kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Was-was walaupun sangat percaya pada seseorang

KES penipuan semakin menjadi-menjadi dan berlaku kepada sesiapa sahaja. Setiap hari, kita disajikan dengan berita-berita yang melibatkan penipuan dengan pelbagai cara. Terkejut juga dengan kes-kes yang kita rasa tidak logik tetapi bermula daripada percayalah maka semuanya lesap sekelip mata.

Sindiket penipuan berlaku dalam mencari pekerjaan, pemerdagangan manusia, pelacuran, dadah dan juga di internet.

Sejak kebelakangan ini yang ketara berlaku ialah berkaitan dengan pelaburan. Siapa yang tidak mahu melabur dan mengaut keuntungan berlipat ganda? Semua orang memikirkan hendak cepat senang dan bertambah mewah.

'Yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran', menimpa nasib seorang Datuk yang ditipu RM500,000 dengan dijanjikan pulangan RM200 juta terkandas di Amsterdam apabila lelaki yang baharu dikenalinya telah menghilangkan diri.

Kalau difikirkan, Datuk berkenaan yakin dalam pelaburan ini kerana kenal lelaki itu melalui rakannya. Semestinya selamat, tidak ragu tetapi masalahnya di dunia hari ini, wang akan mengaburi hati nurani manusia.

Satu lagi kes, kerana percaya kepada kawan sejak dari bangku sekolah yang bergelar Datuk, seorang warga emas kerugian hampir RM500,000 akibat ditipu selepas geran tanah miliknya ditukar milik tanpa pengetahuannya.

Keyakinan beliau untuk meminta bantuan rakannya membantu memecah lot tanah kepada anak-anaknya akhirnya penama milikan tanah telah ditukar milik sendiri tanpa persetujuannya.

Dikaitkan tentang kepercayaan dalam pembahagian harta dalam sebuah drama bersiri Hong Kong bertajuk Will Power yang baharu habis siarannya berkisar tentang kuasa undang-undang dan peranan peguam yang menjaga wasiat dan perlu menyimpan seribu rahsia yang diamanahkan kepadanya.

Di akhir cerita, salah seorang peguam yang menyatakan mengapa perlu rebut harta. Bukankah lebih baik hati nurani didepankan. Bukankah saling percaya lebih baik kerana yang paling penting, "Kita adalah satu keluarga"?

Semuanya telah dirancang awal kerana yang hendak menipu tetap ada niatnya. Kasihan pula memikirkan nasib lebih 30 warga emas dan ibu tunggal yang tinggal di kawasan pedalaman dipercayai ditipu seorang lelaki yang menyamar ada kuasa politik dan meminta bayaran RM50 yang dijanjikan mendapat rawatan percuma.

Kes penipuan di internet sering berlaku kebelakangan ini. Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor ACP Chong Mun Phing, kes penipuan perbankan dalam talian di Selangor meningkat apabila 173 kes dicatatkan sejak awal tahun ini. Pengguna dan pemegang akaun bank online dinasihatkan berhati-hati dengan penjenayah siber.

Kita tahu kes penipuan tidak dapat diselesaikan apabila melibatkan transaksi yang sukar dikesan. Banyak kes sindiket penipuan yang turut melibatkan pukau apabila kita tidak sedar melakukan segala proses pemindahan wang. Apa yang dikesalkan ialah banyak kes penipuan yang terlepas begitu sahaja.

Sebenarnya, kita acap kali dengar dan baca tentang kes-kes penipuan namun, mengapa masih lagi berlaku kes penipuan setiap hari. Adakah kita juga harus menyalahkan diri sendiri apabila kita terlalu percaya, baik hati dan lurus dalam menangani situasi apabila ditawarkan hadiah menarik dan lumayan.

Adakah kita mula bersifat tamak apabila dijanjikan wang berlipat berganda yang akhirnya menjerat diri kita sendiri? Saya merasakan, kita perlu ada perasaan was-was dalam setiap tindakan yang akan dilakukan walaupun kita sangat percaya seseorang dan ada kalanya katakan "tidak" adalah lebih baik. Ini kerana luka ditipu orang yang paling kita percayai adalah luka parah yang tidak akan sembuh selamanya.

Kepercayaan sesama insan makin luntur kerana bukan sahaja kes penipuan berlaku di alam maya oleh orang tidak dikenali hinggalah kepada orang yang kita kenal rapat pun sanggup menipu dan menikam dari belakang.

Kawan yang dikenali menipu kita, tidak termasuk kalau kita bercakap tentang yang mempunyai tali persaudaraan. Adik beradik pun sanggup menipu sesama mereka kerana wang dan kuasa.

Adakah semua itu penting untuk menjamin kebahagiaan jika wang diperoleh dari jalan yang salah dan tidak berkat. Persoalannya, sampai bila orang yang hobinya menipu akan terlepas. Di dunia mungkin terlepas tetapi tidak di akhirat. Fikir-fikirkan. Salam 1Hati.


DR. JESSICA ONG HAI LIAW ialah Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 20131211
Tags: percaya
Subscribe

  • Semua akan hilang kerana politik dan berpolitik

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments