kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Polarisasi politik di Thailand

PEMBUBARAN Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum Februari depan bukanlah penyelesaian kepada krisis politik yang melanda Thailand ketika ini. Krisis politik itu sebenarnya jauh lebih rumit kerana masalah utama bukan pilihan raya tetapi wujudnya polarisasi politik di Thailand.

Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra telah membubarkan Parlimen dan untuk sementara waktu itulah pelan yang terbaik, sekurang-kurang dapat memperlahankan momentum penunjuk perasaan. Sebelum ini dianggarkan tidak kurang 160,000 penunjuk perasaan menawan Bangkok tetapi kini hanya beberapa ribu sahaja yang masih berkeliaran.



PENYOKONG anti kerajaan berarak untuk menawan bangunan kerajaan di Bangkok untuk menyingkirkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra yang dikatakan bersekongkol dengan abangnya, Thaksin untuk kembali berkuasa di Thailand.

Tetapi berdasarkan pengalaman lampau, pilihan raya bukanlah penamat krisis politik di Thailand. Polarisasi politik di negara yang pernah dilabelkan sebagai "sangat demokratik" itu ditentukan oleh empat kelompok; pihak istana, golongan elit, tentera dan orang awam.

Empat kelompok ini memainkan peranan menentukan kelangsungan politik Thailand, itu belum lagi fahaman politik berbeza antara kawasan di utara dan selatan negara itu.

Masing-masing mempunyai kepentingan terutama golongan elit dan tentera. Golongan istana masih menjadi tunggak kerana monarki berada di tempat yang tinggi dalam sistem budaya dan sosial. Bagaimanapun kedudukan monarki ini dijangka berubah dengan berubahnya pola politik Thailand mengatasi sistem budaya dan sosial yang sedia ada. Misalnya dalam perkembangan terbaru, ada usaha daripada pemimpin politik untuk menghapuskan sistem monarki di Thailand dan menjadi sebuah republik.

Tentera pula memberikan warna politik yang tersendiri di Thailand misalnya dalam jangkamasa lapan dekad, sudah berlaku 18 kali rampasan kuasa oleh tentera, ditadbirkan 23 kali oleh tentera dan tentera pula dibuktikan mengatur sembilan i pilihan raya Thailand. Di mana "demokratiknya"?

Ini menunjukkan kehadiran tentera dalam politik Thailand bukan kecil malah mampu mencorakkan sesebuah kerajaan yang dipilih dan demokrasi menjadi boneka. Bagaimanapun dalam krisis politik kali ini, pihak tentera belum memperlihatkan kuasa mereka sama ada menyokong kerajaan yang sedia ada atau pihak pembangkang.

Polarisasi politik Thailand juga terbahagi kepada dua; kawasan utara dan selatan. Di utara majoriti adalah golongan petani dengan taraf hidup yang rendah dan tidak mempunyai kesedaran politik yang tinggi. Sementara di selatan majoriti adalah golongan elit kerana terdapat banyak bandar-bandar utama.

Geopolitik Thailand jauh berbeza dengan beberapa negara lain di Asia Tenggara termasuk Malaysia yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum. Politik masyarakat pelbagai kaum dilihat lebih merumitkan kerana politik digerakkan mengikut pola kaum-kaum yang ada. Sebaliknya Thailand hanya satu kaum dan pada teorinya tidak berlaku politik perkauman seperti di Malaysia.

Walaupun tidak ada politik perkauman, Thailand berhadapan dengan polarisasi politik yang ditambahkan pula oleh kepentingan individu tertentu yang mempunyai wang untuk membeli pengaruh dalam pilihan raya. Politik untuk kepentingan individu lebih besar kesan buruknya apabila rakyat bangun menentang sistem yang sedia ada.

Bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang hidup dalam buangan memimpin parti Puae Thai, kini parti itu dipimpin oleh Yingluck, adik Thaksin. Parti politik ini mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan kelas rendah dan petani di bahagian utara. Ketika Thaksin menjadi Perdana Menteri pada 2001 - 2006, bahagian utara adalah tabung oksigen bagi memastikan kelangsungannya dalam politik.

Thaksin membeli kepercayaan rakyat dengan mengalihkan pembangunan ke kawasan utara untuk membuka mata rakyat. Banyak pembangunan dilakukan di kawasan tersebut yang bertujuan memastikan rakyat di utara menjadi penyelamatnya dalam politik.

Perancangan

Bekas Perdana Menteri ini memiliki kekayaan yang luar biasa dari kerja rasuahnya, kini hidup mewah di London dan terus menyalurkan bantuan kewangan kepada Puae Thai. Tujuannya supaya Yingluck terus berkuasa dan Thaksin mempunyai perancangan untuk kembali berkuasa. Langkah awal telah dimulakan oleh Yingluck apabila mengusulkan pindaan perlembagaan untuk membolehkan Thaksin pulang ke negaranya.

Selepas Yingluck dilantik sebagai Perdana Menteri, kalangan penganalisis politik melihat Thailand diterajui oleh Thaksin dengan "alat kawalan jauh" dengan meletakkan Yingluck sebagai boneka yang membuat keputusan bagi pihaknya.

Walaupun kerajaan pimpinan Thaksin tumbang akibat rampasan kuasa tentera pada 19 September 2006 dan dia melarikan diri ke luar negara, kini Thaksin terus berkuasa melalui Yingluck.

Para penunjuk perasaan yang menawan beberapa kementerian dan pejabat kerajaan di Bangkok baru-baru ini adalah penentang Thaksin. Mereka adalah penyokong Parti Demokrat yang mempunyai pengaruh di kawasan selatan didukung oleh golongan elit. Tetapi dalam pilihan raya, Demokrat sentiasa tewas kepada Puae Thai kerana Thaksin banyak membuat "pelaburan politik" di utara.

Beratus-ratus ribu penunjuk perasaan yang membanjiri Bangkok kali ini bukan menuntut diadakan pilihan raya tetapi mahu menumbangkan kerajaan. Tujuannya untuk menyekat pengaruh Thaksin yang mempunyai perancangan kembali berkuasa di Thailand.

Walaupun Yingluck membubarkan Parlimen dan menawarkan pilihan raya, tetapi ini bukan yang diperjuangkan oleh penyokong Demokrat. Mereka tahu walaupun pilihan raya baharu diadakan, tetapi parti Puae Thai pasti akan menang kerana rakyat telah dibeli.

Penyokong Demokrat tidak percaya lagi kepada sistem demokrasi kerana telah disalahgunakan oleh Thaksin. Mereka memilih menumbangkan kerajaan dengan kuasa jalan raya, bukan pilihan raya. Malah kemenangan Yingluck dalam pilihan raya sebelum ini juga dikatakan sangat mencurigakan dan diragui. Walaupun begitu, menumbangkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat bukan tindakan baik.

Krisis politik Thailand boleh dijadikan iktibar supaya pada peringkat awal lagi jangan memberi ruang kepada agenda politik peribadi. Sebabnya apabila kuasa politiknya terlalu kuat, sekalipun pemimpinnya korup, membeli undi dengan menggunakan wang rakyat tetapi sukar untuk ditentang apa lagi ditumbangkan.

Parti yang didukung oleh Yingluck bukanlah berjuang untuk rakyat dan negara. Agendanya kepada Thaksin dengan menggunakan sistem yang dilabelkan demokratik. Apa lagi parti itu muncul sebagai parti kerajaan, kekayaan negara menjadi kekayaan segelintir pemimpin dalam parti.

Sudah tentulah penunjuk perasaan yang keluar beramai-ramai ada asasnya walaupun menyalahi undang-undang. Iktibarnya jangan sama sekali membuatkan rakyat hilang kepercayaan kepada pilihan raya. Apabila ini berlaku mereka akan memilih jalan raya yang kesannya lebih parah kepada rakyat dan negara.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131215
Tags: polarisasi, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments