kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Laporan media penting untuk penambahbaikan

TERLIBAT dalam mengurus laporan masalah tikus yang menjadi laporan muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini adalah antara pengalaman yang sukar dilupakan penulis sepanjang lebih 23 tahun berhadapan dengan pelbagai kerenah dan krisis dalam konteks laporan media apatah ia melibatkan antara persepsi dengan realiti yang akhirnya berjalan selari.

Bagi pengamal perhubungan awam apatah lagi kepada sesebuah organisasi, laporan media sering diikuti dan perlu ditangani dengan sebaik mungkin apatah lagi apabila ia berupaya membangunkan persepsi tersendiri dan melibatkan kepentingan masyarakat dan orang ramai.

Ketika diminta untuk mendapatkan nama penulis yang memberi komen negatif terhadap institusi penulis yang tersiar di akhbar Utusan Malaysia lebih 15 tahun lalu, editor memberi komen yang sangat dihormati dan dijadikan landasan utama - "beribu cerita menarik yang kami siar, apalah salahnya jika disiar pandangan yang sekali sekala memberi pandangan berbeza!."

Laporan muka hadapan akhbar berkenaan merujuk kepada aduan tentang masalah tikus yang dikatakan amat serius dan boleh memberi kesan buruk kepada hospital, pesakit dan orang ramai. Dan respons awal dari mereka yang terlibat, adalah "ini perkara biasa yang menjadi rutin yang ditangani sepanjang masa", "ini bukan perkara baharu kenapa perlu diperbesarkan?".

Tikus dianggap ancaman serius. Siapa tahu misalnya berapa jumlah tikus di bandar raya besar kita termasuk Kuala Lumpur. Serangan tikus dikatakan membawa kerugian besar kepada petani sejak sekian lama. Pesawah misalnya bercerita tentang bagaimana padi yang telah sedia untuk dituai esok hari habis dikerjakan tikus dalam tempoh semalaman. Tikus dianggap mempunyai kuasa luar biasa. Di sesetengah tempat, tikus besar berlarian tatkala pelanggan menjamu selera dengan nasi kandar terutamanya berhampiran pasar basah.

Lalu apabila tikus dikatakan berkeliaran termasuk di dalam wad hospital ia tidak dianggap terlalu luar biasa bagi kebanyakan mereka yang terlibat walau pun disedari kesan yang boleh ditinggalkannya. Dalam kes ini, populasi tikus dikatakan bertambah kerana faktor pasar malam di hadapan hospital yang menghasilkan sampah sarap. Pembangunan sekitar hospital dikatakan faktor penyumbang kepada hal ini. Malah ada juga pelajar yang menghantar aduan apabila buku yang disimpan di bilik stor ketika pulang bercuti telah dimakan oleh tikus.

Punca sebenar tikus yang boleh membawa penyakit dan mengancam keselamatan adalah lahir dari masalah kebersihan persekitaran, pelawat pesakit yang membuang sisa makanan dengan cara yang tidak betul dan pelbagai lagi yang membuka ruang kepada pembiakan dan pertambahan populasi tikus yang perlu ditangani.

Malah, ia adalah masalah bersama, bukan hanya masalah pihak berkuasa atau organisasi yang ditegur. Semua pihak perlu dilibat sama. Sampah perlu diurus dengan betul dan diangkut segera. Sisa makanan perlu dibuang dengan teratur dan rapi. Galakkan membawa makanan dalam bekas yang boleh diguna semula. Hentikan jualan makanan bergerak atau gerai yang tidak menjaga kebersihan. Wujudkan pasukan pemantau yang bertindak segera, bukan hanya menunggu aduan tetapi bergerak secara berterusan mencari punca dan mengatasinya segera dengan kepakaran yang ada.

Hakikatnya juga kita tidak pernah sebenarnya dididik secara formal untuk menjaga kebersihan. Jika pun ada, guru dan ibu bapa kebanyakannya menjadikan menyapu sampah dan cuci tandas sebagai hukuman. Kita membesar dengan rasa jijik dan satu hukuman jika mencuci longkang dan tandas dan ia adalah hukuman memalukan bukan satu kemestian jauh sekali satu tanggungjawab.

Kerana itu, untuk menjaga kebersihan, perlu libatkan juga pelajar dan seluruh warga organisasi untuk mendidik kembali sebagai satu kewajipan. Cari kaedah yang betul, Jadikan juga sebagai program sukarela yang tersusun dan berterusan. Bahagikan kawasan untuk dijaga. Apa jua kaedahnya, libatkan semua. masyarakat sekitar dan pihak berkuasa tempatan. Jadikan menjaga kebersihan sebagai tugas dan tanggungjawab bersama.

Ini termasuklah seluruh persekitaran yang ada. Tandas juga perlu diberikan perhatian. Masyarakat kita sebenarnya perlu dididik menjaga tandas, bermula dari kanak-kanak termasuk adab di tandas awam. Sesetengah kita tidak perduli orang. Menerjah masuk bilik tandar tanpa peduli orang menunggu.

Lebih biadab menjadikan tandas awam tempat merokok dan orang lain menunggu giliran dengan penuh seksaan. Tandas kita kebanyakannya jauh dari piawai kebersihan malah sesetengahnya amat menjijikkan, termasuk di kebanyakan masjid.

Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama, bukan sahaja menjauhkan dari penyakit tetapi menunjukkan kita orang bertamadun yang bijak menguruskan persekitaran.

Jika tikus menjadi salah satu indikator kebersihan, cuba lihat di sekeliling kita terhadap kewujudan dan populasinya, termasuk di kota kosmopolitan, di pinggir bandar malah di kediaman kita. Kita lupa, kadang-kadang, kitalah penyumbang kepada masalah yang ada, apabila membuang sampah dan menguruskan sisa makanan, buangan dan pepejal.

Ia bukan sekadar persepsi tetapi realiti yang harus diterima dan diuruskan bersama, bukan bermusim atau tatkala mendapat teguran tetapi sebagai budaya hidup yang berterusan, tanpa perlu pun bersikap defensif.

Kebersihan bukan bahan gurauan tetapi hakikat bersama untuk kita benci kekotoran termasuk tatkala menikmati hidangan di gerai atau restoren, bukan sekadar hiasan dalaman yang memukau pandangan mata, tetapi di dapur dan proses penyediaan makanan yang seharusnya telus kerana ia bakal menjadi darah daging kita!

Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama, tidak kira siapa, tanpa kecualinya. Lagi pun bukankah menjaga kebersihan adalah tuntutan agama. Hanya dengan sikap prihatin dan tindakan yang holistik dengan melibatkan seluruh anggota masyarakat, masalah tikus dan penyakit bawaan vektor dan serangga dapat diatasi.

Tindakan-tindakan ini telah dan sedang diambil, namun kaedah yang lebih kreatif barangkali boleh difikirkan dalam melestarikan usaha yang dibuat. Misalnya cadangan untuk membina pondok burung pungguk yang memakan tikus adalah antara kaedah yang boleh digunakan.

Hakikatnya tidak salah laporan media yang dibuat sebaliknya perlu dihargai kerana ia membuka ruang untuk kita meneliti sesuatu yang selama ini mungkin dianggap perkara biasa bagi masyarakat setempat. Tidak perlu malu dan bersikap defensif.

Laporan media adalah satu kaedah untuk menilai dan membantu agar semua pihak sedar terhadap peranan masing-masing. Biar pun ada pedihnya, tetapi ia adalah peringatan baik untuk semua pihak bukan hanya sesebuah organisasi secara khusus.


MOHAMAD ABDULLAH ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.Utusan Malaysia Online Rencana 20131220
Tags: laporan, media
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments