kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rusuhan kaum 13 Mei beri PKM semangat

RAMAI lebih mengenali Chin Peng, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh sebagai pemimpin pengganas Parti Komunis Malaya (PKM). Hanya yang pernah hidup di zaman Darurat atau membaca buku sejarah zaman Darurat, nama Chong Chor atau Cheung Thian Thye dikenali sebagai antara ketua pengganas PKM paling kejam dan licik mengelak diri daripada kepungan pihak berkuasa.

Chong Chor mengetuai Unit Penggempur Kelima PKM di Perak dan kemudiannya, Keenam PKM di Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan. Pasukan komando khas polis VAT 69 menjadikan Chong Chor sebagai sasaran utama paling dikehendaki dalam misi pemburuan mereka.

Ikuti pendedahan eksklusif Utusan Malaysia mengenai Chong Chor, ketua pengganas komunis paling kejam yang dipetik daripada dokumen rahsia kerajaan yang tidak pernah disiarkan selama ini. - PENGARANG

ANGGOTA komunis Rejimen ke-5 di kawasan markas PKM di hutan Sungai Siput, Perak. - Gambar Datuk Seri Yuen Yuet Leng

PADA penghujung tahun 1969, segerombolan pengganas komunis seramai 12 orang dihantar untuk meninjau keadaan di Grik, Perak. Misi tersebut adalah yang pertama seumpamanya dilakukan oleh PKM sejak mereka melarikan diri ke selatan Thailand semasa Darurat pertama pada 1950-an.

Menurut fail sulit yang memetik keterangan Chong Chor, pasukan itu datang dengan misi untuk menilai sokongan orang ramai terhadap perjuangan bersenjata mereka. Ini adalah selaras dengan arahan PKM pada Jun 1968 supaya perjuangan bersenjata diperluaskan di Semenanjung Malaysia.

Dalam arahan tersebut kata Chong Chor, PKM telah melakukan kajian terhadap situasi dalam negeri dan menyifatkannya ‘sesuai’ untuk menghidupkan semula gerakan bersenjata berikutan rusuhan kaum di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969.

‘‘PKM merumuskan bahawa ketegangan kaum dan politik tersebut akan mewujudkan situasi yang sesuai untuk melancarkan semula perjuangan bersenjata di negara ini," ujar Chong Chor.

Pasukan tersebut kembali semula ke markas PKM di Betong, selatan Thailand dan melaporkan hasil penemuan mereka di utara Perak. Chong Chor adalah antara komander yang menerima laporan berkenaan.

Ketua pasukan misi iaitu Ah Xia dan Yit Meow memberitahu, situasi di utara Perak dan juga seluruh negara adalah ‘bagus’ untuk melancarkan semula kempen bersenjata. Mereka yakin tidak sukar untuk meraih sokongan daripada orang ramai.

Semasa di Grik, mereka berhubung dengan pekerja-pekerja balak yang memberikan perlindungan dan logistik kepada mereka. Disebabkan faktor masa, kumpulan itu tidak tinggal lebih lama, apatah lagi kawasan pembalak tersebut begitu dekat dengan tapak pembinaan lebuh raya Timur-Selatan.

Perkara tersebut ternyata menjadi penekanan PKM, di mana seorang ahli jawatankuasa PKM dikenali sebagai Nam Yat menetapkan agar anggota komunis ‘mengeksploit situasi politik yang tidak tenteram di negara ini selepas tragedi 13 Mei’.

Anggota komunis diarah agar mengumpul kesemua parti berhaluan kiri, kesatuan-kesatuan sekerja dan penyokong revolusi. ‘‘Adalah penting untuk merevolusikan orang ramai sehingga mereka bersedia memulakan dan menyokong revolusi bersenjata kita sebagaimana dinyatakan dalam kerja-kerja Barisan Bersatu (pertubuhan pro-komunis)," kata Nam Yat.

Dia juga mengarahkan semua anggota bawah tanah untuk menyusup masuk lebih dalam ke bandar-bandar, estet-estet, sekolah, kilang, dengan tumpuan khusus kepada kawasan luar bandar.

Berdasarkan maklumat terbaharu itu, pada awal Mac 1971, Chong Chor menerima arahan untuk memimpin Unit Penggempur kelima di Perak. Misi utama ialah membina semula rangkaian sokongan, terutama merekrut anggota-anggota baru.

Chong Chor merumuskan misinya tidak berdepan dengan masalah, khususnya di Sungai Siput, Perak di mana dia berjaya merekrut 15 anggota baharu menyertai gerakan komunis.

Semasa melaporkan misinya kepada pucuk pimpinan di Betong, selatan Thailand pada pertengahan Februari 1972, Chong Chor merumuskan perlunya diwujudkan pasukan di bumi Malaysia. Memandangkan PKM melancarkan perang yang berpanjangan, PKM memerlukan sokongan logistik seperti bekalan makanan, anggota dan bahan-bahan lain bagi meluaskan kem gerila dan menggerakkan sokongan rakyat di kawasan pendalaman.

Cadangan Chong Chor dipersetujui Jawatankuasa Pusat PKM. Pada satu lagi mesyuarat dua minggu kemudiannya, dia mencadangkan agar ditubuhkan satu lagi unit penggempur di Pahang. Cadangannya itu mengambil kira keadaan muka bumi Pahang yang berbukit bukau dan hutan belantara luas, yang dianggap sesuai untuk melancarkan perang gerila.

Chong Chor berhujah bahawa dengan wujudnya unit penggempur di situ, PKM akan dapat meluaskan markas hutannya dan membina sokongan di kalangan penduduk di pendalaman, sekali gus menjadikan Pahang sebagai pusat rangkaian pangkalan gerila yang akhirnya akan meliputi negeri-negeri lain di Semenanjung.

Usul tersebut dibincang pucuk pimpinan dan dipersetujui supaya Chong Chor diberi peranan menubuhkan unit yang dicadangkannya. Pada awal Mac 1972, dia mengetuai 32 anggota komunis memasuki semula Perak.

Chong Chor dibekalkan dengan alat komunikasi wayarles, tidak seperti semasa kemasukan pertamanya sebelum ini kerana misi dianggap hanya sekejap.

‘‘Saya tidak menyedari misi kedua saya ini akan menjadi yang sangat lama. Sejak saya keluar dari Betong pada awal Mac 1972, saya tidak berpeluang untuk kembali (sehingga ditangkap polis Cawangan Khas di Kuala Lumpur pada 1988).

‘‘Ini adalah kerana kemudiannya saya kekal di bumi Malaysia bagi menggalas tanggungjawab melancarkan perang gerila PKM," kata Chong Chor.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131218
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments