kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perginya tokoh keamanan

DIKENALI sebagai pemimpin yang sangat berpegang kepada prinsip dan sanggup dipenjara demi rakyatnya. Namun setelah dibebaskan, bukan keadilan yang dipinta, bukan pembalasan yang dicari. Beliau mencari kedamaian dan penyatuan merentasi bangsa dan kaum.

Penerima Anugerah Nobel Keamanan ini ialah Presiden Afrika Selatan pertama yang dipilih secara demokrasi selepas dibebaskan dari penjara pada 1990.

Begitulah hebatnya Nelson Mandela - pejuang kebebasan yang menjadi penanda aras moral bagi bangsanya serta simbol Afrika Selatan. Beliau perjuangan menentang penindasan kulit putih yang menghambakan kulit hitam di tanah air mereka sendiri.

Nelson Mandela memaknakan dasar apartheid sebagai - "kaum yang terlalu memilih siapa yang miskin dan siapa yang kaya… siapa yang hidup dalam kemewahan dan siapa yang hidup dalam kehinaan... siapa yang layak mendapatkan makanan, pakaian dan kemudahan kesihatan... dan siapa yang layak hidup dan siapa yang harus mati."

Begitulah berpengaruhnya dasar apartheid orang kulit putih di negara yang bukan milik mereka. Kisah perhambaan ke atas kaum kulit hitam oleh orang kulit putih di Afrika Selatan bukan rekaan.

Tetapi generasi muda mungkin tidak tahu kisah menentang apartheid oleh Mandela yang membawa beliau meringkuk 27 tahun dalam penjara.

Lewat malam Khamis lalu (Jumaat pagi waktu tempatan), ikon penentang dasar penindasan kaum dan pejuang keamanan ini telah meninggal dunia di rumahnya akibat jangkitan paru-paru pada usia 95 tahun.

Walaupun keadaan kesihatannya yang merosot kerana telah lama menghidap masalah paru-paru serta batuk kering sejak berada di penjara, namun pemergiannya tetap menyentak peminatnya di seluruh dunia.

Sesungguhnya beliau akan dikenang sebagai insan pemaaf dan tidak memusuhi mereka yang pernah memenjarakannya. Beliau lebih mementingkan perdamaian serta perkongsian kekayaan yang terdapat di negaranya antara penduduk kulit putih dan kulit hitam. Dan kita sedia maklum tidak ramai manusia di dunia yang memiliki sikap semulia itu.

LATAR BELAKANG

Sosok tubuh yang diberi nama Nelson Rolihlahla Mandela dilahirkan di Mvezo di daerah Umtatu pada 18 Julai 1918. Nama Rolihlahla sendiri dalam bahasa Xhosa yang dituturkan puaknya, Thembu, bermaksud si pembawa masalah.

Moyangnya, Ngubengcuka, ialah raja bagi puak Thembu yang menguasai wilayah Transkeian. Namun kerana datuknya berkahwin dengan wanita dari puak Ixhiba menyebabkan mereka tidak layak mewarisi takhta tersebut.

Bapanya, Gadla Henry Mphakanyiswa, antara ketua puak dan penasihat kepada keluarga diraja. Sebagai penganut tuhan Qamata, bapanya mengamalkan poligami dengan mempunyai empat isteri yang tinggal di kampung berlainan.

Ibu Mandela, Nosekeni Fanny merupakan isteri ketiga dan beliau mempunyai 13 orang adik beradik, empat lelaki dan sembilan wanita.

Dibesarkan ibunya yang menganut agama Kristian di perkampungan Qunu, beliau dihantar ke sekolah Methodist berhampiran dan mendapat nama Nelson yang diberi salah seorang gurunya.

Mandela pernah menyifatkan semangat dan darah perjuangannya diwarisi daripada bapanya yang sangat berbangga dengan sikap melawan dan memberontak, tetapi pada masa dan keadaan yang betul.

Selepas kematian bapanya akibat kanser paru-paru, ibunya menghantar Mandela tinggal bersama Penjaga WIlayah Thembu, Chief Jongintaba Dalindyebo yang memberi peluang lebih baik dalam hidupnya serta membentuk peribadi yang lebih jelas.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Clarkebury Boarding Institute in Engcobo iaitu sekolah elit kulit hitam yang mengagungkan budaya Barat. Namun Mandela mempunyai pemikiran yang berbeza.

Mandela melanjutkan pengajian peringkat ijazah di University of Fort Hare dalam jurusan kesenian. Pada peringkat awal walaupun dikelilingi oleh-ahli Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) serta gerakan anti-imperialis, namun Mandela menolak untuk terlibat bersama mereka.

Namun setelah menganggotai majlis perwakilan pelajar di universiti berkenaan, beliau terlibat dalam tindakan memboikot perbezaan kualiti makanan, menyebabkannya digantung pengajian. Mandela memilih keluar dari universiti tersebut tanpa menamatkan pengajian.



HAFIZAHRIL HAMID Utusan Malaysia Online Rencana 20131208
Tags: aperthied, mandela
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments