kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

'Berjuang sehingga ke akhir hayat'

"LIHATLAH dunia, aku ini anak wayang!" merupakan ungkapan paling popular yang sekaligus terus mengingatkan kita kepada si pengucapnya sampai bila-bila.


Ungkapan yang dilafazkan dengan linangan air mata, antara sedih dan gembira pada malam kemenangannya ketika diiktiraf sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia pada tahun 1980 itu, sekaligus menjadi 'sindiran' tajam kepada masyarakat yang sering memandang hina kepada golongan anak seni sepertinya.

Sedari zaman awal menjejakkan kaki ke dunia hiburan sebagai penyanyi kemudian ke dunia lakonan, Azean Irdawaty adalah anak seni yang sarat dengan kisah tersendiri di luar dunia lakonannya.

Perginya seorang anak wayang ...



AZEAN Irdawaty bersama anaknya, Benjy.

Begitupun, di sebalik segala kisah itu, perjuangannya kekal dengan matlamat utama - mengangkat tahap dan maruah anak-anak seni seperti dirinya jauh ke hadapan.

Justeru, dalam melaksana tugas baik di panggung drama mahupun pentas teater dan filem, Azean akan memberikan seluruh jiwa dan raga.

Tidak pernah dia 'gagal' dalam apa juga watak yang dimainkan. Jika watak derita yang dibawa, kita akan menangis teresak-esak, seperti mana sebagai Auntie Zai dalam Layar Lara yang gemilang di tangannya.

Malam tadi, sekitar pukul 8.26 minit, Azean Irdawaty Yusoef itu, telah kembali menghadap si pencipta pada usia 63 tahun.

Menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti, Petaling Jaya, Selangor di sisi suami dan anak-anak, Azean sebelum ini telah sekian lama menderita beberapa jenis penyakit, termasuk kanser, tumor dan lymphedema.

Azean adalah insan seni yang sarat dengan perjuangan dan sering bercakap tentang semangat hidup, meskipun pada ketika dia sendiri berada dalam kesakitan yang amat sangat.

Dia bercerita kepada seluruh dunia detik kesakitan yang dilalui selepas disahkan dihinggapi penyakit yang paling ditakuti oleh wanita itu, tetapi dalam masa yang sama dia menunjukkan kepada wanita lain, usahlah mengalah dengan kesakitan.

Penyakit hanyalah satu daripada cabaran, kita perlu terus hidup dan dia mahu terus menggembirakan semua orang dalam tenat itu.

Pada ketika dia berada pada tahap kesakitan paling kritikal, dia diduga lagi apabila satu-satu anak lelakinya, Khaeryll Benjamin (Benjy) dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan terbabit dengan dadah.

Pun pada ketika dia dalam kesakitan itu, tidak pernah sedikitpun dia lupa untuk terus memberikan semangat buat putra tersayang.

Benjy yang dibicarakan di mahkamah bertahun-tahun, tetap ditemani, sekalipun ada masanya dia terpaksa dipimpin untuk berjalan.

Sebagai penyanyi popular pada era 70-an dengan lagu malar segarnya, Bawalah Daku Bersamamu, namanya meledak di layar perak setelah membintangi filem Esok Masih Ada arahan Jins.

Dia adalah penyanyi yang lebih menyinar di layar filem dengan dua kali trofi Pelakon Wanita Terbaik menjadi miliknya iaitu pada 1980 menerusi filem Esok Masih Ada dan Langit Petang pada 1982.

Menerusi watak Tok Wan dalam filem Waris Jari Hantu, sekali lagi Allahyarhamah membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM pada 2008 dan filem terakhir arahan Allahyarhamah Yasmin Ahmad, Talentime pada 2009 adalah juga filem terakhir lakonannya.

Allahyarham meninggalkan suami, Khairil Anwar Z.M Rashidi dan tiga orang anak, Khaeryll Benjamin, Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty.

Sesungguhnya dia adalah primadona yang terus berjuang sehingga ke hujung hayatnya.

Tidak pernah sekalipun dia mengalah kepada kekurangan diri, waima pada ketika nyawanya sudah berada di penghujung.

Primadona, bersemadilah dikau dalam penuh ketenangan. Kami akan terus mengenang dirimu sebagai seorang insan yang baik, yang sentiasa hadir menghadiahkan senyuman melalui bakat senimu yang akan terus melestari. Al-Fatihah buat Azean Irdawaty Yusoef.



TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN pengarang@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20131218
Tags: aktor, aktres, pelakon
Subscribe

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Menghormati

    Menghormati atau memberi hormat adalah sesuatu yang membawa banyak kekuatan dan kelebihan. Ia mempunyai kekuatan untuk menyatukan atau memisahkan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments