kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bukit Bunuh dihentam meteorit

PERADABAN manusia terawal di Malaysia sudah pun bermula sebelum 1.83 juta tahun dahulu (td). Terdapat banyak bukti yang menunjukkan peradaban manusia terawal di negara ini sudah wujud di Lembah Lenggong, Perak pada tarikh tersebut.

Bukti-bukti tersebut ditemukan daripada hasil kajian arkeologi yang diadakan di lembah tersebut secara berterusan sejak 1987.

Antara kerja-kerja yang dilakukan termasuklah pemetaan, survey dan penggalian tapak-tapak arkeologi yang menemukan bukti seperti alat batu, bengkel pembuatan alat batu, artifak alat batu di dalam batuan suevit, tasik kuno yang terletak 76 meter dari aras laut dan kawasan impak meteorit.

Segalanya bermula pada 1987 apabila sekumpulan pengkaji dalam bidang arkeologi yang diketuai oleh Profesor Dr. Siti Zuraina Majid (kini Datuk), menjalankan kerja-kerja penggalian artifak purba di lembah berkenaan.


BUKIT Bunuh yang terletak di tepi Sungai Perak dilihat dari Kampung Luat, Lenggong, Perak.

Dalam kerja-kerja tersebut, beliau telah meminta bantuan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan salah seorang yang terlibat adalah Mokhtar Saidin.

Mokhtar yang kini berjawatan Profesor Dr. merupakan Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Menurutnya, ketika diminta membantu Zuraina, beliau baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang arkeologi di UKM.

Ketika itu, katanya, kerja-kerja penggalian dilakukan di kawasan yang dinamakan Kota Tampan.

"Pemetaan dan survey dijalankan dari semasa ke semasa. Saya ketika itu dipertanggungjawabkan untuk memetakan tapak-tapak berpotensi.

"Pemetaan tapak terbuka seperti Kota Tampan telah mendedahkan bahawa ia berada di tepi sebuah tasik kuno, sekitar 76 meter dari paras laut.

"Justeru, saya perlu melakukan survey dan pemetaan di kawasan yang berketinggian lebih daripada 76 meter untuk melihat sama ada terdapat enapan kelikir sungai atau tidak, dan potensinya dalam aspek arkeologi," katanya kepada S2 ketika ditemui di pejabatnya di USM, Pulau Pinang.

Menurutnya, salah satu kejayaan yang dilakukan dalam survey itu adalah penemuan tapak Paleolitik Bukit Bunuh berkeluasan empat km persegi.

"Kajian di Lembah Lenggong dilakukan dari semasa ke semasa dan pada 2001, kami menemukan ribuan alat batu termasuk batuan berusia 1.83 juta td di Bukit Bunuh," katanya sambil memberitahu batuan tersebut ditemui pada tahun 2001 apabila kerja-kerja menolak tanah dilakukan bagi menanam kelapa sawit.

Ketika itu katanya, kawasan yang telah diratakan untuk membentuk teres bagi menanam kelapa sawit telah mendedahkan beribu-ribu alat batu.

Beliau menjelaskan terdapat dua kategori penemuan artifak alat batu di Bukit Bunuh iaitu artifak alat batu di dalam batu suevit yang mewakili kebudayaan manusia lebih 1.83 juta td.

Tambahnya, kategori kedua adalah artifak yang berasosiasi satu sama lain dalam bentuk bengkel pembuatan alat batu yang mewakili kebudayaan manusia sekitar 30,000 td, 40,000 td dan 90,000 td.

"Usia batuan 1.83 juta td itu bukan kami yang tentukan, sebaliknya kami bawa ia ke sebuah makmal di Jepun, Japan Cronology Lab pada tahun 2007 untuk tujuan pentarikhan.

"Hasil ujian di makmal tersebut mendapati batuan itu berusia 1.83 juta tahun," ujarnya yang menghantar sendiri batuan itu ke makmal di Jepun.

Namun katanya, apa yang mengujakan dalam penemuan tersebut adalah tapak kawah impak jatuhan batu meteor berdiameter lapan km persegi turut ditemui.

"Penemuan itu membuktikan Bukit Bunuh pernah ditimpa batu meteor. Kajian Geologi Am yang dilakukan pula menemukan sienit dan bukti kemasukan cairan bahan berbesi dalam batuan granit di kawasan bibir kawah impak di Kampung Chain, Kampung Beng dan Kampung Chepor" ujarnya.

Beliau berkata, rumusan mengenai penemuan itu akan diterbitkan dalam jurnal dan dijangka dihantar ke The Planetary and Space Science Centre (PASSC), University of New Brunswick, Kanada bagi tujuan pendaftaran.

"Saya jangkakan proses pendaftaran ini akan selesai pada pertengahan tahun hadapan dan apabila didaftarkan kelak, Bukit Bunuh akan diiktiraf sebagai salah satu kawasan impak meteorit di dunia," katanya.

Berikutan itu, katanya, Bukit Bunuh akan muncul sebagai satu daripada 28 tapak impak meteorit yang memiliki bukti suevit daripada keseluruhan 896 tapak impak meteroit dari seluruh dunia.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131214
Tags: ancient, heritage, history
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments