kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Komunis hidup dalam pelarian

SELEPAS Rundingan Baling pada penghujung 1955 gagal mencapai kata sepakat, anggota Parti Komunis Malaya (PKM) menjadi semakin lemah dan hidup dalam pelarian kerana menerima tekanan yang hebat daripada pasukan keselamatan.

Ketua unit penggempur (assault unit) yang sangat dikehendaki pihak berkuasa, Cheung Thian Thye atau lebih dikenali sebagai Chong Chor pernah mengharapkan rundingan itu berjaya namun setelah gagal dia terpaksa kembali ke dalam hutan membantu operasi PKM di daerah tengah pada tahun 1956.

Sebaik-baik sahaja dia kembali ke Daerah Tengah, dua ketua Min Yuen iaitu Lee Yan di Tanjung Tualang dan Chee Wah di Tronoh masing-masing menyerah kepada pasukan keselamatan serta terbunuh.

"Ketiadaan mereka ini menyebabkan usaha PKM untuk meneruskan aktiviti terbantut," kata Chong Chor dalam fail sulit mengenai kebimbangannya tentang pengaruh dan kuasa PKM yang semakin lemah.

Tekanan yang diberikan pasukan keselamatan semakin hebat. Mereka melancarkan 'Op Ginger' pada awal 1958 di Perak untuk melumpuhkan pergerakan komunis di daerah utara, tengah dan selatan.

Semua pergerakan Min Yuen dan pasukan PKM dibanteras oleh pasukan keselamatan sehingga menyukarkan mereka untuk mencari makanan.

Pergerakan kumpulan ini semakin terbatas, mereka perlu bergerak dari satu kem daerah ke satu kem untuk mencari bekalan makanan. Ramai ketua dan anggota PKM terbunuh termasuk isteri Chong Chor iaitu Wong Pik Lian pada Jun 1958.

Anggota PKM termasuk Chong Chor hidup dalam pelarian kerana selepas Op Ginger, pasukan keselamatan menggantikannya dengan Op Bintang dan ini memaksa mereka berundur ke selatan Thailand.

Di selatan Thailand, Chong Chor dan pasukannya berbincang tentang peluang pasukan itu yang dilihat semakin lemah sehingga terpaksa berundur ke selatan Thailand.

Mereka juga mengaku bahawa PKM semakin lemah, tidak mampu untuk menentang pasukan keselamatan dan hanya menunggu masa untuk berkubur.

Dalam pertemuan itu, Ah Sek (salah seorang pemimpin Jawatankuasa PKM) memaklumkan bahawa pasukan itu membuat satu dasar baharu iaitu membenarkan mana-mana anggotanya untuk meninggalkan pasukan.

Tiga kategori mereka yang dibenarkan meninggalkan PKM adalah anggota yang sudah hilang semangat dalam perjuangan; anggota yang tua atau sakit serta tidak mampu lagi berjuang dan yang ketiga, anggota yang berhasrat untuk pulang ke China, Thailand atau Tanah Melayu untuk bersama keluarga mereka.

Ah Sek meletakkan beberapa syarat kepada anggota yang berhasrat meninggalkan parti iaitu mereka tidak dibenarkan menyerah diri sama ada kepada pihak berkuasa Tanah Melayu atau Thailand.

Mana-mana anggota yang keluar pasukan juga dilarang membocorkan rahsia mereka kepada pasukan keselamatan jika ditangkap, perlu menjauhi daripada sebarang aktiviti yang boleh mencurigakan kegiatan mereka sebelum ini dan akan menerima bayaran sebanyak 3,000 baht.

Bagi Chong Chor, peraturan baru yang diperkenalkan itu menyebabkan PKM perlu menyediakan sesi pengambilan, latihan dan tunjuk ajar bagi membentuk pasukan dan anggota yang baru untuk meneruskan perjuangan mereka.

Baginya walaupun PKM dilihat semakin lemah, dia tetap menyokong perjuangan PKM dan mengambil keputusan untuk meneruskan perjuangan.

Salah satu usaha dilakukan oleh Chong Chor dan rakan PKM untuk meningkatkan sokongan perjuangan mereka adalah mempengaruhi penoreh getah di sekitar Banyee Rai di Betong untuk melancarkan mogok.

Mogok itu dicadangkan berikutan kadar baru yang ditetapkan tidak setara iaitu penoreh memperoleh 40 peratus hasil manakala pemilik kebun bakal memperoleh 60 peratus. (Sebelum ini kedua-dua pihak berkongsi keuntungan 50-50).

Dengan persetujuan Ah Sek, PKM bersetuju untuk meneruskan rancangan mereka mempengaruhi penoreh getah untuk melancarkan mogok.

Mogok yang dirancang itu cuma berjalan selama sebulan dan sekali lagi menemui kegagalan. Cita-cita PKM untuk meluaskan pengaruh mereka dalam kalangan penoreh getah ternyata sia-sia. Penoreh getah terpaksa meneruskan pekerjaan mereka kerana dibelenggu kemiskinan.


Utusan Malaysia Online Rencana 20131213
Tags: komunis, pkm, sejarah
Subscribe

  • Manusia Tanpa Kemanusiaan

    Manusia dan kemanusiaan harusnya seiring. Kata orang lama di tempat saya , manusia tanpa kemanusiaan umpama haiwan atau binatang. Sejak kecil…

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments