kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sudah ada teknologi alat batu

MASYARAKAT kuno yang hidup pada zaman Paleolitik iaitu zaman prasejarah yang bermula sejak kemunculan manusia sehingga sekitar 10,000 tahun dahulu (td) sudah mampu menguasai teknologi dalam pembuatan alat batu.

Tahap pemikiran mereka ketika itu menunjukkan mereka boleh membuat penilaian dalam memilih jenis batuan untuk dijadikan alat.

Malah kajian di Lembah Lenggong mendedahkan manusia prasejarah di Malaysia turut melakukan perubahan dalam pelbagai bentuk untuk kemajuan mereka pada zaman tersebut.

Seorang pelajar program Ijazah Sarjana Sastera (Arkeogeologi), Universiti Sains Malaysia (USM), Nur Asikin Rashidi , 31, berkata, kajian yang dilakukannya di Bukit Bunuh menunjukkan masyarakat prasejarah sudah boleh berfikir dalam membuat pemilihan jenis batu yang sesuai dijadikan alat untuk memotong, menetak, melandas dan lain-lain.

"Ada banyak jenis alat batu yang ditemui di Bukit Bunuh, antaranya alat penetak, alat melapah, kapak genggam dan lain-lain.

"Ia ditemui berselerak dalam satu-satu kawasan yang menunjukkan kawasan itu telah dijadikan bengkel untuk membuat alat batu.

"Penemuan berbagai jenis dan bentuk alat batu itu menunjukkan mereka mampu berfikir tentang kesesuaian batu untuk dijadikan alat.

"Misalnya, percubaan pertama terhadap batu jenis A mendapati ia sangat keras dan sukar ditajamkan. Maka, mereka akan beralih pada batu lain sehingga akhirnya menemui jenis batu yang mudah untuk dibentuk," katanya kepada S2.

Beliau yang mengkhusus dalam kajian di kawasan terbuka mendapati, masyarakat prasejarah di Lembah Lenggong juga sudah bijak memotong hujung cengkerang siput untuk memudahkan mereka mengeluarkan isinya.

"Masyarakat prasejarah yang pandai memotong cengkerang siput ini tinggal di dalam gua (tapak tertutup).

"Kesan bakar pada cengkerang itu pula menunjukkan masyarakat prasejarah di Lembah Lenggong telah mula menggunakan api untuk memasak makanan," ujarnya yang merupakan bekas pelajar program Ijazah Sarjana Muda Sains Geologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Berhasrat meneruskan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran, Nur Asikin memberitahu beliau mula melakukan kajian survei, pemetaan dan kajian terperinci pada batuan di Bukit Bunuh sejak tahun 2008 sehingga sekarang.

Mengulas mengenai impak meteorit di Bukit Bunuh daripada aspek geologi pula, katanya, terdapat enam bukti yang ditemui di sekitar bukit tersebut.

Antara bukti itu adalah penemuan kon pecah iaitu struktur makro dalam penghasilan meteorit ada berlaku, struktur mikro yang ditemui dalam batu kuarza yang tak biasa terdapat pada batu kuarza di tempat lain.

"Ini kerana batu kuarza di Bukit Bunuh telah terdedah pada impak meteroit kira-kira 1.83 juta tahun dahulu (td). Selain itu, bukti impak meteorit jenis komplek adalah kehadiran bukti leburan serta mineral bertekanan tinggi akibat impak meteorit seperti koesit dan stishovit.

"Bukti lain adalah jenis batuan yang mana buat pertama kali di Asia ditemui batu suevit. Batu ini hanya terdapat di Bukit Bunuh sahaja dan ia terbentuk hasil daripada leburan impak meteroit.

"Setakat ini tidak ditemui batuan suevit di tempat lain di Asia kecuali di Bukit Bunuh, Lenggong," katanya.

Dalam pada itu, katanya, manusia prasejarah berevolusi dari zaman Paleolitik ke zaman Neolitik (zaman prasejarah yang dicirikan dengan kemunculan tembikar sebagai tanda permulaan aktiviti pertanian dan penternakan) dan zaman Gangsa (zaman prasejarah yang dicirikan dengan penggunaan peralatan logam seperti gangsa dan besi).

"Kepentingan kajian arkeologi adalah ia menghasilkan urutan kebudayaan yang panjang di Asia. Teknologi yang dihasilkan terdahulu menjadi asas kepada kemajuan yang kita kecapi sekarang," katanya.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131214
Tags: ancient, heritage, history, sejarah
Subscribe

  • Baik pulih vagina

    FAKTOR usia bukan sahaja menyebabkan kecantikan seseorang wanita itu mula pudar, malah, mengakibatkan perubahan kepada fungsi dan struktur organ di…

  • Sihat lepas bersalin

    MENGANDUNG adalah satu proses yang akan menyebabkan berlaku perubahan pada urat-urat saraf di bahagian badan wanita. Kemudian, apabila selepas…

  • Semua akan hilang kerana politik dan berpolitik

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments