UMNO-BN JANGAN ANGKUH
AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 11 Disember 2013 menyiarkan artikel yang mahukan dasar kerajaan yang berpihak hanya kepada satu kaum dihapuskan.
Artikel berajuk Angkuh dan menghina bencana yang ditulis oleh Chong Kim Huat disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuan Lun halaman C8.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha baru-baru ini berkata, kita perlu kenal realiti politik dan orang Cina jangan asyik menentang! Kenyataan beliau serta-merta mendapat bantahan daripada masyarakat Cina, yang tidak dapat menerima kenyataan Cho Ha yang seolah-olah mahu kaum itu bersikap seperti hamba abdi.
Jika kita lihat Bapa Kemerdekaan India, Mahatma Gandhi, dia secara agresif berkempen menentang keadaan yang tidak berpihak kepada penduduk negara itu sehingga membuka satu lembaran sejarah yang baharu.
Pemimpin MCA yang mengaku mereka tahu apa erti realiti dalam politik pula bertindak sebaliknya sehingga menyebabkan wujud dasar pendidikan yang menyusahkan orang Cina. MCA juga tidak berbuat apa-apa bagi menghentikan polisi kuota bumiputera yang menekan ekonomi orang Cina yang telah menguji kesabaran kaum itu lebih daripada setengah abad.
Mengikut laporan, kerana kerajaan Selangor mendapat keuntungan, maka ia telah menaikkan gaji wakil rakyatnya.
Barisan Nasional (BN) terus menghentam kerajaan Selangor kerana dikatakan tidak bersikap jujur kepada rakyat! Jika BN bersikap jujur, kenapa ada tiga ketua eksekutif di Jabatan Perdana Menteri yang bergaji sebanyak RM1.87 juta setahun?
Kerajaan Pusat mengalami kerugian setiap tahun. Adakah gaji yang berjuta ringgit itu boleh dianggap perkara biasa dan memang patut diterima? Gaji Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud lebih tinggi daripada gaji Perdana Menteri, kenapa tidak dijadikan isu oleh BN?
Dalam pada itu, apabila banjir berlaku di tiga negeri di Pantai Timur, ke mana perginya pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan menteri yang dikatakan mahu berkhidmat secara jujur semata-mata untuk rakyat?
Realitinya mereka mengutamakan untuk menghadiri perhimpunan parti yang setiap hari diutarakan dengan ucapan yang tidak baik untuk perpaduan rakyat.
Sebaliknya, masyarakat Cina pula terus bertindak untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Tanpa disuruh oleh sesiapa, mereka mengumpulkan wang untuk mangsa banjir.
Akhbar-akhbar Cina juga turut menjalankan kempen kutipan derma untuk mangsa banjir berkenaan. Apa yang dilakukan itu adalah ibarat kata pepatah jika ada satu tempat terkena musibah, seluruh pelosok akan tampil membantu.
Semangat suka membantu memang sudah lama tertanam dalam jiwa setiap orang Cina. Mereka menolong tanpa memilih kaum kerana berpendapat setiap individu perlu dilayan secara sama rata.
Tetapi bagaimana pula cara kerajaan membantu mangsa banjir? Bantuan yang dihulurkan dibuat mengikut kepentingan kaum. Segala barangan yang dihulurkan diletakkan logo BN bagi memperkukuhkan pengaruh parti berkenaan.
Orang-orang besar daripada Kerajaan Pusat menggunakan helikopter untuk melawat kawasan banjir dengan diiringi pemberita dan jurugambar untuk memberitahu rakyat di seluruh Malaysia yang mereka mesra rakyat.
Menentang Sistem Aparteid
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyanjung tinggi ikon antiaparteid, Nelson Mandela. Beliau menganggap Afrika Selatan mempunyai persamaan dengan Malaysia dalam menentang sistem pemerintahan aparteid.
Adakah ini benar jika dilihat kesungguhan kerajaan BN untuk melaksanakan polisi ekonomi bumiputera, dasar petroleum yang berpihak kepada kaum itu, bantuan orang miskin yang majoriti penerimanya orang Melayu dan polisi pemilikan rumah untuk bumiputera.
Sebenarnya kerajaan BN dikuasai oleh UMNO. Parti ini bersikap angkuh dan sombong serta tidak memandang kaum lain yang telah banyak berjasa kepada negara.
Ini sememangnya adalah satu kenyataan yang benar. Cara pemerintahan kerajaan seperti ini akan menimbulkan perasaan tidak berpuas hati dan permusuhan antara kaum. Ia boleh menyebabkan masyarakat menjadi kacau-bilau.
Jika kepimpinan UMNO yang menerajui BN tidak mengutamakan petunjuk prestasi utama (KPI), tidak membantu orang miskin tanpa mengenal sempadan kaum dan tidak menerima teguran kumpulan cerdik pandai, mereka akan membuatkan Malaysia berundur ke belakang dalam demokrasi.
KELUHAN ORANG CINA
PERASAAN tidak berpuas hati peniaga dan orang Cina terhadap dasar kerajaan yang disifatkan menekan mereka turut diulas oleh akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 10 Disember 2013.
Artikel bertajuk Masyarakat Cina tertunggu-tunggu penyelamat yang ditulis oleh penulis yang menggunakan nama samaran Choo Han disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuan Lun halaman W3.
Pada zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, orang Cina telah dilabel sebagai penyokong komunis. Kesetiaan mereka terhadap tempat kelahiran iaitu Tanah Besar China menjadikan kaum ini sasaran pihak-pihak yang berdendam dengan mereka sehingga berlaku kejadian tidak diingini.
Ketika pemerintahan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein iaitu selepas diadakan hubungan diplomatik dengan China, barulah sumbangan orang Cina di negara ini ditagih terutama dalam membangunkan perdagangan dan ekonomi negara. Tetapi pada zaman Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn, orang Cina kembali menjadi warganegara kelas kedua.
Kebenaran hakikat itu tidak perlu disangsi dan dipertikaikan. Antaranya, orang Cina dilarang sama sekali mendominasi bidang politik. Sebab itu, parti-parti Cina, sehingga sekarang hanya memainkan peranan sebagai pengikut telunjuk dan dikuasai oleh orang lain.
Walaupun wujud layanan tidak adil, sumbangan masyarakat Cina dalam pembangunan ekonomi negara memang tidak boleh dinafikan lagi. Ramai usahawan Cina berjaya, walaupun mereka memulakan perniagaan dengan sehelai sepinggang dan tangan kosong.
Mereka berusaha gigih dengan titik peluh sendiri untuk meneroka bumi ini dan juga menggunakan pengalaman beberapa generasi sehingga akhirnya menikmati kejayaan dalam bidang perniagaan.
Hakikatnya Malaysia memang memerlukan sumbangan peniaga Cina terhadap pembangunan ekonomi negara ini dan ia seperti anggota badan yang tidak boleh dipisahkan kerana saling memerlukan antara satu sama lain. Bagaimanapun, peniaga Cina kini mengalami tekanan apabila kerajaan secara berterusan memperkukuhkan dasar ekonomi bumiputera.
Dasar yang telah dilaksanakan sejak sekian lama, telah menampakkan kesan positif apabila banyak sektor perniagaan telah dikuasai golongan bumiputera.
Penguasaan ekonomi oleh bumiputera yang semakin hari semakin meluas ini telah memberi kesan kepada peniaga Cina apabila terdapat di kalangan mereka yang jatuh merudum dalam perniagaan. Mereka tidak mendapat sokongan parti-parti Cina yang lemah dan dan tidak henti-henti menghadapi persengketaan dalaman.
Memang diakui peniaga Cina boleh mengorak langkah untuk mengembangkan perniagaan di luar negara dan bersaing ke peringkat antarabangsa, tetapi terdapat juga yang tidak mampu berbuat demikian dan perlu memberi tumpuan berniaga dalam negara.
Peniaga ini menghadapi tekanan yang semakin ketara. Keluhan mereka tidak habis-habis dan kisah sedih yang diluahkan mereka ini memang benar dan nyata.
Di saat kita menghadapi keadaan yang amat pahit ini, diharapkan masyarakat Cina dapat berteriak sekuat-kuatnya sehingga orang pekak dapat mendengarnya.
Kita juga perlu mengeluarkan buah fikiran dan idea-idea bijaksana bagi menyelamatkan masyarakat Cina.
Utusan Malaysia Online Rencana 20131212