Pengumuman kenaikan harga 'produk' rakyat seperti petrol atas alasan rasionalisasi subsidi pada asalnya sememangnya boleh diterima tetapi apabila deretan pelbagai kenaikan 'produk' rakyat lain boleh membuatkan rakyat rungsing dan bimbang bagaimana mahu mengharungi kehidupan yang semakin mencabar pada masa akan datang.
Bukan kepalang kesannya ke atas rakyat. Cubalah bertanya kepada mereka berapa banyak wang yang mereka mampu simpan selepas ditolak segala bil-bil bulanan. Adakah mereka mampu menyimpan? Atau mereka terpaksa berhutang? Jangan terkejut ada dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah tidak pernah membawa anak-anak mereka menjamu makanan segera. Ini kerana sekali mereka membawa anak-anak sekeluarga menjamu makanan segera, maka, paling kurang mereka terpaksa bayar RM30. Bagi mereka, RM30 cukup besar sama sekali untuk perbelanjaan seharian.
Itu golongan berpendapatan rendah. Tetapi bagaimana pula dengan ahli-ahli politik yang terpilih semasa PRU-13 tempoh hari? Sebab itulah, rakyat berasa pelik bin ajaib, tatkala harga 'produk' rakyat dinaikkan, elaun dan gaji Yang Berhormat juga dinaikkan terlalu tinggi!
Peningkatan kos sara hidup yang terlalu tinggi bukan sahaja memberi kesan ke atas golongan belia tetapi juga bagi semua lapisan masyarakat yang bergaji rendah. Kita tidak usahlah menyebut yang bergaji RM3,000 ke bawah. Yang bergaji RM8,000 pun tidak mampu menjalani kehidupan yang selesa terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Bil elektrik, bil air, bil telefon, makanan, tol, sewa atau ansuran bulanan rumah, bayaran bulanan pusat asuhan kanak-kanak, kos pendidikan anak-anak, penyelenggaraan kenderaan, kos petrol, insurans kenderaan dan bil-bil lain semuanya memerlukan wang yang banyak.
Ambil contoh satu sahaja, berapakah kos dan perbelanjaan pendidikan seorang anak yang akan memulakan sesi persekolahan Januari ini? Dianggarkan untuk seorang anak, paling kurang RM300, itu pun jika masih menggunakan pakaian-pakaian lama. Kalau tidak, RM300 masih tidak mencukupi. Maklumlah, bukan setakat pakaian, perbelanjaan pendidikan termasuklah kasut, alatan menulis, bayaran pengangkutan bas sekolah, beg sekolah dan lain-lain amat meresahkan rakyat golongan bawahan. Ini kerana, semua yang disebutkan tadi telah mengalami kenaikan berbanding tahun lalu.
Harga satu beg sekolah pun tidak kurang RM50, jadi adakah RM300 mencukupi untuk seorang anak? Terus terang dikatakan rakyat berada dalam keadaan yang terhimpit apabila deretan pengumuman demi pengumuman kenaikan 'produk' rakyat ini.
Pada asalnya, kenaikan harga minyak bolehlah difahami tetapi apabila diumumkan bahawa elektrik dan tol juga akan dinaikkan pada tahun depan maka adakah ini bermaksud rakyat hanya akan menunggu sahaja apa lagi kenaikan harga "produk" rakyat? Dan selepas itu, berkumundang sekali lagi dalam kalangan menteri yang mengatakan rakyat perlu menerima sahaja rasionalisasi subsidi atas alasan kenaikan tidak membebankan rakyat.
Benarkah kenaikan 'produk' rakyat tidak membebankan rakyat? Hayati dan selami kehidupan golongan bawahan, barulah kita mengetahui bebanan mereka.
Keluh-kesah rakyat apabila melihat orang politik masih boleh hidup dalam keadaan yang mewah di kala rakyat hidup dibelenggu dengan kos sara hidup tinggi. Apabila tol dinaikkan, dijangkakan lebih banyak lagi harga barangan dan perkhidmatan akan dinaikkan.
Sekali lagi, dijangkakan seperti biasa tindakan untuk mengawal harga barang dan perkhidmatan tidak dapat dibuat dengan baik. Rakyat yang berpendapatan menengah dan rendah akan menanggungnya dengan terpaksa menyerap kos sara hidup yang tinggi ini. Maka, tidak hairankanlah beban hutang isi rumah semakin meningkat kerana rakyat terpaksa meminjam bagi menyara kehidupan seharian.
Rakyat memandang dan memantau apa sahaja tindakan ahli-ahli politik ketika kos sara hidup tinggi. Usahlah tatkala PRU menjelang tiba, barulah nasib rakyat dibela. Ini yang membuatkan rakyat berasakan mereka hanya disayangi tatkala PRU menjelang tiba. Selepas PRU, nasib mereka seolah-olah dipinggirkan.
Perlu diingat, kerajaan telah meletakkan menangani kos sara hidup sebagai salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), jadi apabila kerajaan menubuhkan Makmal Mengenai Kos Sara Hidup, rakyat akan bertanya apa sudah jadi dengan NKRA menangani kos sara hidup yang disasarkan oleh kerajaan sebelum ini?
Rakyat mahukan pihak-pihak berkenaan benar-benar bertindak membantu menangani kos sara hidup rakyat. Bawa masuk orang bawahan yang berpendapatan rendah sebagai sebahagian daripada ahli Makmal Mengenai Kos Sara Hidup. Usah letakkan golongan elit yang berpendapatan tinggi yang tidak terkesan sikit pun dengan kos sara hidup yang amat tinggi. Mereka ini tidak memahami kepayahan hidup rakyat berpendapatan rendah.
Golongan berpendapatan menengah dan rendahlah yang terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi, yang akhirnya mereka inilah yang banyak meluahkan isi hati mereka bukan sahaja melalui perbualan seharian tetapi juga melalui laman-laman sosial dan blog.
Sewajarnya kerajaan perlu benar-benar teliti setiap isu melibatkan kos sara hidup rakyat. Dalam konteks ini, benar kerajaan perlu memikirkan pengukuhan kewangan negara untuk tempoh jangka masa panjang, tetapi dalam masa yang sama, keutamaan patut diberikan kepada permasalahan kos sara hidup rakyat.
Tiada gunanya ekonomi negara kukuh tetapi pada masa sama kos sara hidup tidak mampu diserap oleh rakyat. Angka-angka yang menunjukkan pengukuhan ekonomi negara tidak membawa erti sekiranya hanya yang berpendapatan tinggi yang merasainya, manakala rakyat bawahan pula terbeban dengan tekanan-tekanan kos yang tidak mampu dihadapi mereka. Bertindaklah segera memenuhi keluh-kesah rakyat!
Rohami Shafie PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 20131220