kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

'Kempen Penghapusan' dalam PKM

CURIGA-mencurigai, syak wasangka dan paranoid sesama sendiri merupakan ciri-ciri yang menghantui kepimpinan Parti Komunis Malaya (PKM) sepanjang gerakan bersenjata dari dalam hutan belantara.

Elemen ini diakui dalam pengakuan ketua pengganas PKM paling kejam dan licik, Chong Chor dalam fail sulit pengakuannya yang diperoleh Utusan Malaysia. Persoalan penyusupan, perisikan dan pengkhianatan ke dalam PKM telah menjadi isu utama dibicarakan sejak di peringkat awal mereka berkubu di belantara.

Pada 1962, isu penyusupan pengkhianat dalam Rejimen Ke-8 PKM menjadi isu besar dalam parti. Kes tersebut dibincang dan dianalisis sehingga parti mencadangkan lima langkah bagi mengatasinya.

Mari bermain takraw ...



ANGGOTA komunis menjalani latihan di kem Rejimen ke-12 di Sungai Dala, utara Perak.
Gambar ihsan Datuk Seri Yuen Yuet Leng

Pertama, memberi perhatian terhadap rekrut yang mempamerkan kesungguhan 'luar biasa' dalam kegiatan parti, kerana mungkin sikap itu permulaan untuk membina populariti mereka dalam parti dan kemudiannya mendapat kenaikan pangkat dalam kadar yang pantas.

Kedua, menilai kegiatan 'pencetus kekacauan' yang menyebarkan khabar angin untuk merosakkan reputasi pengeluar arahan, dengan matlamat mencetuskan kacau-bilau dalam parti.

Ketiga, mengkaji motif anggota komunis wanita yang mahu mengahwini kader-kader berjawatan tinggi di dalam parti.

Keempat, berwaspada dengan anggota parti yang hidup mewah dan cenderung menyukai kehidupan materialistik.

Kelima, waspada dengan gerakan tentera keselamatan dengan memastikan ejen tentera tidak meninggalkan tanda atau jejak seperti mematahkan dahan pokok dengan sengaja untuk menunjukkan pergerakan mereka.

Kebimbangan ini berlarutan sehingga 1970, apabila Chong Chor diarah membantu melaksanakan 'Kempen Penghapusan' dalam Platun Kelima, Regimen Ke-12 PKM di Betong, selatan Thailand, bertujuan untuk membunuh perisik atau ejen kerajaan yang dipercayai dipasang oleh pihak berkuasa Thailand dan Malaysia. Kempen tersebut dilancarkan oleh Biro Utara Malaya PKM pada Januari atau Februari 1970.

Bagaimanapun kata Chong Chor, kempen tersebut menjadi kucar-kacir sehingga mengakibatkan perpecahan serius dalam PKM iaitu Sayap Revolusi PKM (CPMRF) yang dulunya dikenali sebagai Rejimen ke-8, menolak untuk mematuhi arahan pucuk pimpinan parti dan bertindak membentuk Rejimen ke-12 Marxist-Leninist PKM (CPMML) pada 1 Ogos 1974.

Kempen tersebut bermula daripada pembongkaran seorang anggota komunis dari kumpulan Ibu Pejabat Biro Utara Malaya PKM yang didapati menjadi ejen kepada kerajaan. Identitinya terbongkar secara tidak sengaja apabila dompetnya didapati mengandungi gambar adik Siam Kui Lim, iaitu individu yang telah disyaki sebagai ejen kerajaan Thai.

Anggota PKM tersebut mengaku dirinya telah direkrut oleh Siam yang menetap di Lahat, Betong untuk menyusup masuk ke dalam PKM. Pengakuan tersebut mendorong PKM menangkap Siam yang kemudiannya mengaku sebagai ejen kerajaan Thai.

Selain itu, Siam turut mengakui telah merekrut sebilangan lagi belia tempatan berketurunan Cina-Siam untuk menerobos PKM. Kenyataan Siam tersebut sekali gus mendatangkan kebimbangan besar terhadap semua anggota baharu komunis yang menyertai parti selepas 1962.

Siam juga mengaku ramai daripada mereka telah 'dibeli' oleh pihak berkuasa, malah pertubuhan komunis di selatan Thailand kini di bawah kawalan ejen yang dipasang oleh kerajaan Thai.

Susulan itu, PKM mengeluarkan arahan supaya dilaksanakan 'Kempen Penghapusan' dalam tiga rejimen iaitu Rejimen ke-8, ke-10 dan ke-12.

''Dalam arahan tersebut, Biro Utara Malaya melabelkan semua rekrut baharu berusia 12 tahun ke atas yang menyertai PKM selepas 1962, haruslah dianggap sebagai ejen musuh. Kesemua mereka haruslah disiasat, dan jika betul, mereka hendaklah dihapuskan," kata Chong Chor.

Bagaimanapun disebabkan tiada garis panduan yang teratur, kempen tersebut mengkucar-kacirkan parti. Terlau banyak kekeliruan kerana arahan tersebut telah memeranjatkan ramai anggota parti yang tidak mempercayainya. Ini adalah kerana kebanyakan anggota baharu yang dituduh sebagai ejen musuh direkrut oleh unit masing-masing sejak 1950-an. Mereka telah mengenali rapat antara satu sama lain untuk tempoh yang lama, sekali gus menyukarkan mereka mempercayai perkembangan terbaharu itu.

Chong Chor bertanggungjawab mengetuai kempen penghapusan dalam Platun kelima, Rejimen ke-12. Menurutnya, lebih 30 anggota baharu platun tersebut disoal siasat dalam tempoh lebih dua bulan. Chong Chor mengaku telah mengarahkan hukuman mati ke atas sekurang-kurangnya tujuh anggota yang disyaki menjadi pengkhianat.

Dia tidak pasti bilangan sebenar anggota komunis yang dihukum mati sepanjang kempen tersebut kerana PKM melaksanakannya secara serentak ke atas semua unit PKM di selatan Thailand. PKM tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131217
Tags: komunis, pkm, sejarah
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments