kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

PKM perguna masyarakat Orang Asli

PENGGANAS komunis sejak daripada awal-awal kempen mengangkat senjatanya mengerti kegunaan masyarakat Orang Asli dalam objektif perjuangan songsang mereka. PKM telah melakukan usaha mempengaruhi Orang Asli sejak pendudukan Jepun dan persahabatan itu diperbaharui apabila komunis mengisytiharkan perang ke atas Tanah Melayu pada 1948.

Pengganas-pengganas komunis memujuk Orang Asli untuk membantu perjuangan mereka menentang musuh iaitu British. PKM mewujudkan unit khas dipanggil Unit Asal (Asal dalam bahasa Cina bermaksud Orang Asli) yang berperanan untuk memenangi hati dan mempengaruhi Orang Asli untuk membantu dalam apa cara yang boleh, terutama dari segi kaedah penyediaan makanan.

Unit Asal ini menggunakan taktik licik iaitu tidak menggunakan tekanan dan kekerasan terhadap Orang Asli, sebaliknya menjalin persahabatan, malah berkahwin dengan wanita Orang Asli kerana mereka tahu masyarakat Orang Asli tidak mengkhianati anggota keluarga sendiri.

PKM perguna masyarakat Orang Asli



SEORANG Tok Batin berbual dengan tentera New Zealand di sebuah kubu di selatan Kelantan.

Apabila komunis dipaksa 'masuk hutan' kesan daripada tindakan berkesan pasukan keselamatan, skim perpindahan dan langkah kawalan bekalan makanan, mereka meminta bantuan Orang Asli yang selain makanan, turut digula-gula menjadi penunjuk arah, maklumat dan tukang bawa barang.

Semasa melancarkan Pelan Briggs iaitu pemindahan masyarakat luar bandar ke kawasan setempat yang terkawal, masyarakat Orang Asli dikecualikan. British ketika itu menyedari kesukaran untuk memindahkan 40,000 hingga 50,000 Orang Asli daripada suku berlainan bahasa dan budaya.

Keputusan dibuat ialah pihak keselamatan membina kubu berdekatan penempatan Orang Asli bagi memberi perlindungan kepada mereka, selain memastikan komunis tidak mengambil kesempatan.

Kerjasama komunis dengan Orang Asli turut diceritakan secara terperinci oleh ketua pengganas Chong Chor dalam fail sulit pengakuannya kepada pihak berkuasa. Menurutnya, beberapa hari selepas sambutan Tahun Baru Cina pada Februari 1980, dia mengarahkan anggotanya untuk menanam ubi kayu dekat perkampung Orang Asli di sebelah barat pekan Temerloh.

''Kampung Orang Asli yang dihuni lima keluarga itu terletak kira-kira dua jam perjalanan dari kem kami. Kebenaran telah diperolehi dari Tok Batin untuk menggunakan tapak tanah berdekatan kampung itu untuk tujuan tersebut. Kami juga setuju Orang Asli boleh berkongsi ubi kayu berkenaan.

''Sehingga Ogos, pasukan saya keluar masuk ke kampung Orang Asli untuk menjalankan kempen Asal di situ," ujarnya.

Chong Chor juga mencatatkan bahawa walaupun Orang Asli di situ tidak melaporkan mereka kepada pasukan keselamatan tetapi mereka juga telah menikmati kebanyakan ubi kayu yang ditanam oleh pengganas komunis.

Dalam satu lagi insiden, Chong Chor mendakwa dia terpaksa memindahkan markas dalam hutan setelah beberapa Orang Asli dikesan berhampiran. Mereka yang datang dari Kerdau, Temerloh sedang mencari rotan.

Disebabkan bimbang kehadiran mereka dibocorkan kepada pasukan keselamatan, dia mengarahkan markas tersebut dikosongkan, dan satu kem dibina semula yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan.

Sepasukan komunis diarah bertemu dengan kumpulan Orang Asli itu, bagi menjalin persahabatan. Menurut Chong Chor, mereka mendapat kerjasama Orang Asli berkenaan yang membantu membeli makanan, sekali gus bermakna kerja propaganda mempengaruhi mereka berhasil.

Pengarah Operasi perang melawan komunis, Jeneral Sir Gerald Templer melancarkan kempen menawan kembali hati dan minda Orang Asli.

Beliau menganjurkan satu kursus sivik yang dianggap 'luar biasa' pernah diadakan di Tanah Melayu. Seramai 150 Tok Batin dari Perak, Pahang dan Kelantan dikumpulkan di Kuala Lumpur.

Objektifnya adalah untuk menyakinkan mereka bahawa kerajaan masih berkuasa, bukan seperti yang dibohongi PKM menerusi propaganda-propaganda mereka memburuk-burukkan kerajaan.

Tok Batin tersebut dibawa melihat dengan mata mereka sendiri program yang diatur khas seperti persembahan tatu polis, demonstrasi senjata, helikopter dan pesawat, yang didakwa oleh komunis sebagai milik tentera udara China.

Memandangkan kesemua Tok Batin tersebut tidak pernah melihat laut, mereka dibawa ke pantai Port Dickson.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131220
Tags: komunis, pkm, sejarah
Subscribe

  • Reflection of current leaders

    The dramas played by the policy-maker of our country has now becoming absurdly ridiculous. Of late, Malaysians are in need of someone or…

  • March 2020 is not Ides of March

    History had made a mark in Malaysia as in March 2020, the country’s eighth prime minister took over as prime minister in order to “save…

  • Reflection of our current leaders

    I refer to ' Time to reflect on what is important' dated 3 Mar 2020. The dramas played by the policy-maker of our country has now becoming…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments