Tidak juga bila seseorang itu menayangkan semula di Facebook, keratan akhbar yang menyiarkan berita dan gambarnya. Itu bukan selfie. Itu sharing (berkongsi), kalau tidak pun memang sengaja mahu menunjuk-nunjuk.
Istilah selfie berasal daripada kata induk bahasa Inggeris self (bermaksud sendiri) yang ditambah ie. Secara khusus selfie bermaksud gambar diri individu yang diambil sendiri, lazimnya menerusi kamera digital atau telefon pintar yang dirakam dalam jarak lengan sendiri atau pantulan cermin atau kamera web pada komputer laptop, meja atau tablet.
Selfie secara khususnya, apabila sudah dirakam gambar sendiri itu, kemudian disiarkan di laman sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter dan sebagainya. Lazimnya gambar selfie bertujuan untuk berseronok, buat lawak, minta puji dan meraih pengikut lebih ramai. Tidak kurang juga bertujuan untuk berlagak atau show off bahawa dia sedang mengangkat barang mangsa banjir.
Perlakuan mengambil gambar sendiri ini bukanlah fenomena baharu. Sejak zaman kamera pertama kali dicipta pada kurun ke-20. Puteri Tsar Rusia, Anastasia Nikolaevna pada usia 13 tahun merupakan seorang daripada remaja terawal merakam gambar dirinya sendiri menggunakan cermin untuk dihantar kepada sahabat-handainya, pada 1914. Dalam surat yang ditulisnya bersama gambar tersebut, Anastasia berkata, saya mengambil gambar saya merenung cermin. Sangat sukar kerana tangan saya menggeletar.
Malah, ketika saya berusia sama dengan Anastasia, memiliki mini kamera ketika itu adalah sesuatu yang luar biasa rasanya. Segala benda di rumah dirakam. Beg, lencana sekolah. Pokok kacang yang ditanam sendiri, kereta bapa. Kamera tersebut tidak memiliki auto fokus, jadi untuk mengambil gambar dalam jarak sedepa lengan, nescaya akan menyebabkan gambar menjadi kabur. Buang filem sahaja.
Jadi teknik yang menjadi pilihan ialah menggunakan Timer Auto-Camera, iaitu pastikan kamera berada dalam kedudukan, kemudian anda berdiri di hadapan kamera. Atau kalau mulut manis, minta tolong orang lalu lalang tolong ambilkan. Tapi hasil gambar itu jangan merungut kalau senget sana sini.
Kamus
Bulan lalu, perkataan selfie dipilih sebagai perkataan tahunan (Word of the Year 2013) berikutan penggunaannya meningkat sebanyak 17,000 peratus sejak tahun lalu oleh Oxford Dictionaries.
Perkataan selfie pada asalnya digunakan dalam satu forum atas talian di Australia pada 2002 sebelum penggunaannya meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tinjauan bahasa yang dilakukan editor Oxford Dictionaries mendapati, perkataan selfie lebih banyak digunakan pada tahun ini berbanding beberapa perkataan popular lain termasuk twerk yang merujuk kepada aksi tarian seksi yang dipopularkan oleh penyanyi, Miley Cyrus pada majlis Anugerah Video Muzik MTV pada Ogos lalu.
Pengarah Editorial Oxford Dictionaries, Judy Pearsall berkata, perkataan tahunan tidak semestinya dicipta dalam tempoh 12 bulan lepas atau menjadi perkataan yang digunakan dalam tempoh tertentu.
Populariti selfie juga didorong oleh kemajuan dalam telefon pintar. Kolumnis The New Yorker, Kate Losse menyifatkan pengenalan iPhone 4 pada 2010 meningkatkan populariti selfie kerana telefon tersebut memiliki ciri kamera yang pemiliknya boleh melihat wajah sendiri. Teknologi itu sekarang sudah ada pada semua telefon pintar dan tablet.
Ini menjadikan risiko gambar kelabu atau gegar, boleh diketepikan kerana anda boleh membetulkan sudut dan fokus gambar. Malah mengambil gambar selfie beramai-ramai tidak lagi memeningkan, apalagi cermin atau mengilas tangan macam plasticman.
Hari ini, selfie bermaharajalela di laman sosial. Golongan remaja menguasai selfie. Mungkin disebabkan golongan pasca remaja semakin menghargai makna privasi dan memilih suasana tertentu sahaja. Golongan remaja ini merakam selfie daripada gaya rambut baharu, kasut, pakaian dan macam-macam.
Jika anda rajin membelek, anda akan dapati keterangan gambar yang serupa iaitu cooling atau dalam bahasa remaja Malaysia:,lepak atau santai atau jangan havoc". Instagram yang sememangnya berorientasikan gambar, adalah muzium selfie. Instagram memiliki aplikasi yang mana anda boleh menukar tema gambar, misalnya menjadikan gambar kekuningan, seolah-olah gambar lama atau menambah corak bunga-bunga.
Kontroversi selfie paling terbaharu yang menjadi perhatian dunia sekarang, membabitkan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang merakam gambar selfie bersama Perdana Menteri Denmark, Helle Thorning Schmidt dan Perdana Menteri Britain, David Cameron.
Istilah
Perlakuan mereka bertiga itu mencetuskan istilah tambahan iaitu funeral selfie kerana mereka berbuat demikian pada majlis memperingati kematian bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela di sebuah stadium di Johannesburg pada 10 Disember lalu.
Gambar tersebut mendatangkan kritikan terhadap mereka bertiga, yang didakwa tidak sensitif dengan majlis. Terdapat pula cerita tambahan. Disebabkan itu juga, isteri Obama, Michelle didakwa cemburu melihat kemesraan Obama dengan Thorning-Schmidt, yang sememangnya jelita. Lebih lawak, satu gambar kemudiannya menunjukkan Michelle bertukar tempat duduk di tengah-tengah, bagi menjarakkan suaminya daripada Perdana Menteri Denmark tersebut.
Sebilangan media Amerika Syarikat menggunakan situasi tersebut untuk membidas Obama yang digambarkan sebagai terpesona dengan kejelitaan Thorning-Schmidt tetapi media Denmark pula tidak sebegitu kritikal kerana mereka lebih memahami situasi di dalam negara. Pada waktu yang sama dengan kematian Mandela, Thorning-Schmidt berdepan dengan kemelut apabila dua menteri Kabinetnya meletak jawatan, yang memaksa beliau melakukan rombakan.
Media Denmark melihat insiden itu menunjukkan Thorning-Schmidt masih mampu bersikap tenang di sebalik krisis dalaman, dan paling penting menunjukkan beliau memiliki hubungan mesra dengan dua pemimpin kuasa dunia utama iaitu Amerika Syarikat dan Britain. Ini tafsiran di Denmark.
Secara ringkasnya, walaupun selfie suatu aksi yang ringan dan berseronok tetapi boleh menjadi kontroversi jika anda tidak peka dengan persekitaran dan had tatasusila budaya serta agama. Selebriti Hollywood seperti Kim Kardashian tidak segan-silu mengambil gambar selfie punggungnya untuk dikongsi dengan 11.7 juta pengikut Instagram dan 18.8 juta pengikut Twitternya.
Seandainya anda rasa mahu mengikut contoh Kim, fikir lama-lama ya sebelum menyiarkan atau mengutusnya kepada sesiapa. Elakkan diri terjerumus ke dalam kategori No Further Action.
Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Online Rencana 20131215