kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Lumpuhnya PKM di Perak

RAMAI lebih mengenali Chin Peng, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh sebagai pemimpin pengganas Parti Komunis Malaya (PKM). Hanya yang pernah hidup di zaman Darurat atau membaca buku sejarah zaman Darurat, nama Chong Chor atau Cheung Thian Thye (gambar) dikenali sebagai antara ketua pengganas PKM paling kejam dan licik mengelak diri daripada kepungan pihak berkuasa.

Chong Chor mengetuai Unit Penggempur Kelima PKM di Perak dan kemudiannya, Keenam PKM di Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan. Pasukan komando khas polis VAT 69 menjadikan Chong Chor sebagai sasaran utama paling dikehendaki dalam misi pemburuan mereka.

Ikuti pendedahan eksklusif Mingguan Malaysia mengenai Chong Chor, ketua pengganas komunis paling kejam yang dipetik daripada dokumen rahsia kerajaan yang tidak pernah disiarkan selama ini. - PENGARANG

Yang mana satu kah anda?



Beberapa anggota pengganas komunis dari 5 rejimen
ketika di dakwa berada di Chemor ,Perak.

TEKANAN secara berterusan daripada pasukan keselamatan telah menyebabkan gerakan bersenjata PKM di Perak hampir lumpuh. Gerakan berterusan pasukan keselamatan memburu pengganas komunis ketika itu, hampir berjaya ‘menyapu bersih’ pengganas komunis yang beroperasi di negeri itu, sebelum mengisytiharkan Perak sebagai kawasan putih.

Dalam laporan sulit yang didedahkan, Komander Unit Penggempur PKM, Chong Chor mengakui ketika itu hanya tinggal kira-kira antara 160 dan 170 pengganas komunis yang beroperasi di Perak dalam keadaan tidak mempunyai kelengkapan senjata yang mencukupi, selain menghadapi kekurangan bekalan makanan.

Keadaan ini mendorong PKM melaksanakan dasar baru untuk mencari perlindungan di Thailand, tanpa campur tangan dalam politik di negara itu serta tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh mengugat kedaulatan negara itu.

Ketika mendapat perlindungan di Thailand, PKM melaksanakan dasar ‘tunggu dan lihat’ dengan mengambil pendekatan seperti yang pernah dilaksanakan oleh Parti Komunis China (PKC), dengan harapan akan tercetus konflik politik atau krisis perkauman di Malaya, yang boleh dieksploit oleh PKM untuk menyambung kembali perjuangan bersenjata mereka di Tanah Melayu.

Ketika dasar ‘tunggu dan lihat’ itu semasa berlindung di Thailand, PKM memutuskan akan mengambil kesempatan itu untuk melatih lebih ramai anggota baru.

PKM juga melaksanakan dasar Demobilisation (menamatkan perkhidmatan anggota bersenjata PKM yang tidak cekap) di mana anggota-anggota komunis PKM tidak dibenarkan meninggalkan Pertubuhan Pengganas Komunis (CTO) tetapi dibenar meninggalkan perjuangan bersenjata.

Dasar radikal itu dilaksanakan untuk mengurangkan anggota komunis yang sakit, tua dan tidak mampu lagi meneruskan perjuangan bersenjata.

Chong Chor menyokong penuh dasar baru PKM itu dan menyifatkannya sebagai tepat pada masanya.

Chong Chor berpendapat apabila parti berjaya melaksanakan sepenuhnya penyusunan semula itu dengan membenarkan mereka yang tidak lagi berkemampuan dan tidak komited untuk meninggalkan perjuangan bersenjata, PKM akan mampu menyediakan sebuah pasukan yang lebih kompak, bersedia dan cukup terlatih, selain mendokong doktrin komunis untuk tinggal di selatan Thailand sehingga tiba masa sesuai untuk mereka melancarkan semula perjuangan bersenjata di Malaya.

Walaupun PKM mengalami kekalahan daripada segi ketenteraan di Malaya, Chong Chor tetap mempunyai kepercayaan kepada PKM.

Chong Chor berpendapat, walaupun menghadapi kekurangan bekalan makanan semasa berlindung di selatan Thailand, tetapi kawasan berkenaan merupakan pangkalan yang selamat untuk PKM menggerakkan semula perjuangan bersenjata mereka pada masa depan.

Kelangsungan

Chong Chor juga mendedahkan bahawa dia ditugaskan untuk melaksanakan Dasar Demobilisation itu mulai Februari 1959 dengan mengunjungi anggota komunis dalam 12 Rejimen di Daerah 2 yang beroperasi di barat bandar Betong yang dikuasai oleh Platun 15.

Dari pangkalan Daerah 2, Chong Chor menuju ke utara ke 12 Rejimen di Daerah 3 di Kampung To dan kemudian menuju ke kawasan barat Jalan Betong/Yala di Kampung To sebelum menuju ke utara menghala ke kawasan Labu, Yala.

Chong Chor kemudian kembali ke kem pangkalan di Platun 5, 12 Rejimen yang terletak di kawasan Lahat, Betong.

Menurut Chong Chor kira-kira 20 pengganas komunis dibenarkan meninggalkan CTO dari Daerah 1, 2, dan 3 12 Rejimen di Betong ketika itu.

Bagaimanapun, dia tidak mempunyai maklumat berapa orang pengganas komunis daripada 8 Rejimen dan 10 Rejimen dan daripada Unit Min Yuen yang meninggalkan CTO di bawah dasar itu.

Pada akhir 1959, Chong Chor juga menerima arahan untuk membubarkan Platun 15 dan anggota PKM yang menyertai platun itu diarahkan bertumpu di kawasan Ban Yee Rai untuk membantu Unit Min Yuen menjalankan tugas-tugasnya.

Katanya, atas alasan taktikal, PKM tidak mempunyai pilihan selain meneruskan kerja-kerja Min Yuen di Betong bagi memastikan kelangsungan PKM dan bagi membolehkan PKM membina semula kekuatannya di selatan Thailand.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131215
Tags: komunis, pkm, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments