kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Parti Komunis Malaya berpecah kepada tiga kumpulan

PADA 26 September 1970, Rejimen Ke-8 PKM yang beroperasi di daerah Sadao, selatan Thailand diketuai Yi Chiang mengisytiharkan kumpulannya keluar daripada PKM bagi membentuk Sayap Revolusi PKM (CPMRF).

Perpecahan tersebut disebabkan Rejimen ke-8 enggan melaksanakan arahan menghapuskan suspek ejen kerajaan yang dikeluarkan oleh Biro Utara Malaya pada Januari atau Februari 1970.

Rejimen ke-8 beranggapan arahan tersebut jika dilaksanakan, akan menghapuskan kesemua anggota baharu komunis sejak 1962, yang tentunya akan melemahkan rejimen.

Mereka juga tidak bersetuju dengan senarai nama anggota yang didakwa sebagai ejen kerajaan serta anggota baharu komunis berusia 12 tahun ke atas yang menyertai Rejimen ke-8 selepas 1962. Rejimen ke-8 enggan melaksanakan arahan dan kemudian, menamatkan komunikasi dengan Biro Utara Malaya.

Pusat Santai ....



KEM pengganas komunis yang digempur pasukan keselamatan di hutan belantara Pahang.
- Jabatan Penerangan

Pada ketika itu, Rejimen ke-8 beranggapan bahawa Biro Utara Malaya dikuasai oleh 'sekumpulan anti-revolusi' dan arahan melakukan Kempen Penghapusan adalah satu tindakan mensabotaj revolusi.

Lebih berani, Rejimen ke-8 sebelum memutuskan hubungan telah menghantar laporan kononnya mereka sudah melaksanakan perintah tersebut dan membunuh kesemua ejen musuh sebagaimana diarahkan oleh Biro Utara Malaya.

Bagaimanapun, pada pertengahan 1970, laporan palsu Rejimen ke-8 dikesan. Menurut Chong Chor, seorang komander Liew Chien Chuan diarah untuk menyiasat mengenai komunikasi yang terputus dengan Rejimen ke-8.

Chien Chuan mengetahui keingkaran Rejimen ke-8 itu serta hasrat untuk berpecah daripada PKM. Beberapa siri mesyuarat untuk memujuk ketua Rejimen ke-8 iaitu Yi Chiang tetapi gagal.

Chien Chuan kemudiannya dilaporkan telah dibunuh setelah dia cuba menembak ketua-ketua Rejimen ke-8 semasa satu mesyuarat dengan melontar bom tangan ke arah mereka. Insiden ini mendorong Rejimen ke-8 tidak teragak-agak lagi keluar daripada kekuasaan PKM.

Kempen Penghapusan tersebut turut mendorong Daerah Kedua, Rejimen ke-12 yang beroperasi di Betong, selatan Thailand untuk keluar daripada PKM. Rejimen itu yang diketuai Ah Leng, bukan sahaja enggan melaksanakan perintah tersebut tetapi juga meminta Jawatankuasa Pusat PKM supaya mengkaji semula arahan itu. Ah Leng mengumumkan pasukannya berpecah pada 1 Ogos 1974.

Chong Chor diarah supaya berunding dengan Ah Leng dan menetapkan tempat pertemuan di kawasan hutan Lahat di Betong. Ah Leng tidak muncul, sebaliknya mewakilkan pegawainya yang berpangkat rendah menemui Chong Chor. Mesej yang diberikan ialah supaya Ah Leng datang bersemuka bagi menyelesaikan isu itu menerusi rundingan.

Ah Leng tidak pernah menjawab ajakannya, mungkin mengetahui reputasi Chong Chor yang diketahui sebagai ketua pengganas yang kejam dan digeruni termasuk dalam kalangan komunis sendiri. Ah Leng seterusnya mengisytiharkan kumpulannya berpecah dari badan induk PKM.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131217
Tags: komunis, pkm, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments