kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rancangan Briggs terencatkan Parti Komunis Malaya

PADA Jun 1950, kerajaan British di Tanah Melayu memperkenalkan 'Rancangan Briggs' dalam usaha menyekat pengganas komunis daripada mendapat bekalan makanan, penyokong, maklumat dan menyebar luas fahaman komunisme. Diilhamkan oleh bekas Komander Divisyen Ke-14 di Myanmar, Sir Harold Briggs yang kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Operasi menentang komunis di Tanah Melayu.

Menurut fail sulit mengenai ketua unit penggempur (assault unit) komunis yang sangat dikehendaki pihak berkuasa, Cheung Thian Thye atau lebih dikenali sebagai Chong Chor , Rancangan Briggs itu memberi kesan ketara daripada segi logistik PKM.

"Keadaan itu mengakibatkan kami kehilangan penguasaan ke atas penduduk pedalaman. Tanpa bekalan makanan mencukupi dan logistik, pasukan kami dipaksa mengurangkan lagi saiz keanggotaan unit.

"Unit kami tidak ada pilihan tetapi berundur jauh ke hutan belantara untuk mendapat bekalan makanan daripada Orang Asli dan bercucuk tanam sendiri," kata Chong Chor.

Rancangan Briggs itu juga memaksa pucuk pimpinan PKM mengeluarkan arahan baharu mengenai taktik operasi pada 1 Oktober 1951. Dasar baharu tersebut merubah taktik daripada perang terbuka keganasan-sabotaj kepada gerakan lebih terkawal dalam usaha meraih sokongan penduduk Tanah Melayu.

Anggota-anggota komunis diberi peringatan bahawa tugas utama mereka ialah meluas dan menggembleng sokongan, sekali gus mengetepikan matlamat ketenteraan asal PKM untuk menghapuskan musuh iaitu pasukan keselamatan. Tindakan keganasan, menakut-nakutkan dan pembunuhan bukan lagi strategi PKM.

Arahan baharu PKM itu ialah berhenti daripada merampas kad pengenalan dan kad catuan; membakar kampung, menyerang pejabat pos, kolam takungan, stesen jana kuasa dan sebagainya, mensabotaj landasan kereta api dengan letupan, membakar bangunan keagamaan dan lain-lain.

Menurut Chong Chor dalam fail sulit tersebut, pucuk pimpinan PKM mengerti masih wujud keperluan untuk meneruskan kegiatan bersenjata demi meningkatkan semangat anggota komunis. Namun, PKM menggariskan bahawa keutamaan diberikan kepada usaha penyusunan semula organisasi dan mengamalkan dasar 'menahan diri' bagi memenuhi perubahan keadaan semasa.

"Sama ada sesebuah unit perlu meneruskan pertarungan atau berundur untuk mengumpul semula anggota-anggota, haruslah bergantung kepada keadaan semasa," kata Chong Chor.

Berikutan keberkesanan Rancangan Briggs dan tindakan menggempur komunis yang cekap oleh pasukan keselamatan, anggota komunis diarahkan supaya menanam sendiri sayur-sayuran dan berbaik dengan Orang Asli untuk mendapatkan bekalan makanan.

"Namun unit-unit kecil akan tetap digunakan dalam misi-misi terhad ke atas pasukan keselamatan dan juga mendapatkan bekalan," ujarnya.

Pada Julai 1953, Setiausaha Agung PKM, Chin Peng meninggalkan kawasan persembunyiannya di hutan belantara Pahang menuju ke selatan Thailand, melalui Kelantan.

Chong Chor merumuskan pengunduran Chin Peng tersebut adalah petunjuk jelas bahawa peperangan terbuka PKM sejak 1948 telah menemui kekalahan.

Apa sahaja rancangan atau plot yang dilaksanakan oleh PKM, telah berjaya dikesan oleh pasukan keselamatan menerusi rondaan hutan dan juga pemantauan daripada udara. Kaedah menanam sendiri sayuran tidak mencukupi, kerana ketiadaan barangan keperluan lain seperti garam, minyak masak, pakaian, kasut, ubat, duit dan logistik lain.

Berdepan dengan tekanan yang hebat daripada pasukan keselamatan dan kekalahan teruk, PKM tidak ada pilihan selain terpaksa membuat persediaan untuk berundur ke selatan Thailand. Sebenarnya, seawal 1951, ramai pegawai kanan PKM telah dihantar ke Betong, selatan Thailand untuk membina kem.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131211
Tags: komunis, sejarah
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments