kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

'Perkauman' baru di Singapura

RUSUHAN yang meletus dengan tiba-tiba di Singapura tidak sahaja menggemparkan rakyatnya yang selama lebih 40 tahun menikmati kestabilan dan kedamaian. Malah turut mengejutkan dunia yang tidak terfikir perkara ini akan berlaku di negara yang diketahui tinggi taraf keselamatannya.

Ini bukanlah rusuhan kaum kerana anasir perkauman telah terkawal di Singapura dengan kejayaan pemerintahan bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew membawa perubahan sosioekonomi dan politik menerusi implementasi dasar yang dinamik dan drastik berasaskan ketegasan undang-undang, disiplin yang keras dan prinsip moral yang tinggi.

Berasaskan sejarah maka tentulah masih tetap dalam pemikiran dan persepsi kerjaan Singapura bahawa kaum Melayulah yang paling berpotensi untuk melakukan rusuhan dan kekacauan. Kemungkinan melibatkan rakyat keturunan Cina dan India adalah paling rendah.

Bahawa kemungkinan rusuhan akan berbangkit daripada pekerja asing tentulah di luar perhitungan kerajaan sama sekali. Tetapi inilah yang telah berlaku pada Ahad lalu di Singapura.

Rusuhan itu berlaku di Little India, Serangoon Road dan Race Course yang sejak zaman penjajah British lagi menjadi kawasan perniagaan dan kediaman kaum India. Kedatangan pekerja asing dan penghijrah dari India ke Singapura juga tertumpu di kawasan ini untuk tinggal, bertemu, berhibur, menjamu selera dan sebagainya.

RUSUHAN yang berlaku di Singapura baru-baru ini tercetus dari


bibit-bibit perasaan tidak puas hati warga asing terhadap
warga Singapura yang dikatakan angkuh dan terlalu kebaratan.

Sekali pandang rusuhan itu bukanlah bersifat perkauman tetapi tercetus akibat kemarahan dalam keadaan mabuk pekerja asing dari Asia Selatan (India dan Bangladesh) kerana marahkan sebuah bas melanggar seorang rakan mereka yang kemudian terbunuh.

Berlakunya serangan terhadap anggota polis, petugas keselamatan, kereta polis dan lain-lain kenderaan tentulah mengingatkan generasi lama terhadap rusuhan berdarah di Singapura melibatkan orang Islam kerana membantah pengambilan semula anak angkat seorang Islam oleh ibu bapanya, orang Belanda dan juga rusuhan perkauman Melayu-Cina pada 1964.

Jelas rusuhan kali ini tidak membangkitkan prasangka buruk antara kaum, tiada khabar angin yang menimbulkan kecemasan dan ketakutan sebaliknya keyakinan rakyat tetap mantap terhadap keselamatan. Tetapi mereka kebingungan dalam mencari jawapan yang tepat di sebalik analisis mudah mengatakan perbuatan orang mabuk. Jawapan pihak berkuasa juga mudah iaitu dengan menutup tempat minum arak di kawasan tertentu.

Sokongan

Ini adalah penyelesaian sementara tetapi masalah yang berpanjangan ialah kejadian ini pastinya akan menebalkan lagi perasaan prejudis rakyat Singapura terhadap pendatang asing. Selain itu ia akan memperkuatkan lagi sokongan rakyat terhadap parti-parti pembangkang Singapura yang telah pun menjuarai penentangan terhadap dasar pintu terbuka kerajaan Singapura terhadap pekerja asing dan penghijrah dari negara luar.

Walaupun dasar terbuka menampakkan penerimaan untuk menjadi penduduk tetap dan juga pekerja asing terbuka kepada semua negara, tetapi keutamaan adalah kepada rakyat dari negara Republik Rakyat China. Tetapi dasar yang tersirat ialah tertutup kepada bangsa Indonesia.

Bagaimanapun dasar ini tidak dapat memujuk rakyat Singapura kerana mereka tidak melihat ancaman dari segi perkauman tetap pekerja asing dan penghijrah dari mana pun akan menambahkan populasi dan menghakis kualiti kehidupan, menimbulkan masalah dari segi infrastruktur, pengangkutan, kenaikan harga rumah, menyekat kenaikan gaji, persaingan dalam peluang pekerjaan dan lain-lain masalah sosial.

Bagaimanapun Menteri Mentor Singapura, Kuan Yew tetap berpegang teguh kepada pendiriannya bahawa masa depan Singapura terancam tanpa pekerja asing dan penghijrah kerana jumlah kelahiran di Singapura sangat rendah.

"Jika kita tidak mengambil pekerja asing atau penghijrah maka kita akan gagal, " katanya dalam bukunya One Man's View of The World (halaman 208) dan juga di dalam banyak ucapan dan kenyataannya.

Dasar terbuka Singapura setakat ini telah menyebabkan 40.7 peratus dari lebih 5 juta rakyat Singapura terdiri dari orang asing. Menurut Wikipedia satu dari setiap tiga orang yang tinggal di Singapura adalah orang luar. Terdapat 20 peratus pemastautin tetap dan 7.2 peratus bukan penduduk.

Kuan Yew mungkin tidak begitu bimbang dengan perkembangan yang ditempah ini kerana beliau yakin kepada kemantapan nilai-nilai keperibadian dan keselamatan Singapura yang diasas dan diterapnya sejak 40 tahun lalu. Malah beliau pernah berkata akan bangun dari kuburnya untuk menghalang sesiapa yang cuba merungkaikannya.

Bagaimanapun penerapan nilai ini berlaku ke atas generasi yang bangun bersama dengannya dan juga generasi baru Singapura, tetapi tidak mungkin difahami dan diresapi oleh pendatang asing dari berbagai negara dan budaya berbanding dengan kesebatian jati diri rakyat Singapura.

Kepada orang asing terutama dari China, sifat orang Cina Singapura yang kebaratan dan menampakkan keangkuhan tentunya tidak menyenangkan mereka. Kajian yang dijalankan oleh seorang pensyarah sosiologi Universiti National Singapura, Chang Han Yin tahun 1999 mendapati generasi muda Singapura mahu menjadi caucasian atau Jepun dari dikenali dengan identiti Cina.

Maka itulah sebabnya seorang sarjana dari China di Universiti National Singapura, Sun Xu telah menulis dalam blognya bahawa di Singapura lebih banyak anjing dari manusia. Ini telah menimbulkan kemarahan rakyat Singapura dan dikesali oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Malah orang Cina Malaysia terutamanya yang tebal dengan perkauman Cina walaupun memandang tinggi kepada Singapura dan bekerja di negara itu tetapi tidak begitu selesa dengan masyarakat Cina Singapura kerana perbezaan keperibadian.

Terkesan

Sekalipun hubungan mesra wujud antara kaum India dan Cina Singapura tetapi ini sukar untuk dihayati oleh pendatang asing dari India yang terkesan oleh permusuhan geopolitik antara negara China dan India. Perasaan yang mendalam ini tidak mungkin luput hanya kerana berada di Singapura tanpa melalui proses pendidikan dan sosialisasi yang panjang dengan masyarakat Singapura.

Terdapat tulisan dalam Straits Times Singapura oleh rakyat Singapura yang marah kerana bendera Singapura tidak dinaikkan di Little India pada hari kebangsaan Singapura yang lalu. Sikap angkuh sesetengah rakyat Singapura juga telah menebalkan lagi perasaan benci dan dendam kesumat yang telah sedia ada dalam kalangan pekerja asing dari India. Mereka hanya menunggu kesempatan untuk meluahkan perasaan marah mereka.

Orang Melayu Malaysia juga menghadapi masalah yang sama dengan rakyat Indonesia yang menyimpan perasaan cemburu dan marah kepada kemakmuran Malaysia dengan mengambil kesempatan atas sesuatu isu untuk menunjuk perasaan marah sama ada di Indonesia atau di Malaysia.

Kuan Yew dalam proses pembentukan bangsa Singapura pernah memberitahu keturunan India di Singapura, "Ini adalah Singapura dan bukan India" apabila golongan pro dan anti Indira Gandhi mahu menimbulkan kekecohan di negara itu berikutan pembunuhannya.

Bagaimanapun keadaannya telah berbeza sekarang. Kemajuan politik Singapura, dunia siber yang tidak terkawal, tekanan ekonomi dan sebagainya telah menyulitkan lagi usaha untuk mempertahankan cara Kuan Yew menangani krisis dengan langkah yang bersifat autoritarian.

Mungkin pihak keselamatan Singapura pun tidak lagi bertindak dalam semangat Kuan Yew bagi menangani krisis di luar jangkaan dengan tangkas dan tegas yang menyebabkan 25 kenderaan awam dan 16 kereta polis rosak dibakar dan dimusnahkan selain 39 anggota polis dan petugas keselamatan cedera dalam masa rusuhan yang singkat.

Setiap pemimpin negara di hujung hidupnya ingin melihat penerusan dasar, prinsip dan nilai-nilai yang dibina yang ditinggalkan tetapi ramai yang meninggal dalam keadaan kecewa kerana melihat keruntuhan harapan mereka. Inilah yang berlaku kepada Soekarno dan Soeharto dan sedang disaksikan oleh Tun Dr. Mahathir dan Kuan Yew.

Pada akhir hayatnya, Kuan Yew telah melihat pementasan semula tragedi rusuhan ganas Singapura yang telah dipadamkannya lebih 40 tahun dahulu.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131215
Tags: kaum, perkauman, politik, rusuhan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments