kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Lenggong pernah alami iklim savana

LEMBAH Lenggong satu ketika dahulu mempunyai iklim savana tropika yang kering. Iklim itu menjadikan kawasan tersebut ditumbuhi rumput seperti mana padang savana yang terdapat di benua Afrika sekarang.

Kewujudan iklim itu merupakan antara tarikan penduduk zaman batu untuk menetap di sekitar lembah berkenaan.

Faktor tarikan lain adalah kewujudan tasik kuno Chenderoh yang kaya dengan ikan, sekali gus menjadi sumber makanan penting kepada masyarakat purba yang hidup sebelum 1.83 juta tahun dahulu (td) di Lembah Lenggong. Di samping itu, wujud juga teres berkelikir sungai yang menyediakan bahan mentah untuk membuat alat batu.

Tinjauan S2 mendapati wujudnya bengkel alat batu di kawasan yang dinamakan Bukit Bunuh yang terletak di tepi Sungai Perak.

Bukit tersebut pernah mengalami impak meteorit kira-kira 1.83 juta td berdasarkan penemuan bukti batuan baru iaitu batu suevit.

Seorang pelajar program Ijazah Sarjana Sastera (Arkeogeologi), Universiti Sains Malaysia (USM), Nor Khairunnisa Talib, 28, berkata, penemuan kapak genggam di dalam batuan suevit oleh Profesor Dr. Mokhtar Saidin menunjukkan wujudnya kebudayaan Paleolitik yang berusia lebih daripada 1.83 juta td, manakala penemuan yang dilakukannya pula adalah kebudayaan Paleolitik yang berusia 500,000 td.


ANTARA tapak ekskavasi yang dipagar untuk tujuan pelancongan di halaman Galeri Arkeologi Lenggong.

Beliau yang ditemui S2 di Bukit Bunuh berkata, kerja-kerja ekskavasi yang dijalankannya di tapak tersebut adalah antara tahun 2008 hingga 2010.

"Ada lima petak ekskavasi bersaiz 2x2 meter. Satu daripada petak tersebut menyimpan bukti alat batu berusia 500,000 td.

"Petak lain menunjukkan bukti berusia 200,000 td. Antara bukti paling unik adalah penemuan batu jenis metasedimen kerijangan iaitu sejenis batu yang terhasil daripada impak meteorit.

"Akibat impak tersebut, batu yang terlebur telah membentuk batu baharu yang mempunyai ciri-ciri batu yang biasa ditemui di laut dalam," katanya.

Menurutnya, kajian yang dilakukannya turut menemukan bukti bahawa Lembah Lenggong sebelum 10,000 td adalah beriklim jenis savana tropika.

"Selepas tahun itu, iklim sekitar mengalami perubahan dari semasa ke semasa sehingga kita memperoleh cuaca sekarang. Dalam bidang arkeologi, iklim sekarang diletakkan dalam kategori iklim panas dan lembap," tambahnya.

Ditanya kenapa perubahan iklim itu berlaku, katanya, ia akibat perubahan cuaca dunia iaitu suhu yang semakin panas telah menyebabkan pencairan ais di benua Antartika dan Artik.

Akibat pencairan tersebut, paras laut meningkat, sekali gus mengubah keseluruhan struktur iklim dunia.

Selain itu, katanya, proses mengambil sampel tanah dari petak-petak ekskavasi di Bukit Bunuh untuk tujuan pentarikhan agak rumit. Pentarikhan yang diaplikasikan bagi penentuan usia sampel menggunakan kaedah pandau kilau ransangan optik (Optically Stimulated Luminescence, OSL).

"Ia perlu dilakukan pada waktu malam kerana sinaran matahari boleh merosakkan sampel.

"Proses mengorek sampel juga dilakukan dalam keadaan gelap gelita tanpa bantuan cahaya lampu suluh kerana cahaya itu juga boleh merosakkan sampel.

"Permukaan petak turut ditutup untuk mengelak cahaya bulan mengenai sampel yang dikutip. Biasanya, saya suruh pelajar lelaki masuk ke dalam petak untuk mengambil sampel," katanya.

Beliau menjelaskan kesemua sampel yang diambil termasuk tanah kemudiannya dibungkus dengan tape hitam, PVC dan suratkhabar.

"Dengan cara itu, kita boleh menentukan bila kali terakhir sampel itu terdedah pada cahaya matahari," katanya yang memberitahu kesemua sampel itu dihantar ke Korea Basic Science Lab di Seoul, Korea Selatan untuk pentarikhan.

Beliau menegaskan penemuan artifak batu dan rangka manusia purba di Lembah Lenggong sangat penting dalam kajian pergerakan manusia terawal, sekali gus membuktikan kepentingan Malaysia dalam bidang arkeologi global.


Utusan Malaysia Online Rencana 20131214
Tags: ancient, heritage, history, sejarah
Subscribe

  • Masalah ekonomi: Beri alasan wajar

    SELASA lalu, masa makan tengah hari di sebuah restoran makanan Cina ala-Pulau Pinang di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, taukenya sembang…

  • Muflis: Dasar pelik bank?

    WAKTU ini dianggarkan nilai hartanah di negara ini yang hendak dilelong berjumlah RM28 juta. Kebanyakannya milik orang Melayu. Dalam satu insiden…

  • Akta baharu lindungi hak penjamin

    Usaha kerajaan menggubal akta baharu menggantikan Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) bertujuan melindungi penjamin tentunya melegakan pihak yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments