kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hashim terima pengiktirafan dunia

MEMBESAR sebagai anak penoreh getah dan hidup dalam serba kekurangan, tidak sekali-kali menjadi penghalang untuk berjaya dalam kehidupan Datuk Prof. Dr. Hashim Yaacob.

Beliau membuktikan anak Melayu juga boleh mencapai kejayaan terutamanya dalam bidang akademik bertaraf dunia. Hal ini terbukti kerana beliau telah diberi anugerah kecemerlangan di atas kesarjanaan beliau dalam bidang akademik dan profesional oleh universiti dan badan-badan akademik dunia yang unggul.

Pada tahun ini beliau menjadi rakyat Asia pertama yang dianugerahkan Fellow of The Royal College of Pathologist of United Kingdom (FRCPath) dalam bidangnya berlandaskan hasil penyelidikannya. Terdahulu, beliau dianugerahkan Fellow in Dental Surgery of The Royal College of Surgeons of England (FDSRCS Eng.); Fellow Pengasas daripada The Royal College of Pathologist of Australasia (FFOPRCPA); Chartered Biologist oleh The Institute of Biology, United Kingdom (MIBiol, CBiol); dan Fellow of The Academy of Sience of Malaysia (FASc). Beliau juga telah memenangi 21 pingat emas, perak dan gangsa di peringkat antarabangsa dan tempatan atas produk reka cipta saintifiknya.

Melalui penganugerahan ini, Hashim telah berjaya melakar satu sejarah terbesar dalam bidang akademik global kerana beliau telah berjaya menempa namanya sebagai saintis dan profesional tersohor bukan hanya di Asia tetapi juga di peringkat dunia.

Kerjaya terbesar beliau apabila dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) pada 2003 hingga 2006, setelah dilantik sebagai Profesor selama 21 tahun (1987 - 2008). Ketika menjadi Naib Canselor UM , beliau membawa UM ke dalam senarai 200 universiti terbaik dunia dan tidak pernah terkeluar dari senarai itu selama beliau memegang jawatan tersebut.

Pun begitu, beliau memberitahu, walaupun selama hampir 33 tahun beliau mengabadikan diri bekerja dengan taat setia kepada kerajaan dan berbakti dengan cemerlang, dan sanggup mempertahankan negara melalui penglibatannya dalam pasukan simpanan sukarelawan Tentera Laut Diraja Malaysia sehingga ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Kapten (Kolonel), kerajaan tidak pun pernah menganugerahkannya sebarang pingat penjawat awam negara, walaupun serendah pingat Ahli Mangku Negara (AMN).

Wayang kulit

Menariknya, pada sisi kehidupan Hashim yang lain selain menjadi ahli akademik, dia sebenarnya meminati wayang kulit sejak kecil lagi.

"Pada zaman itu, tiada hiburan lain selain wayang kulit di Kelantan. Panggung wayang gambar memang ada di bandar Tanah Merah lebih kurang 10 batu daripada kampung keluarga saya, tetapi tidak banyak filem gambar Melayu yang ditayangkan kecuali yang diterbitkan oleh syarikat Shaw Brothers dan Cathay Keris," ujar Hashim.

Menurutnya, kebanyakan orang kampung termasuk keluarganya lebih gemar menonton wayang kulit, dikir barat, makyung, menora, dan pencak silat. Datuknya, Jusoh adalah tok dalang wayang kulit terkenal di Kelantan.

"Ibu saya, Aminah nyaris-nyaris menjadi dalang wayang kulit kerana minat dan 'angin' ibu tersangat kuat dalam kebudayaan warisan, terutamanya wayang kulit," ujarnya yang bercita-cita untuk berjumpa dua seniman besar, tok dalang wayang kulit Kelantan, Dollah Baju Merah dan seniman P. Ramlee. Tambah Hashim, beliau sempat berjumpa dengan Dollah dan belajar seni wayang kulit daripadanya.

"Dollah dan saya sempat bersama membuat persembahan wayang kulit pada tahun 1993 hinggalah Dollah meninggal dunia pada tahun 2006. Pertama kali saya jadi dalang ialah untuk meraikan hari jadi Profesor Diraja Ungku Aziz yang ke-80 pada tahun 2001. Saya juga pernah bermain wayang kulit yang disaksikan oleh Permaisuri Agong dan Perdana Menteri. Saya bermain wayang kulit dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Arab, Jepun, dan Korea di negara-negara yang menggunakan bahasa itu, seperti di Mesir, Seoul, Tokyo dan Singapura".

Beliau sendiri merasa terkejut apabila mendapati bahawa sebaik sahaja memegang patung wayang kulit di tangannya, karakter patung itu terus hidup dalam alunan irama serunai, gendang, geduk, tetawak, canang, kesi dan gedombak.

Beliau telah mencuba untuk membasmi unsur-unsur syirik di dalam wayang kulit dengan menggantikan jampi dan pemujaan dengan doa kepada Allah SWT dalam persembahan wayang kulit beliau. Beliau telah menulis beberapa kertas kerja dalam usahanya untuk mengislamkan wayang kulit melalui cara yang tersebut di atas.

"Di Kelantan wayang kulit telah di haramkan kerana itu adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Saya memahami mengapa tindakan ini diambil kerana di dalam persembahan wayang kulit ada terdapat jampi yang memuja kuasa-kuasa lain selain daripada kuasa Allah SWT. Sedikit sebanyak saya berjaya mengubah tanggapan negatif mengenai wayang kulit itu sendiri apabila telah diterima oleh sebilangan rakyat yang benar-benar memahami perubahan yang telah dibuat itu," katanya.

Penyair dan pelukis

Selain wayang kulit, Hashim juga aktif sebagai penyair. Jelasnya dalam nada rendah diri, puisi boleh menenangkan hati, puisi boleh mengubat hati yang lara dan boleh menjadi satu terapi yang mujarab.

Katanya, pada usia 19 tahun di tingkatan enam -1969, beliau teringatkan ibu dan bapanya yang kesempitan hidup dan ingin memberikannya kebahagiaan. Pada masa yang sama, beliau juga teringat ketika gagal mendapatkan biasiswa, sedangkan beberapa kawan sedarjahnya yang sentiasa kalah kepadanya berjaya untuk mendapatkan biasiswa. Dua peristiwa ini telah mendorongnya untuk menulis puisi bagi meredakan kekecewaannya. Setelah itu beliau terus menulis puisi setiap kali beliau melihat keadaan sekelilingnya yang memerlukan ekspresi dalam bentuk puisi bagi menyuarakan keadaan.

Kejayaan beliau dalam bidang kesusasteraan diiktiraf apabila berjaya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001 dan dua kali memenangi Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank 1997 dan 2000.

Menginjak usia 60 tahun, Hashim menerokai bidang lukisan sebagai hobi.

"Saya tidak pernah melukis sebelum itu kerana masa sekolah dahulu saya suka ponteng kelas lukisan. Saya mulai belajar melukis setelah dicabar melukis. Setelah siap melukis lebih kurang 50 buah lukisan dalam masa 6 bulan, saya membuat pameran lukisan-lukisan itu di Hotel Holiday Villa Subang Jaya yang dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2010," katanya.

Beliau yang sememangnya pantang dicabar akhirnya berjaya menjadi pelukis yang menghasilkan lukisan bersama iringan puisi yang diciptanya. Setiap lukisannya mempunyai kaitan dan penceritaan dengan nukilan puisinya.



RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH adawiyah.koh@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20131215
Tags: tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments