidikan akan diperluaskan pelaksanaannya bermula pada tahun hadapan.

Pada masa ini terdapat empat buah sekolah agama bantuan kerajaan di Terengganu, yang telah pun melaksanakan model ini. Buat permulaan, perluasan pelaksanaan model ini akan melibatkan sebuah sekolah agama terpilih di setiap negeri - yang ini akan kita mula laksanakan insya-Allah pada 2014.

Menerusi model ini, selain daripada pelajar dapat mempelajari mata pelajaran-mata pelajaran biasa, para pelajar juga dapat disasarkan untuk khatam hafazan sebelum tamat SPM dan inilah sebahagian daripada tuntutan yang dikehendaki oleh sebahagian besar masyarakat Islam kita.

Program ini yang berasaskan prinsip Quranic, encyclopedic dan ijtihadic, diharapkan dapat membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi pencapaian akademiknya tetapi juga cemerlang dari segi pengetahuan dan penghayatan agama Islamnya.

MENAMBAH BAIK PTPTN

Isu PTPTN juga telah dibangkitkan di persidangan ini. Ia disentuh oleh Mahasiswa Nasional yang minta supaya usaha dibuat untuk menambah baik PTPTN dan hendak ditentukan supaya ia lestari dan boleh sustainable untuk jangka masa yang panjang.

Cadangan telah pun dibuat untuk melihat bagaimana ia dapat diperbaiki lagi. Saya ingin menyatakan bahawa proses ini sudah pun bermula, kajian-kajian terperinci sudah pun dibuat, ada beberapa perkara yang akan kita kemukakan kepada pihak kerajaan tentang proses penambahbaikan termasuk cara pembayaran balik iaitu tentang dasar pinjaman boleh ubah.

Ada yang mencadangkan supaya kita perlu mengkaji dan tidak semestinya mahasiswa yang mendapat ijazah kelas pertama sahaja layak diberikan insentif dan potongan ataupun dijadikan ia sebagai biasiswa tetapi juga pencapaian pelajar bumiputera lain yang boleh diambil kira sebagai satu cara untuk memberikan galakan kepada mereka.

Perkara ini insya-Allah akan kita teliti dan kita halusi dan kita akan umumkan dalam tempoh masa yang tidak lama lagi.

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH

Sistem pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang disebut secara ringkasnya PBS, ini juga dibangkitkan di mana dinyatakan bahawa ia menyebabkan sebahagian besar tenaga pengajar, guru kita menghadapi masalah.

Saya nak nyatakan, hasil daripada kajian yang telah pun dibuat oleh pihak Kementerian Pendidikan beberapa tahun lepas, iaitu mengambil kira pandangan masyarakat umum bahawa sistem pendidikan di negara kita ini banyak menjurus kepada peperiksaan. Maka atas dasar itulah kita telah pun mengubah sistem itu kepada sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah ataupun school basesystem. Masalah sekarang bukan dasarnya, yang menjadi masalah ialah cara pelaksanaannya yang dikatakan menyebabkan bebanan terpaksa ditanggung oleh guru-guru.

Saya memberi jaminan bahawa perkara ini akan kita atasi dengan sebaik-baiknya. Langkah sudah pun bermula dan saya telah mengarahkan kementerian agar mengambil inisiatif membaiki sistem akses kepada maklumat yang hendak disampaikan kepada pihak kementerian.

Saya jangka pada April 2014 maka ia akan dapat kita laksanakan secara yang lebih berkesan dan tidak dianggap sebagai satu bebanan kepada pihak guru di seluruh negara.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131208
Tags: kpi, pbs, pendidikan, politik, ptpn, umno
Subscribe

  • Reflection of current leaders

    The dramas played by the policy-maker of our country has now becoming absurdly ridiculous. Of late, Malaysians are in need of someone or…

  • March 2020 is not Ides of March

    History had made a mark in Malaysia as in March 2020, the country’s eighth prime minister took over as prime minister in order to “save…

  • Reflection of our current leaders

    I refer to ' Time to reflect on what is important' dated 3 Mar 2020. The dramas played by the policy-maker of our country has now becoming…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments